Sabtu, Mac 31, 2012

"Demi buah tiin dan zaitun. Dan Gunung Tursina". (Surah at Tiin ayat 1 dan 2). Allah telah menyebut di dalam Al Quran berkenaan dengan buah zaitun. Ini menunjukkan buah zaitun juga memiliki banyak keistimewaan tersendiri yang jarang diketahui dan diselidiki. Di dalam Al Quran, buah zaitun disebut sebanyak 7 kali di mana sebanyak 2 kali, ia di sebut bersendirian dan 5 kali lagi ia digambarkan dalam Al Quran bersama dengan buah- buahan lain seperti tamar, delima, anggur dan buah tiin. Gambaran ini menunjukkan betapa banyaknya khasiat buah zaitun sepertimana buah- buahan lain yang mendatangkan kebaikan kepada kehidupan manusia sejagat. 


Buah zaitun atau nama botaninya dikenali sebagai olea europea ditanam di kawasan Meditranean tetapi tempat penanaman yang paling utama ialah Sepanyol, Turki, Itali, Tunisia dan Morocco. Di dalam surah an Nur ayat 35 juga Allah menyebut tentang buah zaitun yang mana ulama seperti Maulana Majid, Maulana Maududi, Maulana Usmani, Maulana Haqqani dan Abdullah Yusuf Ali memberi pentafsiran dan pandangan yang sama merujuk kepada tempat dan taburan penanaman buah zaitun.

Dunia moden pada hari ini, melalui kajian- kajian sains semasa mengiktiraf khasiat buah zaitun. Minyak zaitun mempunyai nilai yang tinggi dalam bidang perubatan. Seandainya minyak zaitun diambil sebagai bahan makanan, ia bertindak sebagai penambah zat makanan, mencuci dan membaik pulih perut dan menjadi penawar racun. Ia akan membantu pesakit gastrik dan juga yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang. Jika minyak zaitun diambil sebagai sapuan luaran, ia bertindak sebagai pelicin dan pelembut kepada kulit yang mengalami ekzema dan psoriasis seterusnya dapat meremajakan kulit. Menurut Tirmidzi dan Ibn Majah, Nabi Muhamad SAW bersabda, " Makanlah minyak zaitun, dan sapulah kulitmu dengannya kerana ia datang dari pohon yang diberkati".

Dari sudut pandangan sains pemakanan, minyak zaitun mengandungi asid lemak tidak tepu yang dikelaskan sebagai "monounansaturated" yang mampu merendahkan kolesterol berbahaya di dalam darah. Satu kajian yang telah dijalankan oleh pakar- pakar kesihatan di Institut Sains Kesihatan, Universiti Oxford melihat perkaitan antara kanser dan pemakanan seseorang. Didapati bahawa negara yang mengamalkan pengambilan daging yang kerap dan rendah dalam pengambilan sayur- sayuran mempunyai risiko dan kes penyakit kanser yang tinggi tetapi pengambilan minyak zaitun akan mengurangkan kadar kes tersebut. 


Dalam Annals of Oncology (10 Januari 2005) menyatakan pakar- pakar sains mendapati diet Meditranean yang kaya dengan minyak zaitun akan mengurangkan risiko seseorang mendapat kanser payudara kerana kandungan ‘oleic acid' yang terdapat didalamnya. Menurut Imam Ibn Qayyim Al Jauziyyah, mutu minyak zaitun adalah bergantung kepada pokok yang mengeluarkannya. Sebagai contoh, jenis yang terbaik adalah minyak zaitun yang dikeluarkan daripada buah yang masak, manakala minyak daripada buah zaitun yang belum masak adalah bersifat sejuk dan kering. Buah zaitun yang telah masak ranum, lebih cenderung menjadi panas dan mengurai. Oleh itu, jika ia diproses menggunakan air akan menjadikannya kurang panas, bertindak dengan lembut dan lebih berkhasiat. Walaubagaimanapun, semua jenis minyak zaitun akan melembutkan kulit serta melambatkan proses penuaan. Di samping itu, minyak zaitun dapat melawan racun di dalam badan dengan bertindak sebagai ‘laxative' dan menyingkirkan cacing di dalam badan.

Melihat kepada keadaan dan tahap kesihatan masyarakat kita sekarang, penyakit jantung yang dikenali sebagai pembunuh secara senyap semakin meningkat. Namun begitu, pengambilan minyak zaitun mungkin dapat mencegahnya kerana ia kaya dengan bahan ‘phenol'. Bahan ini mempunyai bahan antioksidan yang tinggi di samping mampu mencegah proses radang dan pembekuan darah. Oleh itu, pengambilan minyak zaitun amat bermanfaat untuk mencegah seseorang daripada menghidapi penyakit jantung. Di samping itu, mutakhir ini, manfaat minyak zaitun untuk kecantikan seringkali dihebahkan di dada akhbar mahupun media elektronik. Ini kerana, banyak syarikat kosmetik yang menggunakan minyak zaitun sebagai bahan asas ramuan dalam pembuatan barangan kecantikan. Oleh itu, sememangnya kelebihan minyak zaitun tidak dapat dinafikan lagi.

Kelebihan minyak zaitun boleh dilihat dalam situasi yang paling dekat dengan kehidupan kita di mana penggunaannya sebagai minyak masak. Walaupun banyak pendapat mengatakan bahawa makanan yang dimasak atau digoreng menggunakan minyak zaitun tidaklah sesedap makanan yang digoreng dengan menggunakan minyak kelapa sawit, namun ia ada kelebihan tersendiri dari sudut kesihatan. Minyak masak selain yang berasaskan buah zaitun apabila digunakan berulang kali menyebabkan jumlah kolesterol teroksida dan menjadi tepu serta tidak elok untuk kesihatan. 


Kesannya dapat dilihat apabila minyak tersebut memerangkap sisa makanan dan berubah warna dan bau. Namun berbeza dengan minyak zaitun kerana ia boleh digunakan berulangkali, tidak akan mengalami proses pengoksidaan dan menjadi tepu serta tidak akan berubah dari segi warna dan bau. Setelah makan makanan yang digoreng menggunakan minyak zaitun, perut akan terasa ringan dan puas sehingga seseorang akan berhenti makan sebelum kenyang. Ini adalah kerana kesan daripada penguraian tenaga di hati oleh minyak zaitun yang mempunyai banyak kandungan zat yang bermanfaat.

Oleh itu, tidak dapat disangkal lagi akan keistimewaan buah zaitun yang daripadanya boleh menghasilkan pelbagai jenis barangan dengan teknologi yang ada pada masa kini untuk kegunaan ramai. Sehubungan dengan itu, daripada Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda " Ambillah minyak zaitun dan sapulah ke kulitmu. Ia membantu mengubat tujuh puluh (beberapa) penyakit dan juga Juzam (kusta). Dengan ini, tidak hairanlah, ramai yang mengetahui akan kelebihan buah zaitun, memanfaatkannya sebagai bahan untuk kegunaan asas seperti minyak masak, minyak rambut, barangan kecantikan, sabun dan juga dijadikan sebagai makanan tambahan. 


Justeru, khasiat yang terdapat pada buah zaitun merupakan anugerah Allah ke atas hamba- hambaNya yang amat bernilai untuk dimanfaatkan kerana bukan sahaja buah zaitun disebut di dalam Al Quran, malah pakar- pakar sains dunia juga mengiktiraf akan keistimewaannya.

Buah Zaitun : Khasiat dan Keistimewaannya

Read More

Rabu, Mac 28, 2012

    Selesai membaca artikel yang menceritakan tentang pengasas syarikat Google yang di asaskan oleh dua sahabat Larry Page dan Sergey Brin yang sama-sama belajar di Stanford University, USA pada tahun 1995. Bertitik mula dari impian untuk menghasilkan sesuatu yang boleh memberi maklumat dalam beberapa minit maka terhasillah enjin carian Google.


Dengan perkembangan google hari ini sebagai enjin carian di internet yang terbesar, pantas dan tepat telah mencetus fenomena dunia baru. Hinggakan di kalangan masyarakat Malaysia sendiri terpengaruh dengan arus pemodenan dunia semasa. Professor Google ataupun Syeikh Google menjadi sinonim dengan masyarakat kerana bermula angan-angan dua pemuda tersebut yang mahu menghasilkan sesuatu yang boleh memberi maklumat dalam beberapa saat.

Seiring dengan kemajuan internet, satu langkah bijak harus di ambil bagi setiap pengguna kerana ramai yang mula beralih perhatian sehinggakan masa yang diluangkan di internet lebih lama berbanding untuk perkara-perkara berfaedah. Bagaimanakah cara untuk menangani masalah ini? Hanya dengan memanfaatkan internet, maka perkara ini dapat di tangani.

Namun, ramai yang tidak mampu dan tidak tahu bagaimana untuk memanfaatkan internet. Disini saya sertakan beberapa cara atau tip sebagai langkah kita sama-sama untuk memanfaatkan internet seterusnya memanfaatkan setiap masa seharian kita.

1. Mereka laman sendiri.

Mengikut statistik di Malaysia, media baru internet telah mencatat statistik terbanyak pengguna berbanding televisyen dan akhbar. Ini menyaksikan bahawa kecenderungan masyarakat terhadap mencari maklumat di internet dan sebagainya di laman maya. Justeru, dengan mereka laman sendiri atau lebih popular dengan blog, mampu menyebarkan pelbagai maklumat kepada masyarakat. Bukan sekadar itu sahaja. Malah, dengan menghasilkan laman sendiri, akan membuatkan kita untuk mencari maklumat tambahan sebagai isi dalam penulisan disamping mencungkil bakat penulisan.
Maklumat yang berguna seperti risalah dakwah dan informasi lain dapat disebarkan dengan cara ini disamping mampu untuk menambah sumber kewangan.

2. Mencari peluang perniagaan.

Majoriti masyarakat hari ini cenderung untuk berniaga dan ramai yang kecundang gara-gara tiada publisiti yang meluas. Melalui internet, peluang untuk membina pasaran sangat luas sehingga mampu menyebarluas pasaran ke seluruh dunia. Ini bukan saja memudahkan bahkan memberi peluang yang besar .

Setiap produk yang di pasarkan di internet lebih mudah dan selamat. Selain itu, kita juga mampu menambah skil perniagaan semasa yang seiring dengan kemajuan.

3. Mencari dan menyalur maklumat.

Inilah tujuan asal kepada penciptaan internet. Namun hari ini, fungsi ini tidak begitu meluas kerana ada aplikasi lain yang lebih menarik tetapi melalaikan di internet. Untuk menjayakan cara ini, masyarakat mestilah mempunyai kecenderungan untuk mengkaji sesuatu. Kecenderungan ini akan membentuk semangat ingin tahu yang akan membuatkan anda untuk menggunakan pelbagai alat untuk memenuhi kecenderungan itu.
Dengan hasil kajian yang dilakukan boleh disalurkan kembali untuk memenuhi pengetahuan semasa yang akan memanfaatkan orang lain.

Terdapat banyak cara lain lagi untuk memanfaatkan internet mengikut kepada keperluan diri. Saban hari, semakin banyak ruang maya internet dipenuhi dengan pelbagai laman sosial, pornografi, permainan dan lain-lain yang dilihat makin melalaikan dan meruntuhkan akhlak masyarakat. 


Justeru, kita harus bijak dalam memanfaat setiap genap waktu yang ada sebelum tiba masanya kita pergi meninggalkan segala yang ada didunia.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Oleh:
Hafiz Othman

Universiti Yarmouk, Jordan

Memanfaatkan Internet

Read More

Isnin, Mac 26, 2012

Pengalaman saya berpraktikal di pejabat agama dan mehkamah Syariah banyak membuka mata saya terhadap rumah tangga. Lebih-lebih lagi antara kes yang hadir ke mahkamah adalah untuk menuntut tuntutan cerai dan nafkah. Dan lebih menyedihkan lagi, majoriti yang membuat tuntutan adalah mereka yang baru mendirikan rumah tangga.  “read more” 

Mungkin saya bukan lah orang yang sesuai untuk membicarakan tentang rumah tangga kerana status saya yang masih bujang, namun suka saya untuk memberi pandangan dari sisi yang punya ayah dan ibu, kakak dan abang yang sudah berumah tangga. Pernah saya menyertai sesi kaunseling terhadap pasangan yang kerap kali bergaduh dan ingin bercerai. hanya gara-gara tugasan rumah dan tekanan perasaan.

Berikut bukanlah dialog kami semasa sesi kaunseling tersebut, tapi amat wajar untuk direnungi buat semua pasangan dalam bertoleransi dan bertolak ansur.

Semoga bermanfaat.


DIA TIDAK BEKERJA?

 Buat suami-suami yang bekerja di luar sana dan isteri berada di rumah:

Ustaz Hafiz : Apakah pekerjaan Encik Rosli?

 Encik Rosli : Saya bekerja sebagai Akauntan di sebuah Bank.

Ustaz Hafiz : Halimah pula?

Encik
Rosli : Dia tidak bekerja. Hanya suri rumah sahaja.

Ustaz Hafiz : Tiap-tiap pagi siapa yang sediakan sarapan pagi?

Encik Zainal : Halimah yang sediakan sebab dia tak kerja.

Ustaz Hafiz : Pukul berapa Halimah bangun untuk sediakan sarapan?

Encik
Rosli : Pukul 5 pagi dia bangun kerana saya akan keluar bekerja pada pukul 6.30 pagi.

Ustaz Hafiz : Anak-anak encik Rosli ke sekolah bagaimana?

Encik
Rosli : Halimah yang hantar sebab dia tidak bekerja.

Ustaz Hafiz : Selepas hantar anak-anak, Halimah buat apa?

Encik Zainal : Pergi ke pasar, kemudian balik rumah untuk memasak dan kemas rumah. Halimah kan tak bekerja.

Ustaz Hafiz : Petang hari selepas Encik Rosli balik rumah, apa yang Encik Rosli lakukan?

Encik
Rosli : Balik berehat, kerana seharian saya penat bekerja.

Ustaz Hafiz : Apa Halimah buat?

Encik
Rosli
: Sediakan makanan, melayan anak, mengemas dan dia juga mengambil upah menjahit.

Dia menjahit sehingga lewat malam kerana dia tidak bekerja.

Toleransi Dalam Rumahtangga

Read More

Baru-baru ini saya di sapa oleh seorang teman semasa di kolej. Agak janggal kerana tiba-tiba disapa oleh beliau yang saya anggap sebagai kakak yang kurang mesra dengan saya. Dalam perbincangan secara maya itu, saya disoal berkenaan dengan pelaburan dinar Iraq (IQD) yang pernah mencetuskan banyak peluang pelaburan. 

Jika anda membuat kajian, anda akan dapati setiap kali konflik besar akan dituruti oleh kejatuhan matawang sesebuah negara. Matawang juga akan kembali melonjak apabila negara itu bangun dari kehancuran akibat
peperangan.

Hari ini Iraq sedang aktif membina kembali simpanan rezab asingnya. Ini adalah kunci kepada kekuatan tukaran asing sesuatu matawang. Langkah pertama mereka ialah mendepositkan USD5 bilion dengan Perbendaharaan Amerika, membolehkan Iraq menikmati pulangan melebihi USD150 juta setahun.

Jumlah hutang Iraq kepada dunia semakin mengecil. Amerika Syarikat sendiri telah melupuskan semua hutang Iraq sama ada hutang sebelum perang atau pun hutang selepas perang. Perjanjian Paris juga menyaksikan kebanyakan negara termasuk Rusia telah melupuskan 85% hutang Iraq kepada mereka.

Iraq bukan hanya kaya dengan sumber asli minyak dan gas. Kedudukannya yang strategik, mengalir antaranya dua sungai penting, Tigris dan Euphrates, membentuk tanah luas yang subur. Pelaburan dalam bidang pertanian semakin bercambah menyebabkan Iraq disebut-sebut sekali lagi sebagai “Periuk Nasi” Timur Tengah.


Pandangan Shariah 

Jika pembelian matawang ini melalui internet secara ‘tempahan' dan akan sampai kepada pembeli dalam beberapa hari. Menurut kefahaman saya, pembelian matawang Iraq adalah HARAM. Perlu difahami bahawa Nabi SAW telah meletakkan syarat dalam pembelian jual beli emas, perak termasuk sesama matawang ; pihak penjual mestilah menerima wang belian dan pihak pembeli mestilah menerima matawang yang di ingininya pada masa yang sama atau dalam satu ‘majlis aqad'. (Sila rujuk http://www.zaharuddin.com/ untuk kefahaman lanjut tentang syarat ini).

Bagaimanapun, dalam hal ini, sekiranya anda membeli (menukar) Ringgit Malaysia anda kepada Dinar Iraq itu; apa yang akan berlaku adalah anda akan membayarnya sekarang iaitu melalui kredit kad atau cash dan lain-lain. Kemudian, anda hanya akan menerimanya dalam masa beberapa hari atau jam selepas itu. Tatkala itu, penangguhan yang tidak dibenarkan oleh Islam telah berlaku, ianya termasuk dalam kategori Riba Nasiah.

Walaupun demikian, sekiranya anda boleh membelinya secara tidak bertangguh seperti menukar matawang di Kaunter Pengurup. Ketika itu, pembelian ini adalah sah dan tiada Riba berlaku. Ini agak sukar di gambarkan kerana ibu pejabat syarikat maya yang menjual Dinar Iraq ini berada di USA dan Hong Kong.


Selain isu Riba, satu lagi sudut Shariah yang di pertimbangkan adalah hal spekualsi berlebihan dan judi. Tidak saya nafikan bahawa kebanyakan Majlis Penasihat Bank-Bank Islam di seluruh dunia memfatwakan pembelian matawang oleh pihak Bank-bank islam dan menyimpannya untuk dijual kemudiannya bagi memperolehi untung adalah di haruskan. Mereka menyebut bahawa spekulasi ini tidak samapi ke tahap judi dan masih berada di tahap yang diharuskan. Unsur ‘gharar'nya pula adalah kecil. Unsur perjudian juga tiada, kerana ianya bukannya seratus peratus dibuat atas dasar ‘nasib' tetapi adalah berdasarkan kaji selidik, ilmu yang benar dan analisa terperinci atau secara mudahnya disebut sebagai hasil analisa risiko dan peluang perniagaan.

Walaupun demikian, saya berpandangan :-
Setiap individu yang ingin membeli mestilah juga mengkaji dan mempunyai ilmu tentang peluang, potensi dan risiko pembeliannya bagi memastikan pembeliannya berbeza dengan satu perjudian yang didasari nasib semata-mata. 


Jika dilihat menurut ‘Maqasid Shariah' atau objektif Shariah pula. ADALAH TIDAK HARUS untuk seseorang yang kurang berkemampuan untuk membeli set dinar tadi walaupun harganya RM 720 sahaja. Ini kerana dibimbangi ada umat Islam yang terlampau yakin maka, sanggup bergolok gadai dan membahayakan diri bagi membeli Dinar ini sehingga hilang kemampuannya untuk menyara saraan wajib terhadap anak, isteri dan keluarga. Dalam hal ini, hukum 'gharar' (ketidaktentuan) sudah menjadi amat besar dan hukum judi telah jatuh kepada si pembeli. Ini bermakna , hukum 'judi' dalam 'spekulasi' Forex jenis ini bergantung juga kepada kemampuan individu. Bagi sesetengah individu yang berada, membeli RM 720 adalah tidak memberikan apa-apa mudarat kepada tanggungan wajibnya. Maka tika, itu, elemen ‘gharar' akan berkurangan tidak sampai tahap haram. Berbanding seorang yang kurang berkemampuan yang menggadaikan kewajibannya, dengan harapan dinar itu akan naik pada satu masa yang tidak diketahui. Ia sudah jatuh dalam tahap judi. wallahu a'lam.


Beberapa Pertimbangan lain

1) Anda perlu memastikan bahawa anda membeli duit Iraq yang asli. Di bimbangi andaditipu lalu membeli yang tiruan lalu anda memiliki wang yang tidak laku di mana-mana.

2) Perlulah mendapatkan pandangan undang-undang dari Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti agar anda tidak terjebak dalam sebarang masalah kelak.

3) Dinar Iraq versi lama kerap kali ditukar kepada versi baru. Saya mengingatkan hal ini diambil berat dan di pastikan sendiri oleh pembeli Dinar Iraq ini. Ini kerana, atas kelalaian seseorang sahaja, Dinarnya boleh luput tanpa sebarang ganti. Perlu diingat juga, bagaimana untuk anda yang sibuk bekerja untuk mengetahui bahawa Dinar yang anda miliki sudah di tukar versinya ?.

4) Saya juga difahamkan bahawa ada pihak yang menjualnya menggunakan cara ‘Multi Level Marketing', jika ini benar, maka hukumnya pastinya berlainan dari apa yang disebut di atas. Ini kerana, beberapa pertimbangan lain perlu dinilai semula.

Akhirnya, pastikanlah ianya disahkan oleh undang-undang dan sah juga dari sudut Shariah. Menurut Shariah seseorang harus untuk membeli Dinar ini tetapi dengan syarat mestilah dengan ilmu dan analisa dan terima serahnya dilakukan dalam satu masa. Ini bermakna, anda perlu mendapatkannya di kaunter jualan di Kuala Lumpur atau mana jua untuk membeli set dinar Iraq itu secara ‘by hand'. Tidak dibenarkan membeli menggunakan pos dan apa jua cara yang menjadikan penyerahannya tertangguh.

Perlu dingat juga bahawa lapangan pelaburan FOREX seperti ini adalah luas dan berisiko tinggi, menurut pakar, ‘trend' dan strategi yang berkesan pada satu masa lalu tidak semestinya terpakai dan sesuai dalam keadaan sekarang. Ianya juga amat sukar diramal dengan tepat.

Pandangan Syariah tersebut adalah bersumber dari www.zaharuddin.net/ .

Dinar Iraq: Berfikir sebelum melabur

Read More