Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan

Jumaat, Ogos 21, 2015

20 Ogos 2015 / Jordan


Pagi ini keluar dari rumah sekitar jam 9.30 pagi dengan niat untuk ke Amman kerana ingin menyelesaikan urusan cop bagi sijil dukturah Dr Ahmad Yusuf (Phd Univ. Yarmouk) yang diwakilkan kepada saya ke Wizarah Khorijiah (Kementerian Luar Jordan) dan Education Malaysia Jordan (EMJ) di Amman yang jaraknya melebihi 2 marhalah dengan menaiki bas. Justeru, oleh kerana ingin bermusafir, saya singgah bersarapan pagi di kedai makan melayu di sini dan sempat menyuap mee goreng bersama telur mata kerbau.

Alhamdulillah, selesai makan terus ke hadapan universiti untuk menaiki servis ke stesen bas dan menaiki bas langsung ke stesen bas di Amman. Kira-kira tiba jam 12 tengahari, saya terus menahan teksi dan memberitahu untuk ke Syari' Wakalat (Wakalat Street) yang dimaklum sebelum datang terdapat Qisim Tasdiq bagi Kementerian Luar jordan.

Tapi malangnya pemandu teksi tersebut tidak tahu terdapat qisim Kementerian Luar di situ kerana bangunan utama Kementerian Luar Jordan terletak dijalan menuju ke lapangan terbang yang agak jauh dan memakan masa dan kos. Justeru saya tetap nak ke Syari' Wakalat tersebut dan ingin bertanya pada orang di kawasan tersebut.

Selepas seorang ditanya terus bertanya kepada orang lain. Tuan kedai, penjaga valet parking, pencuci rambut di salon dan beberapa orang yang lalu lalang. Semuanya tidak tahu kewujudan qisim Tasdiq tersebut disitu. Kemudian terus bertanya kepada dua orang polis trafik yang kebetulan berhenti di situ namun jawapannya sama.

Lantas menahan teksi dan terus ke bangunan utama Kementerian yang sedikit jauh. Tambahan susah untuk dapatkan pengangkutan balik sama ada teksi atau bas. Bahkan ada destinasi lain untuk dituju selepas itu. Maka terus meminta teksi tersebut tunggu dan bersetuju untuk membayar lebih.

Apabila masuk ke kementerian, terus bertanya ke kaunter lantas penjaga itu berkata bukan di sini tempat untuk cop dan dia menulis alamat yang perlu dituju.

Tercatat alamat dalam bahasa arab: Shameisani, Berdekatan Kementerian Air, Qisim Tasdiq. Belakang Hotel Marriot.

Allah.

Perlu berpatah balik bahkan makin jauh. Terus berlari ke teksi yang menunggu seperti baru menerima check point baru untuk dituju seperti babak 'The Amazing Race' yang selalu tersiar di NTV7 satu ketika dulu.

Lepas memaklum pada pemandu, dia bersetuju untuk ke alamat yang diberi. Memandangkan agak jauh, kami makin rancak bersembang. Dia juga punya pendapat bahawa inilah realiti sebenar negara arab. Datang ke kaunter, disepak ke tingkat 2. Tiba ke tingkat 2 dilontar ke tingkat atas. Tiba di tingkat atas, disuruh turun ke tingkat bawah. Akhir sekali 'bukroh' (datang esok)! Kami berdua berfikiran yang sama. Bukan kami sahaja, bahkan sesiapa saja yang punya pengalaman di tanah arab begitu.

Itulah realiti di negara arab.

Setiba di alamat yg diberikan, saya terus berlari masuk ke pejabat dan menuju ke kaunter memandangkan masih berbaki 30 minit sebelum ditutup pada jam 2.30 petang. Bertemu mata dengan penjaga kaunter dan menyerahkan dokumen-dokumen yang ingin di cop. Sekali lagi wayang yang sama berulang. Dikatakan pula bahawa bukan cop Kementerian Luar, tetapi kementerian Pengajian Tinggi.

Hati mula terasa bahang panas sepanas cuaca ketika itu. Sedikit melawan dengan bahasa yang masih beradab. Tapi dinafikan juga oleh pihak kementerian yang bermalasan kerja itu sambil merokok dan bersembang. Lantas saya ke kaunter sebelah dan menegaskan bahawa saya inginkan cop Kementerian Luar dan bukan Kementerian Pengajian Tinggi. Tapi tetap dinafikan seperti sawarikh (roket-roket) buatan pejuang al-Qassam yang dilancarkan ke Israel tetapi dipatahkan oleh 'Iron Dome' Israel. Hinggakan hampir ditenangkan oleh pengawal yang berjaga disitu.

Kemudian saya duduk sebentar untuk tenangkan diri dan keluar kerana tiada apa-apa urusan yang berbaki memandangkan mereka tidak mahu mengecop dokumen yang dibawa.

Setiba diluar bangunan, saya mengeluarkan telefon dan menangkap beberapa keping gambar bangunan tersebut dan terus menahan beberapa teksi untuk terus ke EMJ tetapi kesemuanya dipenuhi orang. Apabila tiada lagi teksi yang melalui kawasan tersebut, saya memutuskan untuk ke Sweileh dan mewakilkan kepada individu lain untuk menguruskan dokumen tersebut memandangkan jam sudah hampir jam 2.30 petang keran EMJ dimaklum tutup jam 3 petang pada hari ini (khamis).

Untuk ke Sweileh, saya berfikir lebih baik untuk menaiki koaster (bas kecil) yang lebih menjimatkan berbanding teksi tetapi perlu berjalan hingga ke jalan besar yang agak jauh.


Intermission (macam cerita Hindustan)


Setiba sahaja di tempat menunggu, tiba-tiba tangan kanan saya dipegang kasar dan dilipat ke belakang oleh seseorang. Manakala leher saya dikunci oleh lengan seseorang sambil memegang tangan kiri. Sambil tenangkan diri, saya tidak melawan. Mengawal nafas dan perasaan supaya tidak berlaku apa-apa.

Kemudian salah seorang dari mereka mengarahkan untuk mengikuti mereka kerana dua individu tersebut adalah Mukhabarat (special branch a.k.a SB Jordan) yang berpakaian biasa. Mereka membawa saya ke sebuah kereta Lancer merah yang agak lama. Saya duduk dikerusi belakang. Tiba-tiba enjin tidak dapat dihidupkan dan kedua-dua SB tersebut menolak kereta tersebut ke stesen minyak yang kira-kira 50 meter dihadapan untuk di jet bateri.

Lantas saya dibawa ke balai Polis Amman Tengah (Shamesani) dan dibawa masuk ke bahagian risikan di tingkat bawah tanah. Beg yang mengandungi buku Fiqh Muqaran, buku nota, buku nota kecil dan al-Quran bersaiz poket beserta pen-pen yang biasa digunakan dihari kuliah. Telefon saya dirampas. Iqamah juga diambil.

Ketika itu terdapat 3 individu yang digari tangannya kebelakang dan mengadap ke dinding sambil berdiri. Barangkali itu adalah salah satu bentuk denda kebiasaan. Saya disoal. Soalan yang kerap ditanya adalah dimana kamera?

Saya kehairanan. Belum pernah saya keluarkan duit membeli kamera seumur hidup kecuali kamera telefon bimbit. Setelah lama disoal, barulah dimaklum bahawa kamera yang dimaksudkan adalah kamera telefon kerana kesalahan saya mengambil beberapa gambar di bangunan Kementerian Luar Jordan! Luar biasa.

Saya tunjukkan gambar tersebut. Apabila disoal, pantas saya menjawab jujur untuk memudahkan urusan. Maka laporan dibuat. Sambil menunggu ketika itulah tiga pesalah yang digari tadi ditampar hampir tiga kali tanpa sebab.

Aduh... Bukan sakit, tapi pedihnya terasa sesiapa yang mendengar.

Kemudian satu tendangan hinggap dipaha seorang lagi pesalah yang digari itu. Masa itu saya membayangkan bagaimana agaknya diakhirat nanti. Setiap tumbukan, sepakan, tamparan dan tendangan si abang polis semuanya akan dihisab!

Justeru saya berpesan.

Wahai abang-abang, acik-acik dan tok-tok polis. Pastikanlah setiap apa tindakan yang dibuat keatas pesalah samaada mendera atau sebagainya adalah berlandaskan ajaran Islam. Islam meletakkan garis panduan yang amat indah hatta dengan penjenayah. Walaupun mereka penjenayah yang disabit kesalahan, kesalahan mereka akan dihukum dengan hukuman tertentu. Bukannya dengan tumbukan dan sepak terajang yang disengajakan!

Berbalik kepada kisah asal, laporan saya siap ditaip. Saya dihantar ke bahagian polis biasa kerana didapati kesalahan yang dilakukan tidak begitu serius barangkali.

Setiba di balai polis, saya ditempatkan di lokap. Dilokap bersaiz 1.5 meter x 2 meter itu dikongsi dengan 9 orang tertuduh lain yang mungkin masih belum disabit kesalahan. Kesemuanya perokok. Anehnya mereka diizinkan merokok dan makan dilokap tersebut. Jika tiada, pekerja kantin akan datang untuk mengambil pesanan. Hebat!

Saya hanya berdiam dan terus menunggu. Mungkin hanya sejam ditahan. Jam menunjukkan pukul 4 petang. Tapi masih belum ada apa-apa tindakan oleh pegawai yang mengurus. Saya mula mengeluarkan buku yang dibawa kerana akan periksa pada 24hb nanti.

Jam berganti jam hinggalah jam 7 malam. Masih belum ada sebarang urusan untuk dikeluarkan.

Justeru saya terus meminta untuk solat jamak asar dan zohor. Selesai solat, saya diberi tempat baru di bilik seorang pegawai yang mempunyai 3 bintang dibahunya. Pastinya berpangkat inspektor. Lama kemudian terdengar azan maghrib. Ramai pegawai yang datang menyoal. Tetapi selepas itu dibiarkan. Al-Quran pula dibuka memandangkan saya perlu tasmek satu juz sehingga selasa depan. Sambil-sambil itu, sesekali berlatih juga lafaz menerima akad nikah memandangkan sebulan sahaja lagi akan bernikah. Mungkin ketika itu lebih berdegup kencang agaknya. Tiba-tiba perut mula bergema.

Lapar...

Jam 8. 11 malam. Inspektor tersebut menerima panggilan yang saya tidak dengar perbualan. Tetapi mungkin berbentuk arahan untuk dilepaskan saya. Alhamdulillah. Benar apa yang difikirkan. Saya dibawa bertemu ketua balai di pejabatnya. Lepas mendapatkan sainnya barang barang saya dipulangkan.

Alhamdulillah.

Kemudian saya terus ke masjid dihadapan balai tersebut dan solat jamak maghrib dan isyak. Selesai solat, saya bergegas ke Sweileh untuk mewakilkan pada sahabat bagi urusan yang tidak selesai itu. Atas kekangan peperiksaan yang bermula pada 22, 23 dan 24 haribulan ditambah dengan tasmek al-Quran yang berbaki maka itu mungkin dapat membantu.

Sempat saya membeli sandwish syawarma dan air untuk mengisi perut sebelum menerus tujuan pulang ke Irbid yang memakan masa 1.30 minit. Dengan menaiki servis (kereta ulang-alik) adalah satu-satunya pengangkutan yang ada. Hampir 30 minit baru dapat dipenuhkan 4 penumpang maka kereta bergerak jam 9.50 dari Sweileh.

Kira-kira 15 minit kemudian, jelas dihadapan saya satu dentuman kuat kereta yang saya naiki melanggar kereta dihadapan yang berhenti tiba-tiba untuk mengelak dari melanggar van yang tiba-tiba muncul dari simpang tanpa signal. Marah pakcik driver servis tersebut. Bertambah marah apabila van yang jelas kesalahannya melarikan diri tanpa dapat dikesan.
Lama kemudian, perjalanan diteruskan hinggalah tiba di Irbid jam 11.25 malam dan sambut tetamu yang datang ke rumah.

Alhamdulillah. Selamat semuanya.

Sebagai pesanan dari apa yang berlaku hari ini, saya gariskan beberapa perkara;

1. Jangan menangkap gambar sebarangan terutama tempat yang diletakkan larangan mengambil gambar seperti kedutaan Amerika, balai polis, mukhabarat dan tempat-tempat yang sensitif dalam sesebuah negara.

2. Tidak agresif dan takut apabila ditahan dan disoal siasat. Yakin bahawa anda tidak bersalah.

3. Buat mahasiswa Jordan, jangan dihanyutkan dengan ujian kejatuhan nilai matawang yang menimpa hinggakan tidak mengambil cakna tentang isu persekitaran. Hanya kita sahaja yang terkesan dengan kejatuhan tersebut, bagi seluruh rakyat Jordan, mereka langsung tidak ambil kisah. Bahkan mereka masih risau dengan ISIS dan ancaman pengeboman ke atas mall-mall dan agensi kerajaan. Kerana itulah agak ketat dan tegas apabila mengambil gambar bangunan kementerian luar tersebut.

4. Berlaku baiklah pada siapa jua dan tawarkan perkhidmatan terbaik dalam kita menjalankan kerja seharian kerana setiap pekerjaan itu adalah amanah yang diletakkan kepada kita. Kita juga akan menuai hasil melalui gaji yang diterima. Justeru pastikan gaji kita halal dengan sikap amanah dan khidmat terbaik kita.

5. Mukhabarat Jordan adalah bahagian risikan yang menerima latihan dan teknologi dari Amerika. Bahkan mukhabarat Jordan adalah bahagian risikan yang terbaik dirantau arab berbanding negara arab lain. Justeru, moga semua hati-hati kerana autoriti mereka juga lebih besar malah boleh mengarahkan kita tamat pengajian tanpa sebab.

Itu sahaja.

Moga Allah Redha segala pengalaman ini.

*Gambar 1 adalah gambar balai polis yang ditahan manakala gambar 2 adalah gambar kereta selepas kemalangan yang kedua-duanya kabur dek masih trauma untuk snap gambar.





 Gambar 1;

Gambar 2; 





Pengalaman Itu Pendidikan

Read More

Selasa, Ogos 18, 2015

Sudah rancang pernikahan anda? 
Cuba lihat jadual berikut.
Perincian:
1. Ideal
Umur ideal untuk nikah dan berpotensi melahirkan anak untuk pasangan yang sihat kerana kesuburan yang berpotensi. Wanita pula berkeadaan paling subur pada usia di antara umur 20 - 24 tahun dan berpotensi untuk melahirkan anak yang sihat. Manakala lelaki pula mempunyai kesuburan yang baik pada umur pertengahan 20-an.
Akan tetapi diperingkat ini merupakan peringkat untuk mula masuk ke medan kerjaya serta taraf ekonomi yang masih rendah.
2. Baik
Pada usia ini juga masih mempunyai tahap kesuburan yang baik dan keadaan ekonomi peribadi dan individu yang mula kukuh. Bahkan bagi perempuan berusia awal 30-an yang fokus kerjaya mempunyai karier dan kerjaya tersendiri. Namun peringkat kesuburan mula menurun.
3. Waspada
Merupakan peringkat umur berwaspada bagi lelaki dan perempuan yang masih belum berkahwin terutamanya perempuan walaupun diperingkat ini, ekonomi peribadi semakin kukuh. Kesuburan juga mula turun dengan drastik selepas umur 35 tahun.
4. Berisiko
Bagi individu yang baru mendirikan rumahtangga peringkat ini, akan berisiko untuk menghasilkan zuriat. Potensi untuk hamil berkurangan sekiranya baru memulakan alam rumah tangga diakhir 30-an. Namun, masih punya harapan dan peluang.
5. Berisiko keabnormalan
Sebagai pasangan tua, perlu sedar bahawa risiko keabnomalan genetik terjadi pada usia ini.
Sila rujuk pakar dan sumber yang lebih lanjut untuk lebih banyak perincian dan ketepatan.
P/S: Walau bila anda bernikah, semoga ianya jodoh dan aturan yang terbaik dari Allah S.W.T. Bagi yang masih belum bertemu jodoh, moga terus berusaha dan dipertemukan yang terbaik.
“Dan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.” [An-Nur : 26]

*Jadual tersebut dibuat berdasarkan analisis kesuburan lelaki dan wanita serta taraf ekonomi dan pendidikan. Justeru ia mungkin berbeza bagi setiap orang. 
**Peringkat dan tahapan bagi kelahiran anak disusun secara purata. Justeru ia juga mungkin berubah.

Jadual Pernikahan dan Sudut Pandang Masa Depan

Read More

Sabtu, Ogos 15, 2015


1. Wajib hadir apabila dijemput

Apabila sesuatu jemputan diterima, maka hendaklah hadir melainkan sekiranya ada halangan yang menghalang untuk hadir.

Daripada Abdullah ibn Umar bahawa Rasulullah bersabda: "Datanglah menunaikan jemputan apabila kamu dijemput kepadanya." [HR Bukhari, No. Hadith 5179]

2. Niat

Niatkan kehadiran kita sebagai ibadah dan memenuhi hak sesama Muslim kerana setiap perbuatan yang diniatkan sebagai ibadah kepada Allah, pasti ada ganjaran pahala yang sentiasa mengalir termasuk dalam setiap langkah kita ke majlis tersebut.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Kattab beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu." [HR Bukhari, No. Hadith 1]

Daripada Anas Bin Malik, Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang inginkan rezekinya diluaskan dan dipanjangkan usianya, maka jalinkanlah hubungan silaturrahim (dengan ihsan).” [HR Bukhari, No. Hadith 5527 dan Muslim, No. Hadith 4638]

3. Menutup aurat

Memakai pakaian yang menutup aurat dan sopan samaada lelaki mahupun wanita.

Rasulullah menegur, “Wahai Asma’, sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah didatangi haid (mencapai usia baligh), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu melainkan ini dan ini” – sambil menunjukkan muka dan dua tapak tangannya” [HR Abu Daud, No. Hadith 3580]

4. Menjaga adab-adab makan

Umar Bin Abu Salamah menceritakan bahawa Rasulullah bersabda: “Wahai ghulam (pemuda), sebutlah nama Allah (Bismillah), makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah hidangan yang dekat denganmu.” [HR Bukhari, No. Hadith 4957]

Anas Bin Malik menceritakan, “Nabi melarang orang itu minum sambil berdiri” Kemudian kami bertanyakan Anas berkenaan makan sambil berdiri. Anas menjawab, “Itu lebih buruk lagi!” [HR Bukhari dan Muslim]

Abu Hurairah menyatakan, “Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Sekiranya beliau suka, Baginda memakannya. Sekiranya tidak, Baginda meninggalkannya.” [HR Bukhari, No. Hadith 4989 dan Muslim, No. Hadith 3844]

5. Mendoakan kebahagiaan pengantin 

Rasulullah apabila memberi ucapan selamat kepada orang yang sudah menikah, Baginda berdoa:

“Semoga Allah memberi keberkatan kepadamu, semoga Allah memberi keberkatan ke atasmu dan semoga Allah himpunkan kalian dalam kebaikan.” [HR Abu Daud, No. Hadith 1819]


6. Mendoakan tuan rumah atas sajian

Daripada Abdullah Bin Busr yang bapanya pernah menyediakan makanan untuk Nabi. Kemudian bapanya itu menjemput Rasulullah makan. Rasulullah memenuhi undangan beliau dan selesai makan, Rasulullah berdoa:

“Ya Allah, ampunilah mereka, sayangilah mereka dan berikanlah keberkatan pada makanan yang Engkau anugerahkan untuk mereka.” [HR Ahmad, No. Hadith17013]



Adab Menghadiri Majlis Perkahwinan

Read More

Isnin, April 27, 2015

Masyarakat dunia hari ini melihat Islam adalah agama 'terrorist' hingga lupa akan fakta sejarah. Bahkan mereka yang pernah melakukan jenayah perang dianggap sebagai wira dan pembunuhan mereka didiamkan dari telinga-telinga 7 billion penduduk dunia.

Fakta Sejarah:
Individu yang telah melakukan pembunuhan manusia paling besar dalam sejarah;

1) Hitler
Beliau merupakan penganut agama Kristian.

2) Joseph Stalin
Telah membunuh 20 juta orang termasuk 14.5 juta dibiar kelaparan hingga mati. Bekas penganut Georgian Ortodok dan kemudian tidak menganut mana-mana agama.

3) Mao Tse Tsung (China)
Telah membunuh 14 hingga 20 juta manusia. Tidak menganut agama.

4) Benito Mussolini (Italy)
Telah membunuh 400 ribu manusia. Perdana Menteri Italy ke-27. Merupakan seorang Ateis.

5) Ashoka
Telah membunuh 100 ribu manusia dan telah mengusir 150 ribu orang ketika perang Kalinga (260 sebelum Masihi). Merupakan penganut agama Hindu kemudian bertukar kepada Buddha.

6) George Bush di Iraq

Sekatan yang diletakkan oleh George Bush di Iraq. Setengah juta kanak-kanak telah dibunuh di Iraq tanpa masyarakat dunia ketahui. Sekatan yang diletakkan oleh George Bush di Iraq.



Peperangan Terbesar

1. Perang Dunia Pertama, 17 juta terkorban
(dicetus oleh non-Muslim)

2. Perang Dunia Kedua, 50-55 juta terkorban
(dicetus oleh non-Muslim)

3. Ledakan Bom Atom Nagasaki, 200,000 orang terkorban
(dicetus oleh non-Muslim)

4. Perang  Vietnam, lebih 5 juta orang mati
(dicetus oleh non-Muslim)

5. Perang Bosnia/Kosovo, lebih 500,000 orang mati
(dicetus oleh non-Muslim)

6. Perang di Iraq , hingga kini 12,000,000 kematian
(dicetus oleh non-Muslim)

7. Afghanistan, Iraq, Palestin, Burma dan lain-lain
(dicetus oleh non-Muslim)

8. Perang Cambodia 1975-1979, hampir 3 juta kematian
(dicetus oleh non-Muslim)


Masyarakat dunia hari ini takut dengan perkatan ‘Jihad’. Jihad adalah perkataan arab yang berasal dari ‘Jahada’ bermaksud ‘berusaha’. Berusaha melawan kekejaman dan berusaha untuk keadilan. Jika secara umumnya, berusaha menuntut ilmu juga termasuk dalam maksud jihad. Ia bukan bermaksud membunuh manusia tidak bersalah!


Sumber:

http://en.wikipedia.org/wiki/The_Holocaust
http://en.wikipedia.org/wiki/Joseph_Stalin
http://en.wikipedia.org/wiki/Ashoka
http://en.wikipedia.org/wiki/Benito_Mussolini#Religious_views
http://www.globalissues.org/article/105/effects-of-sanctions
http://en.wikipedia.org/wiki/Mao_Zedong

Islam Is Not A Terrorist

Read More

Khamis, Februari 13, 2014

Maklumat diri:

Nama: Abdelillah Benkirane (عبد الإله بنكيران)
Negara: Maghribi
Dilahirkan: Di Rabat, Maghribi pada tahun 8 April 1954
Jawatan dalam gerakan: Ketua Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD)
Jawatan dalam kerajaan: Perdana Menteri Maghribi (29/11/2011)
Status: Berkahwin dan memiliki 6 orang cahaya mata.


Maklumat Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD)

Memperjuangkan dasar Islam dan Islam Demokrasi.

Diasaskan oleh Abdelkrim Al-Khatib, seorang tokoh penting dalam mengasaskan parti pergerakan dan di usir pada 1960-an.

Liku kehidupan

Perjuangan beliau bermula sebagai seorang aktivis politik berhaluan kiri dengan kerajaan Maghribi ketika tahun 1970-an dan mula menjadi perwakilan di Parlimen pada 14 November 1997. Beliau dipilih menjadi ketua Parti Keadilan dan Pembangunan pada 2008.

Perjuangan dalam politik beliau adalah berbentuk Islam dan Demokratik. Kata yang agak popular ketika diucapkan diawal pelantikannya menjadi Perdana Menteri adalah:

“Jika saya mendapat tempat di dalam kerajaan, ia tidak akan jadi sekiranya saya memberitahu wanita muda berapa sentimeter skirt mereka harus memakai untuk melindungi kaki mereka. Itu bukan urusan saya. Ia tidak mungkin, bagaimanapun, untuk sesiapa sahaja untuk mengancam punca kebebasan awam di Maghribi "

Begitulah ucapannya dalam mendepani masyarakat yang sudah lama dijamu dengan serangan sekularisme.






Tokoh Gerakan Islam Maghribi: Abdelillah Benkirane

Read More

Isnin, Ogos 26, 2013






Guru saya di KUIS, ustaz Mohd Khafidz Soroni dari Jabatan Quran Sunnah & Institut Kajian Hadis (INHAD) ada menulis :

Terdapat sebuah hadis yang sering digunakan bagi menggalakkan masyarakat Islam menceburi bidang perniagaan. Hadis tersebut dicatatkan oleh Imam al Ghazali (w.505H) di dalam kitabnya yang terkenal, Ihya' 'Ulumuddin. Beliau hanya menukilkan daripada kitab Qutb Al-Qulub oleh Abu Talib al Makki (w.386H). Hadisnya berbunyi :

عليكم بالتجارة فإن فيها تسعة اعشار الرزق
"Berniagalah kamu kerana sembilan persepuluh punca rezeki adalah dalam perniagaan"

Bila kita pandai memasak, orang kata kenapa tak buka restoran. Bila kita pandai menjahit, orang kata kenapa tak buka kedai. Bila kita petah berkata, orang kata kenapa tak buka konsultan. 9/10 adalah punca rezeki, Nabi s.a.w. kata 9/10 rezeki datang dari perniagaan.

Islam amat amat menggalakkan umatnya untuk berniaga kerana dengan berniaga dapat mengubah hidup seseorang dari kehidupan yang biasa-biasa kepada kehidupan yang "luar biasa". Ramai diantara tokoh-tokoh korporat yang kaya raya semuanya adalah seorang peniaga. Dengan izin Allah. Malah Nabi kita juga merupakan seorang peniaga. Isteri baginda s.a.w., Siti Khadijah juga merupakan seorang peniaga yang kaya raya.

Sebuah kisah yang sangat masyhur ingin saya kongsikan disini. Pada suatu ketika Madinah dilanda musim kemarau. Di tengah-tengah masyarakat tersebar khabar kehadiran kafilah milik Abdul Rahman bin Auf r.a. yang membawa barangan berupa makanan, buah-buahan dan pakaian. Para peniaga kota Madinah berpusu-pusu mendatangi kafilah Abdul Rahman untuk membeli barang-barang tersebut.

Mereka bertanya kepada Abdul Rahman, "Apakah engkau akan menjual semua ini?" Abdul Rahman menjawab, "Ya." Mereka berkata lagi, "Juallah barang-barang kamu kepada kami dan kami akan memberimu keuntungan sebanyak dua kali ganda. Setiap satu dirham akan kami bayar dua dirham."

Abdul Rahman berkata, "Maaf, aku telah menemui pihak yang boleh membayar lebih besar daripada jumlah yang kamu tawarkan."

Mendengar jawapan Abdul Rahman, para peniaga tersebut membuat tawaran lagi kepada Abdul Rahman. "Baiklah, kami akan membayar tiga kali ganda kepadamu." Abdul Rahman menjawab lagi, "Maaf, aku telah menemui pihak yang boleh membayar lebih besar daripada jumlah yang kamu tawarkan itu." Mendengar jawapan tersebut, mereka terus membuat tawaran, "Kami akan membayar kamu empat kali ganda." Namun sekali lagi Abdul Rahman menjawab, "Maaf, aku telah menemui pihak yang boleh membayar lebih besar daripada jumlah yang kamu tawarkan."

Para peniaga Madinah itu akhirnya putus asa dengan jawapan Abdul Rahman tersebut lalu berkata, "Kami ini adalah peniaga Madinah dan tidak ada orang yang mampu membayar lebih besar daripada kami." Abdul Rahman menjawab, "Sesungguhnya Allah telah memberikan bayaran yang lebih besar kepadaku dari atas langit. Sebagaimana firman Allah:

"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (al-Baqarah : 261)

Abdul Rahman lalu berkata, "Allah akan membayar kepadaku lebih dari tujuh ratus kali ganda, bahkan sehingga gandaan yang tidak terkira. Aku bersaksi di hadapan kamu semua, di hadapan Allah, dan para malaikat-Nya bahawa semua barang ini aku sedekahkan di jalan Allah. Aku tidak akan menerima satu dirham atau satu dinar pun daripada barang-barang ini."

Para peniaga itu pun beredar meninggalkan Abdul Rahman yang kemudian menyedekahkan semua barang dagangannya kepada orang-orang miskin. MasyaAllah betapa dermawannya sifat sahabat baginda s.a.w. Keyakinan beliau terhadap Allah s.w.t bahawa rezeki itu datangnya hanya daripada Allah s.w.t. sangat jitu.
Allah s.w.t. telah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Antaranya :

1. Menyempatkan diri beribadah
2. Memperbanyak istighfar
3. Meninggalkan perbuatan dosa
4. Sentiasa mengingati Allah
5. Berbakti dan mendoakan ibubapa
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
7. Menunaikan hajat orang lain
8. Perbanyakkan berselawat
9. Berbuat banyak kebajikan
10. Berpagi-pagi
11. Menjalin silaturrahim
12. Melazimi kekal berwudhuk
13. Bersedekah
14. Melazimi solat malam (tahajjud)
15. Melazimi solat dhuha
16. Bersyukur kepada Allah
17. Mengamalkan zikir dan ayat alQuran
18. Berdoa
19. Berikhtiar sehabis baik
20. Bertawakkal

Kesemua yang disebut diatas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan memberi “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” [atTalaq : 2-3] Amalan-amalan ini menjadi asbab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dan cukup dengan pemberian-Nya.



Strategi Menjemput Rezeki

Read More