Memaparkan catatan dengan label Tokoh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tokoh. Papar semua catatan

Khamis, Februari 13, 2014

Maklumat diri:

Nama: Abdelillah Benkirane (عبد الإله بنكيران)
Negara: Maghribi
Dilahirkan: Di Rabat, Maghribi pada tahun 8 April 1954
Jawatan dalam gerakan: Ketua Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD)
Jawatan dalam kerajaan: Perdana Menteri Maghribi (29/11/2011)
Status: Berkahwin dan memiliki 6 orang cahaya mata.


Maklumat Parti Keadilan dan Pembangunan (PJD)

Memperjuangkan dasar Islam dan Islam Demokrasi.

Diasaskan oleh Abdelkrim Al-Khatib, seorang tokoh penting dalam mengasaskan parti pergerakan dan di usir pada 1960-an.

Liku kehidupan

Perjuangan beliau bermula sebagai seorang aktivis politik berhaluan kiri dengan kerajaan Maghribi ketika tahun 1970-an dan mula menjadi perwakilan di Parlimen pada 14 November 1997. Beliau dipilih menjadi ketua Parti Keadilan dan Pembangunan pada 2008.

Perjuangan dalam politik beliau adalah berbentuk Islam dan Demokratik. Kata yang agak popular ketika diucapkan diawal pelantikannya menjadi Perdana Menteri adalah:

“Jika saya mendapat tempat di dalam kerajaan, ia tidak akan jadi sekiranya saya memberitahu wanita muda berapa sentimeter skirt mereka harus memakai untuk melindungi kaki mereka. Itu bukan urusan saya. Ia tidak mungkin, bagaimanapun, untuk sesiapa sahaja untuk mengancam punca kebebasan awam di Maghribi "

Begitulah ucapannya dalam mendepani masyarakat yang sudah lama dijamu dengan serangan sekularisme.






Tokoh Gerakan Islam Maghribi: Abdelillah Benkirane

Read More

Ahad, Mei 12, 2013



Ketika kita mandi, tangan ibu yang meratakan air ke seluruh badan, membersihkan segala kotoran. Ketika kita dilanda masalah, tangan ibu yang membelai duka sambil berkata, "Sabar nak, sabar ya sayang."

NAMUN,

Ketika ibu sudah tua dan kelaparan, tiada tangan dari anak yang menyuapi. Dengan tangan yang gemetar, ibu menyuapkan sendiri makanan ke mulutnya dengan linangan air mata. Ketika ibu sakit, dimana tangan anak yang ibu harapkan dapat merawat ibu yang sedang sakit?

Ketika nyawa ibu terpisah dari jasad. Ketika jenazah ibu hendak dimandikan, dimana tangan anak yang ibu harapkan untuk menyirami jenazah ibu untuk terakhir kali.
Tangan ibu, tangan ajaib. Sentuhan ibu, sentuhan kasih yang dapat membawa ke Surga Firdaus.


Anak yang soleh bukan hanya mengucapkan Hari Ibu setiap tahun. Tetapi menitip dalam doanya setiap hari.


Kita dan Ibu,

Tanpa Ibu tiadalah kita. Tanpa kita ibu tetap ada.



Khas buatmu Ibu. 

Kita dan Ibu : Siapa kita jika tanpa Ibu?

Read More

Isnin, Disember 17, 2012



Pada 14 Mei 1948 David Ben-Gurion telah mengisytiharkan wujudnya Negara Israel yang merdeka lalu diiktiraf oleh Soviet Union dan Amerika Syarikat.

IKhwan Muslimin telah mengadakan mesyuarat dan mereka telah mendesak Mesir dan negara-negara Arab lain supaya mengisytihar jihad terhadap Israel serta menggunakan apa sahaja cara yang mungkin untuk menyelamatkan Pale

stin daripada kehancuran. Ekoran dari itu berlaku Perang Arab-Israel1948.

Ikhwan Muslimin telah menghantar 10,000 mujahidin, kemudian diikuti beberapa Negara Arab yang lain antaranya Mesir, Syria, Iraq, Jordan,Lubnan dan beberapa Negara arab lagi sehingga jumlah mereka seramai 47500 orang.

Mujahidin yang dihantar Ikhwan Muslimin berjuang di barisan hadapan dengan semangat jihad yang kental yang ditanam oleh Imam Hasan Al Banna. Mereka berjuang dengan gagah berani sehingga setiap kali pertempuran mereka beroleh kemenangan. Mereka terus mara sehingga sampai ke pinggir Tel Aviv.

British, Amerika Syarikat dan sekutunya yang menyokong Israel berasa bimbang jika Negara haram yahudi itu dikalahkan tentera Arab. Mereka mendesak kedutaan masing-masing yang berada di Mesir mendesak Perdana Menteri Mesir Nuqrasyi Pasya supaya menarik pasukan tenteranya dan bertindak ke atas Ikhwan Muslimin yang kononnya pertubuhan itu sedang merancang hendak merampas kuasa.

Perdana Menteri Mesir memanggil pulang tentera Mesir dan tentera al-Ikhwan yang berjuang di Palestin. Kepulangan mereka bukan disambut sebagai pahlawan tetapi mereka ditangkap, dipenjarakan malah ramai yang dibunuh.

Pada 10 Jun 1948 diadakan gencatan senjata. Tetapi itu hanya helah Israel untuk memusnahkan tentera Arab. Apabila tentera Mesir dan Mujahidin Ikhwan Muslimin pulang maka tentera Arab yang lain berasa lemah semangat untuk berperang.

Gencatan senjata itu hanya helah Israel dan sekutunya. Semasa gencatan senjata Israel menerima senjata dari Amerika, Britain dan sekutunya. Kemudian Israel menyerang semula lalu mengalahkan pasukan Arab.

Hasan Al Banna dibunuh kerana menghantar 10 ribu pejuang ke Palestin dan berjaya menyatukan Negara Arab supaya menentang Israel. Mereka tidak mahu wujud tokoh yang mengikut jejak Salahuddin Al-Ayubi yang berjaya menyatukan Negara Arab sebelum menakluk Jerusalem.




Kenapa Imam Hasan Al-Banna di Bunuh?

Read More

Sabtu, Disember 15, 2012

"Wahai pemuda, seandainya kamu meyakini fikrah kami dan kamu mengikuti jejak langkah kami dan kamu bersama kami di atas Islam yang murni ini, kamu tinggalkan segala fikrah kecuali fikrah Islam dan kamu waqafkan segala tenaga dan usaha kamu untuk 'aqidah yang kamu yakini ini.


Maka semua itu akan mendatangkan kebaikan untukmu di dunia dan akhirat. Allah akan membuktikan kepadamu apa yang telah dibuktikan kepada ganerasi Islam yang pertama dahulu. Setiap orang yang bekerja dengan penuh ikhlas dan setia dalam medan da'wah ini akan mendapati sesuatu yang mengisi hemah dan cita-citanya. 

Ia akan mendapati sesuatu yang mengisi segala daya dan tenaga yang ada padanya. Tetapi sekiranya kamu enggan dan memilih sikap yang serba salah dan tidak jelas terumbang-ambing di antara seruan-seruan dan kefahaman yang mengecewakan dan menyesatkan. 

Maka sesungguhnya angkatan Islam dan tentera-tentera Allah akan meneruskan perjalanan mereka tanpa mengira bilangan sama ada sedikit atau ramai"


Firman Allah maksudnya:

(Dan kemenanganmu itu hanyalah dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana).
Surah Ali-Imran: Ayat 126


.
        Gambar hiasan ketika jaulah eidul-Fitri  2012

Pesanan Imam Hasan al-Banna

Read More

Rabu, Oktober 17, 2012

Imam Ahmad bin Muhammad bin Hambal. Beliau adalah Imam yang keempat dari fuqaha' Islam. Beliau memiliki sifat-sifat yang luhur dan tinggi. Ahmad bin Hambal dilahirkan di Baghdad pada bulan Rabiul Awal tahun 164H. Beliau termasyhur dengan nama datuknya Hambal, kerana datuknya lebih masyhur dari ayahnya.Ibnu Hambal hidup dalam keadaan miskin, kerana ayahnya hanya meninggalkan sebuah rumah kecil dan tanah yang sempit. Beliau terpaksa melakukan berbagai pekerjaan. Beliau pernah bekerja di tempat tukang jahit, mengambil upah menulis, menenun kain dan kadangkala mengambil upah mengangkat barang-barang orang. Beliau lebih mementingkan makanan yang halal lagi baik dan beliau tidak senang menerima hadiah-hadiah.

Ketika ia masih berumur 14 tahun, Ahmad bin Hambal telah belajar mengarang dan menghafal Al-Quran. Beliau bekerja keras dalam menuntut ilmu pengetahuan. Sebagai seorang ulama yang sangat banyak ilmunya, Ibnu Hambal pun seorang yang teguh imannya, berani berbuat di atas kebenaran. Dia tidak takut bahaya apa pun terhadap dirinya di dalam menegakkan kebenaran itu. Kerana Allah memang telah menentukan bahawa setiap orang yang beriman itu pasti akan diuji keimanannya. Termasuk juga para nabi dan rasul yang tidak pernah lepas dari berbagai ujian dan cubaan.

Ujian dan cubaan berupa fitnah, kemiskinan, seksaan dan lain-lainnya itu selalu akan mendampingi orang-orang yang beriman apalagi orang yang menegakkan kebenaran. Demikian juga halnya dengan Imam Hambali, terlalu banyak bahaya yang dihadapinya dalam berjuang menegakkan kebenaran agama. Ujian itu datangnya bermacam-macam kadangkala dari musuh kita dan dapat juga timbul dari kawan-kawan yang merasa iri dengan kebolehan seseorang.Imam Hambali berada di zaman kekuasaan kaum Muktazilah yang berpendapat bahawa Quran itu adalah makhluk. Pendirian ini begitu kuatnya di kalangan pemerintah, sehingga barangsiapa yang bertentangan pendirian dengan pihak pemerintah tentu akan mendapat seksaan.

Sebelum Al-Makmun ini, yakni di zaman sultan Harun Al-Rasyid, ada seorang ulama bernama Basyar Al-Marisy berpendapat bahawa Quran itu adalah makhluk. Baginda Harun Al-Rasyid tidak mahu menerima pendapat tersebut. Bahkan terhadap orang yang berpendapat demikian akan diberi hukuman. Kerana ancaman itu akhirnya Basyar melarikan diri dari Baghdad. Sultan Harun Al-Rasyid pernah berkata: “Kalau umurku panjang dan masih dapat berjumpa dengan Basyar nescaya akan kubunuh dia dengan cara yang belum pernah aku lakukan terhadap yang lain?”

Selama 20 tahun lamanya Syeikh Basyar menyembunyikan diri dari kekuasaan Sultan. Tetapi setelah Sultan Harun Al-Rasyid meninggal dunia, kemudian diganti dengan puteranya Al-Amin barulah Syeikh Basyar keluar dari persembunyiannya. Kembali ia mengeluarkan pendapatnya itu, bahawa Quran itu adalah makhluk. Al-Amin juga sependirian dengan ayahnya tidak setuju dengan pendapat tersebut. Ia mengancam berat terhadap orang yang mengatakan Quran itu makhluk.

Kemudian kepala negara pindah lagi ke tangan saudara Al-Amin iaitu Al-Makmun. Di zaman pemerintahan Al-Makmun inilah pendapat tentang Quran itu makhluk mula diterima. Al-Makmun sendiri telah terpengaruh dan ikut berpendapat demikian. Pada suatu kali oleh Al-Makmun diadakan pertemuan para ulama besar, untuk membincangkan hal itu, tetapi para ulama tetap berpendapat bahawa Al-Quran itu adalah makhluk. Al-Makmun mengharapkan supaya pendapat itu diterima orang ramai.

Pada masa itu satu-satunya ulama yang keras berpendirian bahawa “Al-Quran itu bukan makhluk?” Hanyalah Imam Hambali. Secara terus terang ia berkata di hadapan Sultan:
“Bahawa Al-Quran bukanlah makhluk yang dijadikan Allah, tetapi ia adalah Kalamullah.”
Imam Hambali satu-satunya ulama ketika itu yang berani membantah, sedangkan yang lainnya diam seribu bahasa. 

Kemudian ia ditangkap dan dihadapkan ke hadapan baginda. Ia dipanggil bersama tiga orang ulama yang lainnya, iaitu Imam Hassan bin Muhammad Sajah, Imam Muhammad bin Nuh dan Imam Ubaidah bin Umar. Kedua ulama di antara mereka sama menjawab dan membenarkan pendapat baginda sementara Imam Hambali dan Imam Muhammad bin Nuh dengan tegas menjawab bahawa Quran itu bukanlah makhluk. Keduanya lalu dimasukkan ke dalam penjara. Setelah beberapa hari dalam penjara datang surat dari Tharsus yang meminta supaya keduanya dibawa ke sana dengan dirantai.

Kedua ulama tersebut betul-betul dirantai kedua kaki dan tangannya dan ditunjukkan di hadapan orang ramai. Kemudian dibawa ke Tharsus, sesampainya di sana keduanya dimasukkan ke dalam penjara. Kerajaan mempunyai seorang ulama besar bernama Ahmad bin Abi Daud, yang pandai berbicara namun lemah dalam pendirian terhadap Imam Hambali mereka minta supaya dihukum dengan hukuman yang seberat-beratnya. Baginda raja menerima usulan tersebut. Lalu Imam Hambali dihadapkan depan raja dan ditanyakan tentang pendiriannya.

Namun ia tetap menyampaikan pendiriannya bahawa Al-Quran itu ialah Kalamullah bukan makhluk. Dan ia menegaskan lagi bahawa ia tidak akan berubah dari pendiriannya itu.Akhirnya terjadilah persidangan yang dipimpin oleh baginda sendiri. Kemudian baginda memanggil Imam Hambali dan berkata:

“Atas nama saya sebagai kerabat Nabi Muhammad SAW saya akan memukul engkau beberapa kali, sampai engkau membenarkan apa yang telah saya benarkan, atau mengatakan seperti yang saya kata?”

Kerana Imam Hambali masih tetap dengan pendiriannya, maka baginda memerintahkan kepada perajuritnya untuk memukul Imam Hambali. Ketika cambuk yang pertama singgah di punggung beliau, beliau mengucapkan “Bismillah.” Ketika cambuk yang kedua, beliau mengucapkan “La haula walaa quwwata illaa billah” (tiada daya dan kekuatan apa pun kecuali izin Allah). Ketika cambuk yang ketiga kalinya beliau mengucapkan “Al-Quran kalaamullahi ghairu makhluk” (Al-Quran adalah kalam Allah bukan makhluk). Dan ketika pada pukulan yang keempat, beliau membaca surah At-Taubah ayat 51.

“Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang ditetapkan oleh Allah bagi kami.”

Sehingga seluruh badan beliau mengalir darah merah. Akhirnya beliau dimasukkan ke dalam penjara kembali. Pada suatu hari ketika Imam Hambali dibawa ke Kota Anbar dengan tangan yang terbelenggu, seorang yang alim bernama Abu Ja’far Al-Anbari menghampiri beliau. Imam Hambali bertanya kepadanya:

“Hai Abu Ja’far apakah engkau susah melihat keadaanku?” “Tidak wahai Imam, engkau adalah pemuka umat, kerana umat manusia ada di belakangmu. Demi Allah, bila engkau mahu menjawab bahawa Quran itu makhluk, pastilah umat akan mengikutimu, dan bila engkau tidak mahu menjawab, maka umat juga tidak mahu menjawab seperti apa yang ingin engkau jawab. Bila engkau tidak mati dibunuh orang, pasti engkau juga akan mati dengan cara yang lain. Maka janganlah engkau mahu menuruti kehendak mereka.”


Mendengar kata-kata Ja’far itu beliau mencucurkan air mata dan berkata: “Masya-Allah!, Masya-Allah!, Masya-Allah!. Kemudian beliau pun dikunjungi oleh bekas penjahat bernama Abdul Haitsam Al-Ayyar dan berkata kepada beliau: “Wahai Imam, saya ini seorang pencuri yang didera dengan beribu-ribu cambukan, namun saya tidak mahu mengakui perbuatan saya, pada hal saya menyedari bahawa saya salah. Maka janganlah Imam gelisah dalam menerima dera, sebab engkau dalam kebenaran.”Ketika Khalifah Al-Makmun meninggal dunia pada tahun 218H (833 M) setelah memerintah 20 tahun lamanya, yang mengganti beliau ialah saudaranya yang bernama Ishaq Muhammad bin Harun Al-Rasyid yang bergelar dengan Al-Muktashimbillah.

Sebelum Khalifah Al-Makmun meninggal dunia beliau telah berpesan kepada bakal penggantinya itu bahawa faham Al-Quran itu makhluk harus dipertahankan.”


Kebijaksanaan kerajaan yang menyeksa para ulama yang tidak sependirian dengan faham kerajaan itu atas dasar hasutan seorang ulama kerajaan yang bernama Qadhi Qudhoti Ahmad bin Abi Daud (Daud). Ulama inilah yang memberikan usulan kepada Al-makmun bahawa jika Imam Ahmad bin Hambal tetap tidak mahu mengikuti bahawa Al-Quran itu makhluk hendaklah dihukum dengan hukuman yang berat.

Setelah kerajaan dipegang oleh Al-Muktasim ulama Ahmad bin Daud masih tetap menjadi qadi kerajaan. Pada suatu hari Qadi kerajaan ini cuba mengadili Imam Hambali dengan melakukan perdebatan akhirnya Ahmad bin Daud kalah kerana tidak dapat mengemukakan alasan yang lebih kuat. Walaupun demikian Imam Hambali tetap dimasukkan kembali ke dalam penjara.

Pada bulan Ramadhan pengadilan terhadap Imam Hambali diadakan lagi. Khalifah Al-Muktashim bertanya: “Al-Quran itu adalah baru, bagaimana pendapat anda.” “Tidak!, Al-Quran adalah kalam Allah, saya tidak sejauh itu membahasnya kerana di dalam Al-Quran dan hadith tidak disuruh membahas soal tersebut.” Jawab beliau.

Beliau dicambuk sampai berdarah, pada hal ketika itu bulan puasa. Baginda berkata: “Kalau kamu merasa sakit dengan pukulan ini, maka ikutilah saya, dan akuilah bahawa Al-Quran itu makhluk, supaya kamu selamat.”Penderaan pun terus berlangsung, sehingga beliau terasa bahawa tali seluar yang menutup auratnya putus dan hampir turun ke bawah. Beliau pun mengangkatkan mukanya ke atas sambil berdoa: “Ya Allah!, atas namaMu yang menguasai Arsy, bahawa jika Engkau mengetahui bahawa saya adalah benar, maka janganlah Engkau jatuhkan penutup aurat ku.” Ketika itu pula seluar beliau yang akan jatuh itu naik ke atas kembali sehingga aurat beliau tidak jadi terlihat oleh orang ramai.

Penyeksaan terhadap beliau itu baru berakhir setelah selesai maghrib. Para hakim dan orang- orang hadir kemudian berbuka puasa di hadapan beliau. Sementara beliau dibiarkan saja tidak diberi sesuatu makanan untuk berbuka. Demikianlah seterusnya, pada hari yang kedua pun beliau masih tetap didera sampai seluruh badannya mencucurkan darah. Pada hari ketiga beliau masih tetap didera sehingga pengsan.Setelah Al-Muktashim meninggal dunia ia diganti dengan puteranya Al-Watsiq. Pada masa ini banyak penganiayaan dilakukan terhadap para ulama. Khalifah Al-Watsiq inilah yang memancung leher ulama terkenal yakni Ahmad bin Naser Al-Khuza’i. Kepala Ahmad bin Naser digantung dan diletak tulisan yang berbunyi: “Inilah kepala Ahmad bin Naser yang tidak mahu mengakui bahawa Al-Quran itu makhluk, maka Tuhan memasukkan Ahmad bin Naser ke dalam neraka, kepala ini menjadi peringatan bagi mereka yang memalingkan dirinya dari kiblat.” Demikianlah tulisan yang diletakkan dekat leher Ahmad bin Naser.


Kemudian Khalifah Al-Watsiq meninggal dunia dan digantikan dengan saudara beliau yang bernama, Al-Mutawakkil. Pada masa inilah dicabut tentang faham muktazilah dan diadakan pembebasan terhadap semua ulama yang ditahan, termasuk Imam Ahmad bin hambal. Sementara itu Imam Hambali setelah dibebaskan beliau diberi hadiah sebanyak l0,000 dirham, namun hadiah tersebut beliau tolak. Kerana dipaksa untuk menerimanya, akhirnya beliau terima dan dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin.Pada hari Jumaat tanggal 12 Rabiul Awal tahun 241 H/855 M beliau meninggal dunia yang fana ini dengan tenang dalam usia 77 tahun. Setelah mendengar wafatnya beliau, seluruh Kota Baghdad menjadi gempar jenazah beliau disembahyangkan lebih dari 130,000 orang muslimin.

Demikian berakhirnya riwayat seorang penegak kebenaran dan meninggikan ilmu pengetahuan, setelah melalui berbagai seksaan dan penganiayaan. Semoga mereka yang berjuang pada jalan Allah menjadi kekasih Allah, yang selalu mendapat keberkahannya dan keredhaanNya.

Banyak lagi mereka yang berjuang pada jalan Allah akhirnya menerima ujian dan cubaan dengan berbagai penganiayaan dan seksaan. Firman Allah ertinya:


“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan. “Kami telah beriman, sedang mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang- orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”

(Al-Ankabut: 2-3)   




Mengenali Imam Ahmad Bin Hanbal

Read More

Rabu, November 23, 2011

Baru membaca kisah tentangnya. Pernahkah anda mendengar nama Adnan Menderes? 

Adnan Menderes adalah anak kepada seorang tuan tanah di Aydin,Turki yang telah dilahirkan pada 1891 di penghujung era Daulah Uthmaniyah. Beliau adalah seorang graduan di bidang perundangan daripada Law School of Ankara University.

   Adnan Mendeles, PM Turki 1950-1960
Democrat Party menang pada PRU terbuka pada tahun 1950 dan Adnan Menderes telah dilantik menjadi PM selama 10 tahun dengan membawa banyak kemajuan kepada Turki. Kesungguhannya untuk mengembalikan Turki kepada sistem yang lebih Islamik telah dibuktikan apabila beliau berjaya membawa banyak perubahan yang positif.
Di antaranya ialah:
  1. Azan kembali dilaungkan dalam bahasa Arab (dalam bahasa Turki di zaman Ataturk)
  2. Membuka kembali ribuan masjid-masjid di seluruh negara yang telah ditutup di sepanjang era pemerintahan Atatürk.
  3. Kerajaan Turki mula membina kembali hubungan dengan negara-negara Arab dan negara-negara Islam.
  4. Membuat perubahan polisi ekonomi yang memberi keadilan kepada segenap lapisan masyarakat termasuk golongan bawahan.
  5. Bahkan pernah dalam ucapannya di Parlimen Turki, beliau mengatakan bahawa perundangan Islam boleh dikembalikan sekiranya majoriti ahli-ahi parlimen ingin berbuat demikian.
Polisi beliau yang semakin popular di kalangan masyarakat awam ini juga telah turut disokong oleh Cemal Gürsel, Ketua Turus Angkatan Tentera Turki. Namun polisi ini telah ditentang sekuat-kuatnya oleh golongan sekuar di kalangan para intelek, para mahasiswa dan pemimpin radikal tentera yang pro Kemalist pada ketika itu.
   Adnan Menderes digantung
Pada 27hb Mei 1960, satu revolusi tentera yang diterajui oleh 37 pemimpin muda tentera telah menggulingkan kerajaannya dan Adnan Menderes adalah di antara tokoh yang telah ditangkap. Beliau kemudiannya telah dikenakan hukuman gantung di atas dakwaan menentang perundangan sekular Turki yang pro-Kemalist (Mustafa Kamal Atatürk).
Namun begitu, kehebatan dan kemuliaan usaha-usaha Adnan Menderes telah diiktiraf semula 29 tahun selepas beliau digantung. Bersempena dengan aniversari ke 29 tahun beliau digantung, maka pada 17 September 1990 kerajaan baru Turki yang telah dilantik secara demokrasi telah mengubah pendirian Parlimen terhadap Adnan Menderes. Parlimen dengan secara rasminya telah mengiktiraf sumbangan Adnan Menderes secara rasminya.
Bahkan jasa-jasanya turut dikenang melalui penamaan semula pelbagai institusi seperti Adnan Menderes University di Aydin, Adnan Menderes Airport, Adnan Menderes District, Adnan Menderes Road dan sebagainya.

Tiada Guna Hidup Tanpa Berjasa

Read More