Jumaat, Disember 09, 2011




Firman Allah dalam ayat 38 – 40 surah Yaasiin

Maksudnya: Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita; Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui; Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya – (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering. (Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.
Kejadian gerhana bulan mengajak kita untuk menambahkan lagi keimanan tentang kehebatan dan kekuasaan Allah Subhanahu Wata’ala sebagai Pentadbir seluruh alam, segala peredaran cakerawala, bumi, bulan, matahari dan seumpamanya. Peredaran bulan dan matahari yang teratur setiap hari secara berganti-ganti, matahari beredar di waktu siang, manakala bulan beredar di waktu malam adalah atas kudrat dan iradat Allah Subhanahu Wata’ala jua. Ia mempunyai hikmat dan tujuan tersendiri antaranya bagi tujuan membolehkan manusia untuk bekerja pada siang hari dengan mudah dan pada malam hari pula dapat berehat dan bermunajat kepada Allah dengan tenang.

Pergerakan matahari dan bulan yang teratur dan tetap juga dapat digunakan oleh manusia untuk dijadikan kalendar tahunan samada berdasarkan pergerakan matahari bagi kalendar Masihi dan mengikut peredaran bulan bagi taqwim Hijrah. Oleh itu setiap kejadian yang berlaku termasuk gerhana bulan pada malam ini adalah untuk mengetuk hati kita agar bersyukur dan mengingati Allah sepanjang masa dan tempat. Kita sentiasa diminta agar berfikir tentang kejadian alam ciptaan Allah dalam mengenali sifat-sifat Allah dan juga mengakui diri kita sebagai hamba yang serba lemah



AMALAN KETIKA GERHANA

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّهُمَا آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهَا فَصَلُّوا

Maksudnya:
Sesungguhnya matahari dan bulan tidak mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kehidupannya (kelahirannya). Tetapi, kedua-duanya adalah dua tanda antara tanda-tanda (kebesaran) ALLAH. Apabila kamu semua melihat kedua-duanya (mengalami gerhana) maka dirikanlah solat.
( Riwayat al-Bukhari )


ULASAN HADIS:


Gerhana bulan adalah apabila bumi melindungi bulan dari cahaya matahari sehingga menyebabkan bulan kelihatan gelap. Gerhana matahari pula adalah apabila bulan melindungi bumi dari matahari sehingga bumi menjadi gelap seketika kerana tidak menerima cahaya dari matahari. Namun kejadian gerhana ini hanyalah merupakan di antara tanda-tanda kebesaran ALLAH yang mentadbir seluruh alam. Apabila terjadi gerhana bulan mahupun matahari maka disunnahkan bagi kita untuk mengerjakan solat Solat Sunat Gerhana Bulan (Kusuf) dan Gerhana Matahari (Khusuf).

Menerusi sekian banyak hadis berkaitan gerhana, terdapat beberapa perkara sunat yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian gerhana. Di antaranya ialah:

1. Solat dan berdoa.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi”.

2. Berzikir dan beristighfar. 

Abu Musa berkata: “Telah berlaku gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW berdiri dalam keadaan cemas kerana bimbang akan berlaku Kiamat. Lalu Baginda SAW tergesa-gesa pergi ke masjid dan solat dengan berdiri yang terlalu panjang serta rukuk dan sujud yang panjang, yang tidak pernah aku lihat Baginda SAW melakukan seperti itu. Berlindung daripada azab kubur. Diriwayatkan oleh Aisyah ra: “Setelah Nabi SAW selesai menyampaikan khutbah gerhana matahari, maka Baginda SAW memerintahkan para sahabat supaya memohon perlindungan dari azab kubur.”

3. Bersedekah.

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila kalian melihat gerhana, maka hendaklah kalian berdoa kepada ALLAH, mengerjakan solat dan bersedekah.” Memerdekakan hamba. Asma’ ra berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW menyuruh memerdekakan hamba ketika berlaku gerhana matahari. “Dalam satu riwayat: “Gerhana bulan.”

Inilah sunnah Baginda SAW ketika berlakunya peristiwa gerhana bulan atau matahari.

Amalan Ketika Berlaku Gerhana

Read More

Disaat kita baru sahaja dikurniakan keindahan dalam beribadat yang berturut-turut oleh Allah dengan ganjaran yang berlipat ganda setiap tahun. Alhamdulillah telah berlalu kedatangan Muharam 1433 yang disertakan dengan amalan puasa pada9, 10 dan 11 Muharam untuk mengejar fadhilatnya.

Namun, beza pula kali ini. Kerana kita akan di kunjungi dengan bulan yang sebenar. Iaitulah 'Gerhana Bulan' pada 10 Disember 2011 beberapa hari lagi. Berikut adalah artikel yang dipetik dari falak-online.net.



Gambarajah 1


Gambarajah 2


Pada 10 Disember 2011 ini, kita akan dapat menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penuh sekali lagi. Kali terakhir rakyat Malaysia dan di rantau Asia Tenggara menyaksikan fenomena gerhana seperti ini ialah pada bulan Jun 2011 lepas. Fenomena ini akan berlaku pada waktu puncak, iaitu sebaik sahaja matahari terbenam dan berlarutan sehingga ke lewat tengah malam. Tidak seperti gerhana yang lepas, yang mana ia berlaku lewat tengah malam sehingga ke matahari terbit keesokan paginya, gerhana kali ini dijangka dapat disaksikan dengan mudah oleh orang ramai.
Fasa gerhana ini akan bermula pada jam 7.31 petang. Namun apabila bulan mula menghampiri kawasan bayang-bayang bumi yang lebih gelap, dikenali sebagai umbra, barulah kesan gelapnya mudah kelihatan, iaitu sekitar jam 8.30 malam
Bulan akan berada di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya (fasa gerhana penuh) pada jam 10.05 malam sehingga 10.57 malam. Kemudian ia akan keluar sepenuhnya daripada bayang-bayang umbra pada jam 12.18 tengah malam.
Waktu setiap fasa gerhana boleh dirujuk seperti di bawah (kiraan Skymap Pro 8):
Moon enters penumbra: 2011 Dec 10 19:31:37 Moon enters umbra: 2011 Dec 10 20:45:11 Start of totality: 2011 Dec 10 22:05:29 Maximum eclipse: 2011 Dec 10 22:31:36 End of totality: 2011 Dec 10 22:57:45 Moon leaves umbra: 2011 Dec 11 00:18:04 Moon leaves penumbra: 2011 Dec 11 01:31:30
Jumlah masa Bulan bergelap di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya ialah selama 52 min 16 saat.
Waktu di atas merupakan waktu tempatan (Malaysia). Ia adalah sama sahaja jika anda berada di Semenanjung, Sarawak atau Sabah. Cuma yang berbeza ialah ketinggian Bulan di langit. Semakin anda berada ke arah timur Malaysia, semakin tinggi kedudukan Bulan pada satu-satu fasa gerhana itu.

Gambarajah 1 di atas ialah laluan bulan ketika ia bergerak di dalam bayang-bayang umbra dan penumbra bumi. (credit to F. Espenak, NASA’s GSFC eclipse.gsfc.nasa.gov/eclipse.html)


Secara umumnya, bayang-bayang Bumi terbahagi kepada bahagian:

i. Penumbra– kawasan bayang-bayang bahagian luar, yang mana ia tidak begitu gelap dan agak sukar dilihat perbezaan warnanya apabila diamati dengan mata kasar.

ii. Umbra– kawasan bayang-bayang bahagian dalam, yang mana di sinilah kawasan yang paling gelap dan terlindung terus daripada pancaran cahaya matahari. Warnanya kemerahan kerana cahaya matahari terbias apabila ia melintasi kawasan atmosfera bumi, lalu menghasilkan cahaya kemerahan.


Gambarajah 2, di atas ialah peta dunia yang menunjukkan kawasan mana yang boleh lihat fenomena gerhana kali ini. (credit to F. Espenak, NASA’s GSFC eclipse.gsfc.nasa.gov/eclipse.html).

Perhatikan keseluruhan Malaysia (Semenanjung, Sabah dan Sarawak) berpeluang melihat keseluruhan fasa gerhana dari awal hingga akhir


Jika anda terlepas gerhana kali ini, anda terpaksa menunggu sehingga 10 Oktober 2014 untuk Gerhana Penuh Bulan yang boleh dilihat dari Malaysia. Itupun anda hanya dapat lihat separuh sahaja, iaitu Bulan sudahpun TAMAT fasa gerhana sepenuhnya ketika ia terbit di waktu Maghrib (di Kuala Lumpur). Gerhana Penuh seterusnya ialah 4 Apr 2015 dan itupun anda dapat lihat separuh sahaja, iaitu Bulan sedang memasuki fasa gerhana penuh ketika ia terbit.

Oleh itu jangan lepaskan peluang menyaksikan KESELURUHAN fasa Gerhana Bulan Penuh pada bulan Disember nanti.

Selamat Mencerap Gerhana!

Menanti Gerhana Bulan

Read More

Selasa, Disember 06, 2011

Oleh : Mufti Brunei


Ketahuilah Amalan Yang Disunatkan Pada 10 Muharram
بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Muharram adalah bulan pertama dalam kalendar Hijrah. Ia termasuk antara bulan-bulan yang dihormati sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya:

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan pada sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati.”
(Surah at-Taubah: 36)

Empat bulan yang dihormati yang tersebut dalam ayat di atas ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Manakala diriwayatkan oleh Abi Bakrah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:

“Sesungguhnya zaman itu berputar sebagaimana bentuknya pada hari Allah mencipta langit dan bumi. Setahun ada dua belas bulan. Antaranya terdapat empat bulan yang dihormati, Tiga bulan berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan Sya‘ban.”
                                                                          (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam bulan Muharram ini terdapat satu tarikh yang dianggap istimewa iaitu tarikh 10 Muharram yang juga dikenali sebagai hari ‘Asyura’. Pada tarikh ini banyak berlaku peristiwa-peristiwa penting, antaranya Nabi Adam ‘alaihissalam bertaubat kepada Allah sehingga dia kembali suci, Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa ‘alaihissalam dan lain-lain peristiwa yang dapat dijadikan iktibar bagi umat Islam.

Di samping keistimewaan hari ‘Asyura’ yang berlaku di dalamnya peristiwa-peristiwa penting, hari ‘Asyura’ juga merupakan peluang untuk meraih ganjaran amalan-amalan yang disunatkan untuk dilakukan pada hari tersebut.



Amalan Yang Disunatkan Pada Hari ‘Asyura’

Di dalam hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada disebutkan mengenai amalan-amalan yang sunat dilakukan pada hari ‘Asyura’ serta fadhilat yang diperolehi bagi sesiapa yang melaksanakan amalan-amalan tersebut. Amalan yang dimaksudkan ialah melakukan ibadah puasa dan menyenangkan hati kaum keluarga.

1. Puasa pada hari ‘Asyura’

Hukum berpuasa pada hari ‘Asyura’ adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang amat dituntut. Anjuran berpuasa pada hari tersebut disebutkan dalam hadis Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, Baginda bersabda:

Maksudnya:

“Sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan ialah bulan Muharram dan sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardhu ialah sembahyang pada waktu malam.”

                                                                                                (Hadis riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain pula, Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma menceritakan:

Maksudnya:

“Aku tidak melihat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mencari-cari puasa pada satu hari, (Baginda) mengutamakannya daripada hari-hari yang selainnya, kecuali hari ini iaitu hari ‘Asyura’, dan bulan ini iaitu bulan Ramadhan.”
                                                                                          (Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam turut berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan Baginda menyuruh umat Islam berpuasa supaya tidak terlepas peluang melaksanakan tuntutan sunat ini. Antaranya:

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Sa‘id bin Jabir daripada ayahnya, daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhum, katanya:

Maksudnya:

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika sampai ke Madinah lalu melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura’. Kemudian Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Apa ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari baik, Ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh-musuh mereka lalu (pada hari ini) Nabi Musa berpuasa.” Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku lebih berhak untuk menghormati Musa daripada kamu.” Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berpuasa hari ‘Asyura dan menyuruh para sahabat untuk berpuasa pada hari tersebut.”


                                                                                       (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis lain yang diriwayatkan daripada Humaid bin Abdul Rahman, dia mendengar Muawiyyah bin Abu Sufyan berkata di atas minbar pada hari ‘Asyura:

Maksudnya:

“Wahai penduduk Madinah, di manakah para ulama kamu? Aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ini adalah hari ‘Asyura’, dan tidak diwajibkan ke atas kamu berpuasa. Namun aku berpuasa. Maka barangsiapa yang menghendaki untuk berpuasa, maka berpuasalah dan barangsiapa yang menghendaki untuk tidak berpuasa, maka berbukalah”.
                                                                                             (Hadis riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis-hadis di atas, jelas bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menggalakkan umat Islam supaya melakukan puasa hari ‘Asyura’. Setentunyalah dengan galakan daripada Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri, peluang seumpama ini tidak dilepaskan oleh umat Islam, apalagi jika mengetahui fadhilat yang diberikan kepada mereka yang melakukan puasa hari ‘Asyura’. Fadhilat berpuasa hari ‘Asyura’ disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abi Qatadah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:

“… Berpuasa pada hari ‘Asyura, aku mengira bahawa Allah akan menebus dosa tahun yang dahulunya (bagi orang yang berpuasa pada hari tersebut).”
                                                                                               (Hadis riwayat Muslim)

Terdapat beberapa pendapat tentang apa yang dimaksudkan dengan ‘tahun yang dahulunya’:

i. Tahun itu sendiri, iaitu sembilan hari sebelum hari ‘Asyura’.

ii. Sepanjang tahun sebelum hari ‘Asyura (iaitu bermula dari
hari ‘Asyura’ sebelumnya).


Sumber : Mufti Brunei

Amalan Sunat Yang Afdhal Dilakukan pada 10 Muharam

Read More

ALLAH SWT berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi ALLAH adalah 12 bulan sebagaimana ketetapan ALLAH ketika DIA menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.” (Surah at-Taubah, 9: 36)

Nabi SAW bersabda, “Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak ALLAH menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan, di antaranya empat bulan haram. tiga bulan berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan satu lagi ialah Rejab yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Muharam ialah bulan yang mulia dan ia memiliki keutamaannya tersendiri. Nabi SAW menyatakan Muharam ialah bulan ALLAH, dan puasa yang paling afdal setelah Ramadan ialah puasa dalam Muharam.

Kata Nabi SAW, “Puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan ialah puasa di bulan ALLAH, al-Muharam. Solat yang paling afdal setelah solat yang difardukan adalah solat pada malam hari.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan kemuliaan di bulan haram, terutamanya Muharam. Selain itu, di dalamnya turut ditegaskan lagi akan larangan menganiaya diri. Ini menunjukkan perbuatan maksiat di bulan haram lebih diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang besar.

Hikmah Bulan Haram

Di antara hikmah dijadikan empat bulan haram di mana tiga bulan secara berturut-turut dan satu bulan lagi dengan menyendiri adalah bagi memberi ketenangan kepada umat Islam yang melaksanakan ibadah haji. Iaitu Zulkaedah merupakan satu bulan pertama sebelum bermulanya bulan haji. Seterusnya bulan Zulhijah di mana umat Islam disibukkan dengan ibadah haji dan melaksanakan manasiknya. Kemudian dijadikan bulan yang seterusnya juga sebagai bulan haram, iaitu Muharam supaya pada bulan tersebut mereka dapat kembali ke wilayah atau negara mereka masing-masing yang saling berjauhan secara aman.

Manakala Rejab yang berada di pertengahan tahun pula adalah supaya pada bulan tersebut umat Islam di sekitar Jazirah Arab dapat mengunjungi Kaabah dan melaksanakan umrah dengan aman. (Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 4/148)

Ini adalah kerana dalam bulan-bulan haram, umat Islam diharamkan untuk berperang melainkan sekiranya umat Islam lebih dahulu diserang atau diperangi. Pada ketika umat Islam lebih dahulu diserang, mereka dibolehkan untuk mempertahankan diri serta membuat serangan balas.

 

Amalan sunnah Muharam

Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus pada Muharam adalah berpuasa sunnah.

Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharam. Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara umum. Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan ini (Muharam) terutamanya pada hari ke-10 Muharam adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.

‘Abdullah B ‘Abbas r.a berkata, “Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke-10 Muharam).” Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”

Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana ALLAH telah menyelamatkan bani Israel daripada kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada ALLAH dan kami pun turut serta berpuasa.

”Nabi SAW pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa.

Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan, “Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari Asyura (hari ke-10) Muharam, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9.

Ibnu ‘Abbas r.a berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”

Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika begitu, tahun depan insya-ALLAH kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharam.

Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya, “Adapun puasa di hari Asyura, aku memohon kepada ALLAH agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim).


Sumber:
http://ustazazhar.net  

Merebut Kelebihan Bulan Muharam

Read More