Isnin, Februari 11, 2013

Apa itu Taman Syurga?

Dari Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda, 
“Jika kalian melewati taman-taman syurga maka singgahlah dengan senang.” Para sahabat bertanya, “Apakah taman-taman syurga itu?” Baginda  menjawab, “Halaqah-halaqah zikir.” 
                                     (HR. at-Tirmidzi)

Para ulama menyebut Halaqah zikir itu adalah tempat-tempat di mana berkumpulnya orang-orang yang menyebut nama Allah, berzikir, membaca Al-Quran dan majlis-majlis ilmu. Biasanya adalah di rumah Allah iaitu masjid dan tempat ibadah seperti surau dan sebagainya. Gerakkanlah tulang empat kerat kita yang masih punya kudrat ini untuk menghadiri ceramah agama, kuliah, tazkirah dan seumpamanya. Ia bukan sekadar majlis ilmu, tetapi ia adalah taman Syurga di mana kita boleh petik madah-madah dakwah di sana dan hadiahkan kepada orang lain pula di luar sana.Taburkan Benih Dakwah Untuk Memetiknya Di Syurga

Tidak akan masuk seseorang manusia itu ke dalam Syurga melainkan dengan kehendak Allah.Tidak akan Allah masukkan seseorang ke dalam ke dalam Syurga tanpa pahala. Tidak akan seseorang itu mendapat pahala andainya dia tidak melakukan kebaikan sepanjang hidupnya.


 Tidak mendapat pahala seseorang yang telah mati melainkan 3 perkara iaitu anak yang soleh, sedekah dan ilmu yang berguna yang diamalkan oleh orang yang hidup. Maka petiklah ilmu yang terdapat di taman-taman syurga dan sampaikanlah ia kepada orang lain. Sesungguhnya bagi setiap orang yang mendapat ilmu itu, Allah akan kurniakan ganjaran pahala yang besar buat kita.


 Pahala itu pula bercambah dalam pelbagai peringkat: Pahala orang mendapat ilmu itu.Pahala orang mengamalkan ilmu itu.Pahala orang mengamalkan ilmu itu sehingga akhir hayatnya.Pahala orang menyampaikan ilmu itu kepada orang lain. Pahala orang lain menerima dan mengamalkannya.Pahala orang lain menyampaikan pula ilmu itu kepada orang lain. Dan begitulah seterusnya ganjaran yang Allah berikan tanpa putus sehingga hari kiamat selagi ada orang memanfaatkan ilmu yang kita sampaikan. Inilah MLM (Multi Level Marketing) yang paling menguntungkan samada di dunia mahupun di akhirat.


Justeru itu rajinkanlah diri menghadiri taman Syurga untuk memetik benih dakwah dan semailah ia di mana sahaja kita berada. Semoga Allah memberi keberkatan dan kebahagiaan kepada kita di akhirat kelak. InsyaAllah



Memahat Madah Dakwah

Read More

Jumaat, Februari 08, 2013



Pertama : Pemuda yang siap siaga untuk menyahut seruan perjuangan tanpa sebarang rasa ragu bagi menegakkan syariat Allah swt di atas muka bumi ini. Ikrar mereka ialah ikrar seorang pejuang :
"Sama ada menang atau gugur sebagai syuhada’"

Kedua : Pemuda yang menjunjung segala peraturan dan arahan jamaah serta berdiri teguh bersama kepimpinannya, tidak gentar mendepani cabaran malah bersedia menghadapi apa jua implikasi perjuangan, biarpun terpaksa mengorbankan segala kepentingan diri sendiri iaitu masa, tenaga, harta, darah dan nyawa. Sebagaimana taujihat Khalid Ibnu Walid r.a. ketika berdepan dengan tentera musuh:

"Kami datang dengan suatu golongan yang kasih kepada mati sebagaimana kamu kasih kepada hidup"

Ketiga : Pemuda yang memiliki kualiti dan tahap piawaian melalui pelbagai aktiviti yang disusun dan diatur merangkumi amal tarbawi, amal siasi serta amal kebajikan dan dakwah.

Keempat : Pemuda yang mewarisi kemuliaan akhlak Rasulullah saw dalam mengurus perjuangan mendepani tahaddiyat [ tentangan ] yang dihadapkan oleh musuh kepada kita. Bukan pemuda yang kasar dan ganas, bukan juga pemuda yang ekstrim dan subversif sebaliknya menjadi:

o Pemuda yang beriman dan bertaqwa
o Pemuda yang berilmu dan berwibawa
o Pemuda yang berorientasikan syariah dan sunnah
o Pemuda yang berhemah dan berhikmah
o Pemuda yang berjiwa besar dan berlapang dada
o Pemuda yang tangkas dan berani
o Pemuda yang cerdas dan cergas
o Pemuda yang sabar dan tabah
o Pemuda yang amanah dan setia
o Pemuda yang rajin dan multazim [ komited ]

Biarpun masyarakat dan dunia modern hari ini memandang sinis penampilan pemuda yang sedemikian , justeru Nabi saw pernah bersabda:

Islam telah bermula dalam keadaan gharib [asing], kelak ia akan kembali menjadi asing sebagaimana ia bemula, maka berbahagialah orang-orang yang tetap bersama Islam walaupun dianggap asing.

Kelima : Pemuda yang memiliki aqidah perjuangan yang mantap sekalipun ia adalah seorang pemain futsal yang tegar , memiliki pemikiran Islam yang syumul sekalipun ia seorang seniman dan memiliki keperibadian muslim yang unggul sekalipun ia seorang pelumba motor.

Keenam : Pemuda yang bersedia untuk menjadi Rijaalut Taghyiir [ agent perubah ] yang menggerakkan perubahan dalam negara, masyarakat dan sistem pemerintahannya. Membebaskan negara dan masyarakat dari sistem ciptaan manusia yang korup. Negara dan masyarakat yang hanya mementingkan pembangunan material tetapi meruntuhkan spiritual. Negara dan masyarakat yang hanya mengamalkan semangat perkauman yang sempit dan membina tamaddun serta peradaban terpisah dari wahyu Allah swt.

Ketujuh : Pemuda yang aktif menyertai aktiviti amal Islami, kebajikan dan sosial. Menghubungkan jamaah dengan ummah, menjadi jambatan antara jemaah dengan masyarakat sekaligus menjuarai isu serta menanganinya dengan bijak dan bistari. Memimpin dan membimbing masyarakat secara hikmah berasaskan hujjah, mengambil tempat seorang pemimpin yang disebut oleh Saidina Ali karramallahuwajhah :

Tidak akan sunyi bumi ini dari seorang pemimpin yang bangun berdiri untuk menegakkan agama Allah swt dengan segala hujjahnya.

Kelapan : Pemuda yang tidak membazirkan masa dan tenaganya untuk bertelagah dan saling tuding menuding mencari salah antara satu sama lain sedang tanggungjawab perjuangan ini terlalu banyak dan berat untuk diurus. Rapatkan saff dan eratkan ukhuwwah untuk membina ketumbukan pemuda yang mantap dan perkasa. Firman Allah swt :

"Dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan ; kalau tidak nescaya kamu binasa dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi Segala kesukaran Dengan cekal hati); Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang sabar."
(Surah Al Anfaal : Ayat 46)

Kesembilan : Pemuda yang senantiasa peka dan sensitif terhadap keperluan jamaah dan tuntutan ummah. Berfikir dan merancang untuk memperkukuhkan jamaah agar senantiasa berkeupayaan menampung tuntutan ummah yang semakin mendesak. Janganlah hanya berpeluk tubuh dan berfikiran kosong sedang amanah pula semakin berat dan mencabar. Sekadar selesa dan teruja memegang jawatan tetapi mengabaikan tanggungjawab yang digalas merupakan satu pengkhianatan yang dimurkai Allah swt. Sabda Rasulullah saw:

"Kamu semua adalah pemimpin dan setiap dari kalangan kamu akan dipertanggungjawabkan oleh Allah swt mengenai kepimpinannya"

Kesepuluh : Pemuda yang berlapang dada, merendah diri dan berjiwa besar. Sedia memberi arahan dan diarah. Sedia memimpin dan dipimpin. Sedia menegur dan ditegur. Sedia mengkritik dan dikritik. Sedia menasihati dan dinasihati. Sedia mentarbiyyah dan ditarbiyyah. Cepat pula belajar dari kesilapan dan pantas mengambil iktibar dari kesalahan. Sedia mendengar pandangan dari siapa jua dan menelitinya lalu mengambil yang terbaik. Firman Allah swt :

"Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan Yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan Yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang Yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang Yang berakal sempurna."(Surah Az Zumar : Ayat 18)

10 Kriteria Pemuda Ansorullah

Read More

Selasa, Februari 05, 2013




Alkisah seorang pakar mengumpat.

Shaharul seorang yang suka berkata-kata mengenai orang lain, di belakang orang lain. Perkara yang ditumpukannya selalunya negatif. Satu hari, beliau bertemu dengan Ustaz Kassim di sebuah warung.

Sebaik sahaja duduk, Shaharul mula berkata-kata mengenai jirannya, bosnya, isterinya dan juga sahabat-sahabatnya.

Ketika merungut dan bercakap buruk mengenai bosnya, Shaharul bertambah geram… semakin dicerita bagaimana bosnya tidak adil, semakin geram nada Shaharul.

Ustaz Kassim yang memerhatikan gelagat Shaharul bertanya:

“Apakah anta berasa gembira bila berkata buruk mengenai bos anta?” tanya Ustaz Kassim.

“Makin geram makin marah adalah – tapi boleh lepas geram,” kata Shaharul.

“Lepas geram, maksudnya lepas ini, tak berkata lagi mengenai bos anta?” tanya Ustaz Kassim.

“Tak… mengapa ustaz?” tanya Shaharul.

“Anta tengah meracun diri sendiri, tapi anta tak sedar,” kata Ustaz Kassim.

Shaharul terdiam. “Aku tengah meracun sendiri?” bisik dia di hati. “Bagaimana tu ustaz?”

“Selain bernafas tanpa sedar, tahukah anta bahawa ada lagi satu aktiviti badan yang kita lakukan tanpa sedar tetapi kita merasainya,” tanya Ustaz Kassim.

Shaharul menggelengkan kepala.

“Iaitu menelan air liur. Tapi pernahkah terfikir, apakah fungsi air liur yang dicipta Allah selain yang kita pelajari untuk menghadamkan makanan?” tanya Ustaz Kassim lagi.

Shaharul berfikir sejenak… “Payah betul soalan ustaz. Mohon pencerahan.”

“Air liur adalah salah satu makhluk Allah yang sentiasa keluar dari rongga tanpa disedari oleh manusia. Ia terdiri dari pelbagai bentuk molekul yang akan berubah sebagaimana air lain. Bilamana kebaikan yang diterima, didengar, dilihat, dibaca atau disentuh,maka molekul air akan berubah membentuk nilai yang baik, demikian sebaliknya.

Maka setiap orang sebenarnya membentuk perlakuan berdasarkan air liur yang ditelannya,” terang Ustaz Kassim.

“Jadi maksudnya….?” Kata Shaharul yang semakin berminat.

“Sedarkah kita bahawa apabila kita melihat benda lazat, kita menelan air liur, apabila kita bercakap kita menelan air liur, apabila kita mendengar sesuatu dengan khusyuk, kita menelan air liur, ketika kita mengumpat, kita menelan air liur dan pelbagai aktiviti lain, termasuk ketika anta (yang membaca) mendengar penjelasan ana ini? Dah berapa kali telan air liur sejak ana mula bercakap?” tanya Ustaz Kassim.

“Tak perasan pula. Rasanya banyak. Masa ustaz cakap, air liur terasa banyak terhasil… hmmm… mengapa ya?” tanya Shaharul lagi.

“Mengapakah Allah membuatkan manusia sedemikian? Apa fungsi air liur sebenarnya?
Ungkapan bahawa 'air liur penjaga kehidupan manusia' sememangnya ada asas. Apabila kita makan, air liurlah menjadi benteng pertama badan manusia.

Apabila kita membaca al-Quran, bercakap benda baik, melihat benda baik, mendengar benda yang baik dan melakukan benda yang baik - air liur berubah menjadi bentuk yang baik, dan apabila ditelan tanpa disedari, nescaya perasaan dan emosi kita terus berubah menjadi riang, yakin dan seronok.

Renungkanlah mengapa apabila kita melakukan kebaikan, badan kita berasa riang dan seronok? Bagaimana pula ketika kita melakukan dosa? Adakah kita berasa seronok selepas itu atau gusar?

Ramai yang tidak sedar, bahawa air liur yang ditelan secara tidak sedar tersebut juga mempunyai peranan yang penting untuk menentukan emosi dan pemikiran kita,” terang Ustaz Kassim.

Shaharul terpegun… “Jadi maksudnya kalau kita berkata tidak baik, maka emosi kita tak akan baik?” tanya beliau.

“Ya. Setiap kali kita mengumpat, kita akan melahirkan rasa yang lebih buruk sangka pada seseorang. Bukan sahaja orang yang mengumpat, tapi orang yang mendengar umpatan tersebut pun terkena. Ini kerana semasa mengumpat, molekul air liur kita berubah bentuk ke nilai yang tak baik, dan makin kita mengumpat, makin banyak air liur jenis ini ditelan.

Begitu juga, dengan orang yang mendengar. Makin mendengar, makin khusyuk pada umpatan, makin banyak air liur jenis yang tidak baik terhasil, dan ditelan tanpa disedari. Sekiranya orang yang mendengar menyampuk dan sertai sama perbualan tersebut, maka lebih teruklah air liur yang ditelannya.

Akhirnya, orang yang mengumpat telah menyebarkan racun buruk sangka pada seseorang kepada orang lain kerana air liur yang ditelan tersebut,” tambah Ustaz Kassim lagi.

“Jadi sebab itu, ustaz hentikan perbualan ana tadi? Ustaz biarkan ana bercakap tanpa menyampuk?” tanya Shaharul.

“(Gelak dan senyum)… ya tak ya… petuanya mudah kalau tak nak kena air liur beracun - jauhilah mengumpat, dan jauhilah orang yang mengumpat. Perisai untuk menjauhi mengumpat, ialah dengan senyuman dan jangan sampuk perbualan orang yang sedang mengumpat,” kata Ustaz Kassim.

“Hebat ustaz… mana ustaz dapat teori ini?” tanya Shaharul…

“Buku Senyumlah tulisan seorang sahabat karib,” jawab Ustaz Kassim.

Senyum.






Kisah Senyum Dan Mengumpat

Read More

Isnin, Februari 04, 2013



Malam ini pendek saja.

Bayangkan kita mempunyai sebuah akaun yang memberikan kita RM86,400 setiap subuh.

Tapi akaun ini tidak membawa baki ke hari esok. Apa yang tidak dapat dihabiskan hari ini, akan dihapuskan pada waktu malam.

Apa yang kita akan buat?

Sudah tentu kita akan mengeluarkan setiap sen daripada akaun tersebut tiap-tiap hari sebelum malam.

Betul tak?

.........
.........
.........

Sebenarnya Allah telah memberikan setiap kita, satu akaun bank yang sebegitu.

Akaun itu bernama 'MASA'.

Setiap subuh, Allah memberikan kita 86,400 saat untuk digunakan.

Pada setiap malam, masa yang tidak dilaburkan untuk perkara berfaedah akan dilupuskan setiap malam.

Ia tidak berbaki. Ia tidak berhutang.

Apa yang hilang, adalah kehilangan pada kita sendiri kerana tidak melaburkan hadiah yang diberikan Allah tiap-tiap hari dengan baik.

Kita tidak boleh mengambil kembali masa yang hilang. Kita juga tidak boleh meminjam masa daripada hari 'esok'.

Duit (Masa) yang ada hari ini perlu dihabiskan dalam hari ini. Oleh itu, laburlah pada perkara-perkara yang memberikan kesihatan, kegembiraan dan kejayaan.

Jam tengah berjalan. Gunalah sebaiknya anugerah Allah itu.

Senyum


Merenungi masa yang meninggalkan kita

Read More