Memaparkan catatan dengan label Sejarah Agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sejarah Agama. Papar semua catatan

Sabtu, April 18, 2015



Sejarah yahudi mencatatkan perjalanan sejarah yang panjang dan penuh dengan peristiwa dan kejadian. Melalui tempoh ratusan tahun, melintasi zaman ke zaman, perpindahan tamadun ke tamadun, perubahan demi perubahan dan seterusnya wujud hingga hari ini. Dengan itu, sejarah ini perlu di jelaskan bermula peristiwa penghijrahan Ya'qub AS bersama anak-anaknya ke Mesir dan kemudian kembali semula ke Jerusalem yang kemudian dimusnahkan oleh Titus yang merupakan seorang pemimpin Rom pada tahun 70 masihi.

Para pengkaji mengatakan, jika ingin menjelaskan berkenaan agama Yahudi, maka perlu kembali melihat sejarah bangsanya. Adalah mustahil untuk memahami agama yahudi tanpa menelusuri sejarahnya. Boleh dikatakan memahami sejarahnya adalah kunci kepada memahami agama Yahudi. Justeru, adalah tidak wajar untuk kita bahaskan tentang Yahudi setelah zaman yang mendakwa mereka adalah bangsa terpilih oleh Allah selepas 1300 tahun selepas zaman Ibrahim AS dan keimanan mereka menanti kedatangan al-Masih.1

Keluarga Ya'qub

Ya'qub AS merupakan seorang nabi, anak kepada Ishaq AS, cucu kepada Ibrahim AS dan bapa saudaranya Ismail AS. Beliau mempunyai 12 orang anak, seorang darinya adalah Yusuf AS. Itulah silsilah lima nabi dalam satu nasab yang merupakan keluarga yang dimuliakan Allah. Allah telah menyampaikan berita baiknya melalui malaikat kepada Sarah, isteri Ibrahim dengan kelebihan nikmat ini dalam ahli keluarganya. Dengan itu Allah melahirkan Ishaq AS melalui rahim Sarah yang menjadi silsilah keturunan bani Yahudi walaupun Sarah merupakan wanita tua yang dilihat mustahil untuk melahirkan anak.2

"Dan isterinya berdiri (dibalik tirai) lalu dia tersenyum, maka Kami sampaikan kepadanya berita gembira tentang (kelahiran) Ishak dan dari Ishak (akan lahir puteranya) Ya'qub. - Isterinya berkata: "Sungguh mengherankan, apakah aku akan melahirkan anak padahal aku adalah seorang perempuan tua, dan ini suamikupun dalam keadaan yang sudah tua pula?. Sesungguhnya ini benar-benar suatu yang sangat aneh". - Para malaikat itu berkata: "Apakah kamu merasa heran tentang ketetapan Allah? (Itu adalah) rahmat Allah dan keberkatan-Nya, dicurahkan atas kamu, hai ahlulbait! Sesungguhnya Allah Maha Terpuji lagi Maha Pemurah".3 

Rasulullah SAW telah memuliakan silsilah keluarga ini dengan keberkatan dan kemuliaan.  

“عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ أَكْرَمُ النَّاسِ قَالَ أَتْقَاهُمْ فَقَالُوا لَيْسَ عَنْ هَذَا نَسْأَلُكَ قَالَ فَيُوسُفُ نَبِيُّ اللَّهِ ابْنُ نَبِيِّ اللَّهِ ابْنِ نَبِيِّ اللَّهِ ابْنِ "خَلِيلِ اللَّه ”

Dari Abu Hurairah RA; " Rasulullah SAW ditanya; "Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling mulia?". Beliau menjawab: "Orang yang paling taqwa". Mereka berkata; "Bukan itu yang kami tanyakan". Beliau berkata: "Kalau begitu Yusuf Nabi Allah, putera dari Nabi Allah putera Khalilullah (kekasih Allah, Ibrahim AS) ".4
                                                                                                   Riwayat Bukhari dan Muslim



Menurut penganut Yahudi, Ibrahim AS telah membuat perjanjian dengan tuhan Yahweh bahawa beliau dan cucu-cicitnya akan diberi keberkatan sekiranya mereka kekal beriman dengan Yahweh. Kemudian perjanjian ini diulangi oleh Ishaq dan Ya'aqub. Oleh sebab Ishaq dan Ya'aqub berasal dari bangsa Yahudi, mereka percaya mereka adalah bangsa pilihan yang dipilih untuk nelaksanakan tugas khas dan memimpin manusia. Sebagai balasan, mereka mendapat kecintaan dan perlindungan dari tuhan Yahweh. Justeru, mereka hanya mengakui para nabi yang lahir dari bangsa Yahudi saya dan menolak nabi yang lahir selainnya.

Ya'aqub diberi gelaran 'Israel' yang berasal dari gabungan dua perkataan yang berasal dari bahasa Ibrani, 'Isra' yang bermaksud hamba dan 'el' bermaksud tuhan. Ya'qub di digelar sebagai hamba tuhan dan bapa bagi bangsa Yahudi.5 Al-Quran menggunakan gelaran Israel ini bagi Ya'qub AS.

"Semua makanan adalah halal bagi Bani Israel melainkan makanan yang diharamkan oleh Israel (Ya'qub) untuk dirinya sendiri sebelum Taurat diturunkan. Katakanlah: "(Jika kamu mengatakan ada makanan yang diharamkan sebelum turun Taurat), maka bawalah Taurat itu, lalu bacalah dia jika kamu orang-orang yang benar".6

Ayat ini diturunkan ketika Nabi SAW didatangi oleh yahudi untuk menguji yang bertanyakan apa yang diharamkan oleh Ya' qub AS keatas dirinya sendiri.

"قَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَبَّاسٍ حَضَرَتْ عِصَابَةٌ مِنْ الْيَهُودِ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا يَا أَبَا الْقَاسِمِ حَدِّثْنَا عَنْ خِلَالٍ نَسْأَلُكَ عَنْهُنَّ لَا يَعْلَمُهُنَّ إِلَّا نَبِيٌّ فَكَانَ فِيمَا سَأَلُوهُ أَيُّ الطَّعَامِ حَرَّمَ إِسْرَائِيلُ عَلَى نَفْسِهِ قَبْلَ أَنْ تُنَزَّلَ التَّوْرَاةُ قَالَ فَأَنْشُدُكُمْ بِاللَّهِ الَّذِي أَنْزَلَ التَّوْرَاةَ عَلَى مُوسَى هَلْ تَعْلَمُونَ أَنَّ إِسْرَائِيلَ يَعْقُوبَ عَلَيْهِ السَّلَام مَرِضَ مَرَضًا شَدِيدًا فَطَالَ سَقَمُهُ فَنَذَرَ لِلَّهِ نَذْرًا لَئِنْ شَفَاهُ اللَّهُ مِنْ سَقَمِهِ لَيُحَرِّمَنَّ أَحَبَّ الشَّرَابِ إِلَيْهِ وَأَحَبَّ الطَّعَامِ إِلَيْهِ فَكَانَ أَحَبَّ الطَّعَامِ إِلَيْهِ لُحْمَانُ الْإِبِلِ وَأَحَبَّ الشَّرَابِ إِلَيْهِ أَلْبَانُهَا فَقَالُوا اللَّهُمَّ نَعَم,"

Abdullah bin Abbas berkata; Sekelompok orang Yahudi datang menemui Rasulullah SAW lalu mereka berkata; "Wahai Abul Qasim, Sampaikan kepada kami tentang perkara-perkara yang akan kami tanyakan kepadamu, tidak ada yang mengetahui seorang pun kecuali seorang Nabi." Dan di antara yang mereka tanyakan adalah; "Makanan apa yang diharamkan oleh Israil terhadap dirinya sendiri sebelum diturunkannya Taurat." Beliau menjawab: "Aku persumpahkan kalian kepada Allah yang telah menurunkan Taurat kepada Musa, apakah kalian tahu bahwa Israil Ya'qub AS menderita sakit yang parah, dan sakitnya itu berlangsung cukup lama. Lalu ia bernazar kepada Allah dengan suatu nazar, jika Allah menyembuhkannya dari penyakitnya, maka ia akan mengharamkan minuman dan makanan yang paling disukainya. Makanan yang paling disukainya adalah daging unta, sedang minuman yang paling disukainya adalah susunya." Mereka pun berkata: "demi Allah, benar." 7
                                                                                        Riwayat At-Tirmidhi dan Abu Daud









[1] Muhammad Ahmad Al-Khatib, Muqaranah Adyan, Darul Massirah, Amman, Cetakan 3, 2014, hlm. 55
[2] Solah Al-Khalidi, al-Qasasul Qur'ani, Darul Qalam, Damsyik - Syria, Juz. 2, hlm. 45
[3] Al-Quran, Hud 71 - 73
[4] Bukhari, Sahih Al-Bukhari, No. 3353. Muslim, Jami’ Sahih Al-Muslim, No. 2378
[5] Solah Al-Khalidi, Qasasul Qur’ani, hlm. 51
[6] Al-Quran, Āli `Imrān : 93
[7] Solah Al-Khalidi, Qasasul Qur’ani, 55
Dr. Solah Al-Khalidi berkata, hadith ini adalah menjelaskan ayat al-Imran 93, tetapi sebab penurunannya adalah untuk surah Al-Baqarah ayat 97 - 100.

Silsilah Keluarga Nabi Ya'qub A.S

Read More

Selasa, April 07, 2015



Sesungguhnya telah tertulis dalam ayat kitab suci bagi umat Islam kisah-kisah Allah dan Rasul-Nya terhadap anjuran dan seruan supaya umatnya berdialog, berdebat dan bertukar buah fikiran dengan hujah-hujah yang benar.

Allah juga telah menunjukkan contoh yang sangat agung bagi seruan kepada berdialog dan berhujah dalam kisah Allah dengan iblis. Bahkan Allah mengabulkan permintaan iblis untuk terus wujud hingga kiamat.

Didalam sirah juga, kita akan menjumpai kisah yang menunjukkan contoh dialog dan mengutarakan hujah dalam perjalanan menyampaikan seruan dakwah para nabi sebagaimana yang dicatatkan dalam Al-Quran melalui kisah Nabi Nuh A.S (Mereka berkata: "Wahai Nuh! Sesungguhnya engkau telah bertikam lidah membantah kami lalu engkau banyakkan sangat hujah-hujah semasa mengemukakan bantahanmu kepada kami; oleh itu, datangkanlah azab Allah yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar". - Hud 11:32) dan Nabi Ibrahim A.S (Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). - Al-Baqarah 2:258) yang berdialog dan berdebat dengan kaumnya dalam menyampaikan dakwah yang benar.

Nabi Muhammad sebagai pembawa risalah dan qudwah juga menunjukkan kisah realiti baginda berkomunikasi sesama manusia. Pada sirah Nabi, terlihat metod intelek anjuran bagi umatnya berhujah, berdialog dan berdebat secara logik sebagai manusiawi dengan individu lain terutamanya dengan tokoh agama lain sebelum Islam.

Peristiwa hijrah Nabi SAW ke Madinah menjadi titik penting yang jelas dalam membentuk sistem negara yang menerima toleransi masyarakat majmuk pelbagai agama, kaum dan kumpulan. Penerimaan masyarakat Islam terhadap penduduk Yahudi dari kaum Nadhir, Qainuqa' dan Khuraizhah membentuk perlembagaan yang menjamin hak dan kerakyatan pelbagai agama menjadi hujah pengiktirafan Islam terhadap agama lain dalam kewujudan sesebuah masyarakat.

Konteks Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk pelbagai agama, kaum dan etnik adalah menjadi satu keperluan untuk bertoleransi bagi mewujudkan kesepaduan dalam pembinaan negara sebagaimana yang dituntut oleh semua agama terutamanya Islam.

Perbezaan agama mempengaruhi perbezaan cara hidup penganutnya. Justeru, keperluan untuk memahami selain agama yang dianuti juga perlu dalam mengukuhkan hubungan, bertoleransi dan menghormati hak-hak mereka sebagai warganegara Malaysia.

Hari ini, ilmu berkenaan perbezaan agama menjadi satu cabang ilmu yang penting. Hinggakan tiada satu universiti di timur mahupun barat yang tidak mempunyai subjek perbezaan agama. Kesedaran masyarakat dunia terhadap keperluan toleransi agama dalam memelihara keamanan menjadikan ia cabang ilmu penting dalam pendidikan setiap individu terutamanya pelajar pengajian Islam dan teologi.

Maka dengan penulisan ini, diharap mampu membuka pintu fikir dan memahami dengan lebih terperinci berkenaan manhaj dan matlamat setiap agama daripada sumber ilmiah. Sebagai manusiawi, akan lahir dari naluri untuk mencari kebenaran dan hakikat sesuatu.

Penulisan ini akan membicarakan topik mengikut pembahagian utama berikut;

Bahagian 1: Maksud Agama
Bahagian 2: Agama Samawi
Bahagian 3: Agama Wad'ie
Bahagian 4: Hakikat Manusia

Semoga dengan penulisan ini mendapat keberkatan disisi Allah SWT dalam memberi kefahaman pada para pembaca terutamanya umat Islam sebagai wasilah menyampaikan kebenaran yang hakiki kepada agama lain terhadap kebenaran Islam.


Keperluan Mempelajari Perbezaan Agama

Read More