20 Ogos 2015 / Jordan
Pagi ini
keluar dari rumah sekitar jam 9.30 pagi dengan niat untuk ke Amman kerana ingin
menyelesaikan urusan cop bagi sijil dukturah Dr Ahmad Yusuf (Phd Univ. Yarmouk)
yang diwakilkan kepada saya ke Wizarah Khorijiah (Kementerian Luar Jordan) dan
Education Malaysia Jordan (EMJ) di Amman yang jaraknya melebihi 2 marhalah
dengan menaiki bas. Justeru, oleh kerana ingin bermusafir, saya singgah
bersarapan pagi di kedai makan melayu di sini dan sempat menyuap mee goreng
bersama telur mata kerbau.
Alhamdulillah,
selesai makan terus ke hadapan universiti untuk menaiki servis ke stesen bas
dan menaiki bas langsung ke stesen bas di Amman. Kira-kira tiba jam 12
tengahari, saya terus menahan teksi dan memberitahu untuk ke Syari' Wakalat
(Wakalat Street) yang dimaklum sebelum datang terdapat Qisim Tasdiq bagi
Kementerian Luar jordan.
Tapi
malangnya pemandu teksi tersebut tidak tahu terdapat qisim Kementerian Luar di
situ kerana bangunan utama Kementerian Luar Jordan terletak dijalan menuju ke
lapangan terbang yang agak jauh dan memakan masa dan kos. Justeru saya tetap
nak ke Syari' Wakalat tersebut dan ingin bertanya pada orang di kawasan
tersebut.
Selepas
seorang ditanya terus bertanya kepada orang lain. Tuan kedai, penjaga valet
parking, pencuci rambut di salon dan beberapa orang yang lalu lalang. Semuanya
tidak tahu kewujudan qisim Tasdiq tersebut disitu. Kemudian terus bertanya
kepada dua orang polis trafik yang kebetulan berhenti di situ namun jawapannya
sama.
Lantas
menahan teksi dan terus ke bangunan utama Kementerian yang sedikit jauh.
Tambahan susah untuk dapatkan pengangkutan balik sama ada teksi atau bas.
Bahkan ada destinasi lain untuk dituju selepas itu. Maka terus meminta teksi
tersebut tunggu dan bersetuju untuk membayar lebih.
Apabila
masuk ke kementerian, terus bertanya ke kaunter lantas penjaga itu berkata
bukan di sini tempat untuk cop dan dia menulis alamat yang perlu dituju.
Tercatat
alamat dalam bahasa arab: Shameisani, Berdekatan Kementerian Air, Qisim Tasdiq.
Belakang Hotel Marriot.
Allah.
Perlu
berpatah balik bahkan makin jauh. Terus berlari ke teksi yang menunggu seperti
baru menerima check point baru untuk dituju seperti babak 'The Amazing Race'
yang selalu tersiar di NTV7 satu ketika dulu.
Lepas
memaklum pada pemandu, dia bersetuju untuk ke alamat yang diberi. Memandangkan
agak jauh, kami makin rancak bersembang. Dia juga punya pendapat bahawa inilah
realiti sebenar negara arab. Datang ke kaunter, disepak ke tingkat 2. Tiba ke
tingkat 2 dilontar ke tingkat atas. Tiba di tingkat atas, disuruh turun ke
tingkat bawah. Akhir sekali 'bukroh' (datang esok)! Kami berdua berfikiran yang
sama. Bukan kami sahaja, bahkan sesiapa saja yang punya pengalaman di tanah
arab begitu.
Itulah
realiti di negara arab.
Setiba di
alamat yg diberikan, saya terus berlari masuk ke pejabat dan menuju ke kaunter
memandangkan masih berbaki 30 minit sebelum ditutup pada jam 2.30 petang.
Bertemu mata dengan penjaga kaunter dan menyerahkan dokumen-dokumen yang ingin
di cop. Sekali lagi wayang yang sama berulang. Dikatakan pula bahawa bukan cop
Kementerian Luar, tetapi kementerian Pengajian Tinggi.
Hati mula
terasa bahang panas sepanas cuaca ketika itu. Sedikit melawan dengan bahasa
yang masih beradab. Tapi dinafikan juga oleh pihak kementerian yang bermalasan
kerja itu sambil merokok dan bersembang. Lantas saya ke kaunter sebelah dan
menegaskan bahawa saya inginkan cop Kementerian Luar dan bukan Kementerian
Pengajian Tinggi. Tapi tetap dinafikan seperti sawarikh (roket-roket) buatan
pejuang al-Qassam yang dilancarkan ke Israel tetapi dipatahkan oleh 'Iron Dome'
Israel. Hinggakan hampir ditenangkan oleh pengawal yang berjaga disitu.
Kemudian
saya duduk sebentar untuk tenangkan diri dan keluar kerana tiada apa-apa urusan
yang berbaki memandangkan mereka tidak mahu mengecop dokumen yang dibawa.
Setiba
diluar bangunan, saya mengeluarkan telefon dan menangkap beberapa keping gambar
bangunan tersebut dan terus menahan beberapa teksi untuk terus ke EMJ tetapi
kesemuanya dipenuhi orang. Apabila tiada lagi teksi yang melalui kawasan
tersebut, saya memutuskan untuk ke Sweileh dan mewakilkan kepada individu lain
untuk menguruskan dokumen tersebut memandangkan jam sudah hampir jam 2.30
petang keran EMJ dimaklum tutup jam 3 petang pada hari ini (khamis).
Untuk ke
Sweileh, saya berfikir lebih baik untuk menaiki koaster (bas kecil) yang lebih
menjimatkan berbanding teksi tetapi perlu berjalan hingga ke jalan besar yang
agak jauh.
Intermission
(macam cerita Hindustan)
Setiba
sahaja di tempat menunggu, tiba-tiba tangan kanan saya dipegang kasar dan
dilipat ke belakang oleh seseorang. Manakala leher saya dikunci oleh lengan
seseorang sambil memegang tangan kiri. Sambil tenangkan diri, saya tidak
melawan. Mengawal nafas dan perasaan supaya tidak berlaku apa-apa.
Kemudian
salah seorang dari mereka mengarahkan untuk mengikuti mereka kerana dua
individu tersebut adalah Mukhabarat (special branch a.k.a SB Jordan) yang
berpakaian biasa. Mereka membawa saya ke sebuah kereta Lancer merah yang agak
lama. Saya duduk dikerusi belakang. Tiba-tiba enjin tidak dapat dihidupkan dan
kedua-dua SB tersebut menolak kereta tersebut ke stesen minyak yang kira-kira
50 meter dihadapan untuk di jet bateri.
Lantas saya
dibawa ke balai Polis Amman Tengah (Shamesani) dan dibawa masuk ke bahagian
risikan di tingkat bawah tanah. Beg yang mengandungi buku Fiqh Muqaran, buku
nota, buku nota kecil dan al-Quran bersaiz poket beserta pen-pen yang biasa
digunakan dihari kuliah. Telefon saya dirampas. Iqamah juga diambil.
Ketika itu
terdapat 3 individu yang digari tangannya kebelakang dan mengadap ke dinding
sambil berdiri. Barangkali itu adalah salah satu bentuk denda kebiasaan. Saya
disoal. Soalan yang kerap ditanya adalah dimana kamera?
Saya
kehairanan. Belum pernah saya keluarkan duit membeli kamera seumur hidup
kecuali kamera telefon bimbit. Setelah lama disoal, barulah dimaklum bahawa
kamera yang dimaksudkan adalah kamera telefon kerana kesalahan saya mengambil
beberapa gambar di bangunan Kementerian Luar Jordan! Luar biasa.
Saya
tunjukkan gambar tersebut. Apabila disoal, pantas saya menjawab jujur untuk
memudahkan urusan. Maka laporan dibuat. Sambil menunggu ketika itulah tiga
pesalah yang digari tadi ditampar hampir tiga kali tanpa sebab.
Aduh...
Bukan sakit, tapi pedihnya terasa sesiapa yang mendengar.
Kemudian
satu tendangan hinggap dipaha seorang lagi pesalah yang digari itu. Masa itu
saya membayangkan bagaimana agaknya diakhirat nanti. Setiap tumbukan, sepakan,
tamparan dan tendangan si abang polis semuanya akan dihisab!
Justeru saya
berpesan.
Wahai
abang-abang, acik-acik dan tok-tok polis. Pastikanlah setiap apa tindakan yang
dibuat keatas pesalah samaada mendera atau sebagainya adalah berlandaskan
ajaran Islam. Islam meletakkan garis panduan yang amat indah hatta dengan
penjenayah. Walaupun mereka penjenayah yang disabit kesalahan, kesalahan mereka
akan dihukum dengan hukuman tertentu. Bukannya dengan tumbukan dan sepak
terajang yang disengajakan!
Berbalik
kepada kisah asal, laporan saya siap ditaip. Saya dihantar ke bahagian polis
biasa kerana didapati kesalahan yang dilakukan tidak begitu serius barangkali.
Setiba di
balai polis, saya ditempatkan di lokap. Dilokap bersaiz 1.5 meter x 2 meter itu
dikongsi dengan 9 orang tertuduh lain yang mungkin masih belum disabit
kesalahan. Kesemuanya perokok. Anehnya mereka diizinkan merokok dan makan
dilokap tersebut. Jika tiada, pekerja kantin akan datang untuk mengambil
pesanan. Hebat!
Saya hanya
berdiam dan terus menunggu. Mungkin hanya sejam ditahan. Jam menunjukkan pukul
4 petang. Tapi masih belum ada apa-apa tindakan oleh pegawai yang mengurus.
Saya mula mengeluarkan buku yang dibawa kerana akan periksa pada 24hb nanti.
Jam berganti
jam hinggalah jam 7 malam. Masih belum ada sebarang urusan untuk dikeluarkan.
Justeru saya
terus meminta untuk solat jamak asar dan zohor. Selesai solat, saya diberi
tempat baru di bilik seorang pegawai yang mempunyai 3 bintang dibahunya.
Pastinya berpangkat inspektor. Lama kemudian terdengar azan maghrib. Ramai
pegawai yang datang menyoal. Tetapi selepas itu dibiarkan. Al-Quran pula dibuka
memandangkan saya perlu tasmek satu juz sehingga selasa depan. Sambil-sambil
itu, sesekali berlatih juga lafaz menerima akad nikah memandangkan sebulan
sahaja lagi akan bernikah. Mungkin ketika itu lebih berdegup kencang agaknya.
Tiba-tiba perut mula bergema.
Lapar...
Jam 8. 11
malam. Inspektor tersebut menerima panggilan yang saya tidak dengar perbualan.
Tetapi mungkin berbentuk arahan untuk dilepaskan saya. Alhamdulillah. Benar apa
yang difikirkan. Saya dibawa bertemu ketua balai di pejabatnya. Lepas
mendapatkan sainnya barang barang saya dipulangkan.
Alhamdulillah.
Kemudian
saya terus ke masjid dihadapan balai tersebut dan solat jamak maghrib dan
isyak. Selesai solat, saya bergegas ke Sweileh untuk mewakilkan pada sahabat
bagi urusan yang tidak selesai itu. Atas kekangan peperiksaan yang bermula pada
22, 23 dan 24 haribulan ditambah dengan tasmek al-Quran yang berbaki maka itu
mungkin dapat membantu.
Sempat saya
membeli sandwish syawarma dan air untuk mengisi perut sebelum menerus tujuan pulang
ke Irbid yang memakan masa 1.30 minit. Dengan menaiki servis (kereta
ulang-alik) adalah satu-satunya pengangkutan yang ada. Hampir 30 minit baru
dapat dipenuhkan 4 penumpang maka kereta bergerak jam 9.50 dari Sweileh.
Kira-kira 15
minit kemudian, jelas dihadapan saya satu dentuman kuat kereta yang saya naiki
melanggar kereta dihadapan yang berhenti tiba-tiba untuk mengelak dari
melanggar van yang tiba-tiba muncul dari simpang tanpa signal. Marah pakcik
driver servis tersebut. Bertambah marah apabila van yang jelas kesalahannya
melarikan diri tanpa dapat dikesan.
Lama
kemudian, perjalanan diteruskan hinggalah tiba di Irbid jam 11.25 malam dan
sambut tetamu yang datang ke rumah.
Alhamdulillah.
Selamat semuanya.
Sebagai
pesanan dari apa yang berlaku hari ini, saya gariskan beberapa perkara;
1. Jangan
menangkap gambar sebarangan terutama tempat yang diletakkan larangan mengambil
gambar seperti kedutaan Amerika, balai polis, mukhabarat dan tempat-tempat yang
sensitif dalam sesebuah negara.
2. Tidak
agresif dan takut apabila ditahan dan disoal siasat. Yakin bahawa anda tidak
bersalah.
3. Buat
mahasiswa Jordan, jangan dihanyutkan dengan ujian kejatuhan nilai matawang yang
menimpa hinggakan tidak mengambil cakna tentang isu persekitaran. Hanya kita
sahaja yang terkesan dengan kejatuhan tersebut, bagi seluruh rakyat Jordan,
mereka langsung tidak ambil kisah. Bahkan mereka masih risau dengan ISIS dan
ancaman pengeboman ke atas mall-mall dan agensi kerajaan. Kerana itulah agak
ketat dan tegas apabila mengambil gambar bangunan kementerian luar tersebut.
4. Berlaku
baiklah pada siapa jua dan tawarkan perkhidmatan terbaik dalam kita menjalankan
kerja seharian kerana setiap pekerjaan itu adalah amanah yang diletakkan kepada
kita. Kita juga akan menuai hasil melalui gaji yang diterima. Justeru pastikan
gaji kita halal dengan sikap amanah dan khidmat terbaik kita.
5.
Mukhabarat Jordan adalah bahagian risikan yang menerima latihan dan teknologi
dari Amerika. Bahkan mukhabarat Jordan adalah bahagian risikan yang terbaik
dirantau arab berbanding negara arab lain. Justeru, moga semua hati-hati kerana
autoriti mereka juga lebih besar malah boleh mengarahkan kita tamat pengajian
tanpa sebab.
Itu sahaja.
Moga Allah
Redha segala pengalaman ini.
*Gambar 1
adalah gambar balai polis yang ditahan manakala gambar 2 adalah gambar kereta
selepas kemalangan yang kedua-duanya kabur dek masih trauma untuk snap gambar.
Gambar 1;
Gambar 2;
0 ulasan:
Catat Ulasan