Sirah
Rasulullah SAW mencatatkan bahawa Rasulullah SAW menjalani kehidupan bersama sebelas orang isteri. Dua daripadanya
meninggal sebelum Rasulullah SAW, iaitu
Khadijah dan Zainab. Manakala sembilan orang lagi menjadi janda setelah
Rasulullah SAW wafat. Rasulullah SAW menikahi isteri pertamanya, Khadijah ketika berusia 25 tahun dan
hidup bersama hingga kewafatan Khadijah pada tahun ketiga sebelum hijrah. Maka,
selepas itu bermulalah perjalanan hidup Rasulullah SAW berpoligami dengan isteri-isterinya.
Ijamak
ulama’ menyatakan, Rasulullah SAW diizinkan memiliki
lebih dari empat orang isteri. Perkara ini tidak berlaku bagi rasul-rasul yang
lain dan akan dijelaskan tentang tujuan dan hikmah berkenaan pernikahan tersebut.
“Dan
perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki
yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.” [An-Nur :
26]
Pernikahan
Rasulullah SAW
1.
Pernikahan dengan Khadijah Binti Khuwailid RA
Merupakan
isteri pertama Rasulullah. Ketika memperisterikannya, Rasulullah SAW berumur 25 tahun dan Khadijah berumur 40 tahun. Pernikahan ini
berlangsung sebelum Rasulullah SAW menerima
wahyu dan tugasan kerasulan.
Khadijah
merupakan wanita pertama yang beriman kepada Rasulullah SAW. Sebagai seorang wanita kaya, Khadijah menjadi tonggak perjuangan
Rasulullah SAW. Beliau meninggal pada usia 70
tahun ketika Rasulullah SAW mencecah umur 53 tahun. Beliau juga merupakan
satu-satu isteri yang tidak pernah dimadukan selama tempoh umur Rasulullah SAW menjadi suaminya. Semoga Allah SWT
meredhainya.
2. Pernikahan dengan Saudah binti Zama’ah RA
Saudah binti Zama’ah merupakan seorang janda yang disunting
Rasulullah SAW dalam usia lebih kurang 50 tahun. Pernikahan dengan Saudah
mempunyai motif yang mulia, iaitu melindunginya setelah suaminya meninggal
dunia sekaligus memberikan nya perlindungan dari keluarganya yang berkelakuan
kasar setelah dia memeluk Islam.
3. Pernikahan dengan A’isyah binti Abu Bakar
Pernikahan Rasulullah SAW dengan as-Siddiqah (perempuan
jujur), A’isyah puteri Abu Bakar as-Siddiq berlangsung atas dasar wahyu dari
Allah SWT. Hikmah pernikahan ini antara lain untuk memberikan penghargaan
kepada Abu Bakar RA dan mengangkat darjatnya dengan menjadi mertua Rasulullah SAW.
Di samping itu, pernikahan ini bertujuan bagi membantah kaum jahiliyyah yang
menjadikan persaudaraan kekerabatan bagaikan persaudaraan nasab. A’isyah RA
merupakan satu-satunya isteri Rasulullah SAW yang masih dara.
4. Pernikahan dengan Hafsah Binti Umar
Rasulullah SAW menyunting Hafsah Binti Umar RA yang
menjanda beberapa hari setelah suaminya gugur sebagai syahid di perang Badar.
Sebelum menyunting, Umar (ayahnya) pernah menawarkan kepada Abu Bakar RA.
Tetapi Abu Bakar RA tidak bersedia. Lalu ditawarkan kepada Uthman RA dan dia
juga tidak bersedia. Kemudian Rasulullah SAW meminangnya untuk mengubati
kesedihannya sekaligus mengangkat martabat ayahnya, Umar Bin Khattab RA.
5. Pernikahan dengan Zainab Binti Khuzaimah
Setelah tiga kali bersuami, Zainab Binti Khuzaimah
al-Hilaliyyah RA disunting oleh Rasulullah SAW. Pernikahan ini adalah sebagai
penglipur lara, penawar duka atas penderitaan yang dialaminya sekaligus sebagai
penghargaan atas keluhuran peribadinya yang sangat memahami terhadap orang-orang
miskin.
6. Pernikahan dengan Ummu Salamah
Ummu Salamah RA adalah seorang janda yang memiliki empat
orang anak tanpa seorang pun yang melindungi mereka. Kemudian Rasulullah SAW
menyuntingnya demi meringankan beban hidupnya sekaligus menjadi bapa bagi
anak-anaknya yang yatim.
7. Perkahwinan dengan Juwairiyyah
Juwairiyyah Binti al-Harith RA adalah hamba perempuan yang
mendapat penghormatan menjadi isteri Rasulullah SAW setelah Rasulullah
membebaskannya. Pernikahan ini membuatkan keluarganya bersimpati dan tertarik
untuk memeluk agama Islam. Tak dinafikan, Juwairiyyah RA merupakan perempuan
yang paling berjasa merentas jalan hidayah
bagi kaumnya.
8. Pernikahan dengan Zainab Binti Jahsy
Rasulullah SAW bernikah dengan Zainab Binti Jahsy, anak
perempuan dari ibu saudara Rasulullah SAW sendiri. Pernikahan ini bersalngsung
setelah Zainab RA diceraikan sendiri oleh Zaid Bin Harithah RA yang merupakan
anak angkat Rasulullah SAW. Allah SWT telah mengabdikan kisah pernikahan ini di
dalam al-Quran. Diantara hikmah yang terkandung dalam pernikahan ini adalah
untuk membatalkan adat masyarakat jahiliyyah yang menganggap isteri kepada anak
angkat tidak boleh dinikahi walaupun telah diceraikan.
9. Pernikahan dengan Ummu Habibah
Nama sebenar Ummu Habibah RA adalah Ramlah Binti Abu Sufyan
yang disunting oleh Rasullah SAW setelah suaminya murtad dari agama Islam.
Mereka tinggal di Habsyah. Kemudian Rasulullah SAW meminta Raja an-Najasyi
sebagai penguasa Habsyah untuk melamarnya. Tujuan utama pernikahan ini adalah
memberikan perlindungan terhadap wanita mukmin yang suaminya menjadi murtad.
Sementara itu, ayahnya sendiri merupakan pemimpin pasukan Quraisy dalam
memerangi umat Islam.
10. Pernikahan Shafiyyah
Shafiyyah adalah tawanan perang yang ditawan oleh paskan
Islam ketika peperangan melawan Yahudi di Khaibar. Rasulullah SAW menawarkannya
dua pilihan kepadanya samaada masuk Islam atau menjadi hamba. Kemudian
Shafiyyah memilih untuk masuk Islam. Rasulullah SAW pun menikahinya. Shafiyyah
RA adalah anak pemimpin Yahudi yang sangat terhormat. Disebabkan kehormatannya,
para sahabat berpendapat bahawa tidak ada yang layak menikahinya kecuali
Rasulullah SAW. Disebabkan pernikahan ini umat Islam memiliki hubungan erat
dengan bangsa Yahudi ketika itu.
11. Pernikahan dengan Maimunah
Maimunah Binti al-Harith al-Hilaliyyah adalah seorang janda
yang sangat terkenal dengan ketaatannya, rajin solat, takwa dan sangat
memlihara hubungan silaturrahim. Rasulullah SAW datang menyenangkan hatinya
dengan menyuntingnya sekaligus supaya kaumnya tertarik untuk memeluk Islam.
Hikmah Dan Tujuan Pernikahan Rasulullah SAW
Pernikahan yang dilangsungkan oleh Rasulullah SAW ini
mempunyai hikmah dan tujuan yang mulia. Ibnu Hajar di dalam kitab Fathul Bari menyimpulkan
hikmah dan tujuan tersebut seperti berikut:
1. Memperbanyakkan saksi kehidupan peribadi Rasulullah SAW.
Dengan demikian, tuduhan-tuduhan serong yang ditujukan oleh orang-orang musyrik
kepada Rasulullah SAW seperti ahli-ahli sihir dan sebagainya dapat dipatahkan.
2. Mengangkat darjat dan martabat suku-suku yang menjadi
mertua Rasulullah SAW.
3. Mengeratkan hubungan dengan suku-suku tersebut.
4. Memperluaskan ikatan persaudaraan sehingga para pengikut
dan orang-orang yang membantu perjuangan Rasulullah SAW makin bertambah.
5. Menukar hukum-hakam fiqh yang sebelumnya dianggap tabu atau
larangan untuk diketahui oleh kaum lelaki kerana selama ini, segala
permasalahan yang berhubung dengan isteri selalunya disembunyikan dari umum.
6. Pernikahan ini juga menunjukkan keindahan budi pekerti yang
dimiliki oleh Rasulullah SAW, sebagai contoh pernikahan Rasulullah dengan Ummu
Habibah RA sedangkan ketika itu orang tua Ummu Habibah merupakan musuh
Rasulullah SAW. Begitu juga pernikahan dengan Shafiyyah RA sedangkan ayah, bapa
saudara dan suaminya mati dibunuh oleh pasukan Islam. Jika bukan kerana akhlak
Rasulullah SAW yang sempurna tentu para wanita ini akan menimpan kebencian
kepadanya. Sebaliknya Rasulullah SAW sendiri lebih mereka cintai daripada
keluarga mereka sendiri.
Rujukan
1. Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Bari Syarah Sahih
al-Bukhari, 1379, Beirut – Lubnan, Darul Ma’rifah, Jil. 9 hlm. 115
2. Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaad al-Ma’ad fi Hadyi Khairil
I’bad, Tahqiq; Syu’ibal-Arnouth dan Abdul Qadir al-Arnouth, 2014, Beirut –
Lubnan, Muassasah ar-Risalah, Cet. 1, Jil. 1, hlm. 101
3. Hasan Bin Ahmad Hasan Hamam, The Great Husband; Muhammad SAW,
2014, Selangor, Humaira Bookstore, Cet. 2, hlm. 25
0 ulasan:
Catat Ulasan