Selasa, Julai 14, 2015


Antara kelebihan 10 malam terakhir Ramadan ialah adanya lailatulqadar yang ALLAH berfirman mengenainya: "Malam lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan." (Surah Al-Qadar: 3)

Berkata Imam Al-Nakha’ie: "Beramal padanya lebih baik daripada beramal pada seribu bulan di luarnya." 

Seribu bulan adalah bersamaan dengan 83 tahun dan 4 bulan. Ini bererti beramal pada malam lailatul Qadar adalah lebih baik daripada beramal dalam 83 tahun dan 4 bulan pada selainnya. 
Sabda Nabi SAW: "Barang siapa menghidupkan malam lailatul Qadar kerana iman dan mengharapkan pahala akan diampunkan dosanya yang lalu." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Malam lailatul Qadar boleh didapati pada 10 malam terakhir Ramadan sejajar dengan sabda Nabi SAW: "Carilah malam lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan." (Riwayat Bukhari & Muslim)


Tinggal lagi, seseorang itu tidak akan memperoleh malam lailatul Qadar melainkan dengan dia menghidupkan kesemua 10 malam terakhir Ramadan. Ini kerana ALLAH menyembunyikan malam lailatulqadar itu daripada hamba-Nya agar mereka memperbanyakkan amal ibadah mereka dan bersungguh-sungguh mendapatkannya pada malam terakhir Ramadan itu dengan solat, zikir dan doa. Akhirnya mereka terus dapat mendekatkan diri mereka dengan ALLAH dan memperoleh pahala ganjaran yang banyak. 

ALLAH menyembunyikan malam lailatul Qadar supaya dapat dibezakan antara mereka yang bersungguh-sungguh dan prihatin untuk memperolehinya dengan mereka yang malas dan lalai. Maka bagi mereka yang prihatin, mereka akan bersungguh-sungguh mencarinya. 

Tidakkah kita melihat apabila syarikat perniagaan membuat tawaran cabutan bertuah maka pelanggan akan berpusu-pusu menyertai peraduan tersebut? Malah mungkin sampai terpaksa berpenat-lelah dan mengeluarkan wang untuk menyertainya. Dan jika terlepas peluang tersebut mereka akan berasa sedih dan menyesal. 

Di sini kita katakan, mengapa ada yang berpaling daripada tawaran yang ditawarkan oleh ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani untuk memperoleh ganjaran yang berlipat kali ganda dan masuk ke dalam syurga? Sungguh ia adalah satu kerugian dan satu penyesalan yang teramat. 

Kelebihan Malam Lailatul Qadar

Read More