Memaparkan catatan dengan label Rumah Tangga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rumah Tangga. Papar semua catatan

Isnin, Disember 07, 2015

Sirah Rasulullah SAW mencatatkan bahawa Rasulullah SAW menjalani kehidupan bersama sebelas orang isteri. Dua daripadanya meninggal sebelum Rasulullah SAW, iaitu Khadijah dan Zainab. Manakala sembilan orang lagi menjadi janda setelah Rasulullah SAW wafat. Rasulullah SAW menikahi isteri pertamanya, Khadijah ketika berusia 25 tahun dan hidup bersama hingga kewafatan Khadijah pada tahun ketiga sebelum hijrah. Maka, selepas itu bermulalah perjalanan hidup Rasulullah SAW berpoligami dengan isteri-isterinya.

Ijamak ulama’ menyatakan, Rasulullah SAW diizinkan memiliki lebih dari empat orang isteri. Perkara ini tidak berlaku bagi rasul-rasul yang lain dan akan dijelaskan tentang tujuan dan hikmah berkenaan pernikahan tersebut.

“Dan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.” [An-Nur : 26]


Pernikahan Rasulullah SAW

1. Pernikahan dengan Khadijah Binti Khuwailid RA

Merupakan isteri pertama Rasulullah. Ketika memperisterikannya, Rasulullah SAW berumur 25 tahun dan Khadijah berumur 40 tahun. Pernikahan ini berlangsung sebelum Rasulullah SAW menerima wahyu dan tugasan kerasulan.

Khadijah merupakan wanita pertama yang beriman kepada Rasulullah SAW. Sebagai seorang wanita kaya, Khadijah menjadi tonggak perjuangan Rasulullah SAW. Beliau meninggal pada usia 70 tahun ketika Rasulullah SAW mencecah umur 53 tahun. Beliau juga merupakan satu-satu isteri yang tidak pernah dimadukan selama tempoh umur Rasulullah  SAW menjadi suaminya. Semoga Allah SWT meredhainya.

2. Pernikahan dengan Saudah binti Zama’ah RA

Saudah binti Zama’ah merupakan seorang janda yang disunting Rasulullah SAW dalam usia lebih kurang 50 tahun. Pernikahan dengan Saudah mempunyai motif yang mulia, iaitu melindunginya setelah suaminya meninggal dunia sekaligus memberikan nya perlindungan dari keluarganya yang berkelakuan kasar setelah dia memeluk Islam.

3. Pernikahan dengan A’isyah binti Abu Bakar

Pernikahan Rasulullah SAW dengan as-Siddiqah (perempuan jujur), A’isyah puteri Abu Bakar as-Siddiq berlangsung atas dasar wahyu dari Allah SWT. Hikmah pernikahan ini antara lain untuk memberikan penghargaan kepada Abu Bakar RA dan mengangkat darjatnya dengan menjadi mertua Rasulullah SAW. Di samping itu, pernikahan ini bertujuan bagi membantah kaum jahiliyyah yang menjadikan persaudaraan kekerabatan bagaikan persaudaraan nasab. A’isyah RA merupakan satu-satunya isteri Rasulullah SAW yang masih dara.

4. Pernikahan dengan Hafsah Binti Umar

Rasulullah SAW menyunting Hafsah Binti Umar RA yang menjanda beberapa hari setelah suaminya gugur sebagai syahid di perang Badar. Sebelum menyunting, Umar (ayahnya) pernah menawarkan kepada Abu Bakar RA. Tetapi Abu Bakar RA tidak bersedia. Lalu ditawarkan kepada Uthman RA dan dia juga tidak bersedia. Kemudian Rasulullah SAW meminangnya untuk mengubati kesedihannya sekaligus mengangkat martabat ayahnya, Umar Bin Khattab RA.

5. Pernikahan dengan Zainab Binti Khuzaimah

Setelah tiga kali bersuami, Zainab Binti Khuzaimah al-Hilaliyyah RA disunting oleh Rasulullah SAW. Pernikahan ini adalah sebagai penglipur lara, penawar duka atas penderitaan yang dialaminya sekaligus sebagai penghargaan atas keluhuran peribadinya yang sangat memahami terhadap orang-orang miskin.

6. Pernikahan dengan Ummu Salamah

Ummu Salamah RA adalah seorang janda yang memiliki empat orang anak tanpa seorang pun yang melindungi mereka. Kemudian Rasulullah SAW menyuntingnya demi meringankan beban hidupnya sekaligus menjadi bapa bagi anak-anaknya yang yatim.

7. Perkahwinan dengan Juwairiyyah

Juwairiyyah Binti al-Harith RA adalah hamba perempuan yang mendapat penghormatan menjadi isteri Rasulullah SAW setelah Rasulullah membebaskannya. Pernikahan ini membuatkan keluarganya bersimpati dan tertarik untuk memeluk agama Islam. Tak dinafikan, Juwairiyyah RA merupakan perempuan yang paling berjasa merentas jalan hidayah  bagi kaumnya.

8. Pernikahan dengan Zainab Binti Jahsy

Rasulullah SAW bernikah dengan Zainab Binti Jahsy, anak perempuan dari ibu saudara Rasulullah SAW sendiri. Pernikahan ini bersalngsung setelah Zainab RA diceraikan sendiri oleh Zaid Bin Harithah RA yang merupakan anak angkat Rasulullah SAW. Allah SWT telah mengabdikan kisah pernikahan ini di dalam al-Quran. Diantara hikmah yang terkandung dalam pernikahan ini adalah untuk membatalkan adat masyarakat jahiliyyah yang menganggap isteri kepada anak angkat tidak boleh dinikahi walaupun telah diceraikan.

9. Pernikahan dengan Ummu Habibah

Nama sebenar Ummu Habibah RA adalah Ramlah Binti Abu Sufyan yang disunting oleh Rasullah SAW setelah suaminya murtad dari agama Islam. Mereka tinggal di Habsyah. Kemudian Rasulullah SAW meminta Raja an-Najasyi sebagai penguasa Habsyah untuk melamarnya. Tujuan utama pernikahan ini adalah memberikan perlindungan terhadap wanita mukmin yang suaminya menjadi murtad. Sementara itu, ayahnya sendiri merupakan pemimpin pasukan Quraisy dalam memerangi umat Islam.

10. Pernikahan Shafiyyah

Shafiyyah adalah tawanan perang yang ditawan oleh paskan Islam ketika peperangan melawan Yahudi di Khaibar. Rasulullah SAW menawarkannya dua pilihan kepadanya samaada masuk Islam atau menjadi hamba. Kemudian Shafiyyah memilih untuk masuk Islam. Rasulullah SAW pun menikahinya. Shafiyyah RA adalah anak pemimpin Yahudi yang sangat terhormat. Disebabkan kehormatannya, para sahabat berpendapat bahawa tidak ada yang layak menikahinya kecuali Rasulullah SAW. Disebabkan pernikahan ini umat Islam memiliki hubungan erat dengan bangsa Yahudi ketika itu.

11. Pernikahan dengan Maimunah

Maimunah Binti al-Harith al-Hilaliyyah adalah seorang janda yang sangat terkenal dengan ketaatannya, rajin solat, takwa dan sangat memlihara hubungan silaturrahim. Rasulullah SAW datang menyenangkan hatinya dengan menyuntingnya sekaligus supaya kaumnya tertarik untuk memeluk Islam.


Hikmah Dan Tujuan Pernikahan Rasulullah SAW

Pernikahan yang dilangsungkan oleh Rasulullah SAW ini mempunyai hikmah dan tujuan yang mulia. Ibnu Hajar di dalam kitab Fathul Bari menyimpulkan hikmah dan tujuan tersebut seperti berikut:

1. Memperbanyakkan saksi kehidupan peribadi Rasulullah SAW. Dengan demikian, tuduhan-tuduhan serong yang ditujukan oleh orang-orang musyrik kepada Rasulullah SAW seperti ahli-ahli sihir dan sebagainya dapat dipatahkan.

2. Mengangkat darjat dan martabat suku-suku yang menjadi mertua Rasulullah SAW.

3. Mengeratkan hubungan dengan suku-suku tersebut.

4. Memperluaskan ikatan persaudaraan sehingga para pengikut dan orang-orang yang membantu perjuangan Rasulullah SAW makin bertambah.

5. Menukar hukum-hakam fiqh yang sebelumnya dianggap tabu atau larangan untuk diketahui oleh kaum lelaki kerana selama ini, segala permasalahan yang berhubung dengan isteri selalunya disembunyikan dari umum.

6. Pernikahan ini juga menunjukkan keindahan budi pekerti yang dimiliki oleh Rasulullah SAW, sebagai contoh pernikahan Rasulullah dengan Ummu Habibah RA sedangkan ketika itu orang tua Ummu Habibah merupakan musuh Rasulullah SAW. Begitu juga pernikahan dengan Shafiyyah RA sedangkan ayah, bapa saudara dan suaminya mati dibunuh oleh pasukan Islam. Jika bukan kerana akhlak Rasulullah SAW yang sempurna tentu para wanita ini akan menimpan kebencian kepadanya. Sebaliknya Rasulullah SAW sendiri lebih mereka cintai daripada keluarga mereka sendiri.



Rujukan

1. Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Bari Syarah Sahih al-Bukhari, 1379, Beirut – Lubnan, Darul Ma’rifah, Jil. 9 hlm. 115
2. Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaad al-Ma’ad fi Hadyi Khairil I’bad, Tahqiq; Syu’ibal-Arnouth dan Abdul Qadir al-Arnouth, 2014, Beirut – Lubnan, Muassasah ar-Risalah, Cet. 1, Jil. 1, hlm. 101
3. Hasan Bin Ahmad Hasan Hamam, The Great Husband; Muhammad SAW, 2014, Selangor, Humaira Bookstore, Cet. 2, hlm. 25



Isteri-Isteri Rasulullah SAW dan Tujuan Pernikahannya

Read More

Selasa, Ogos 18, 2015

Sudah rancang pernikahan anda? 
Cuba lihat jadual berikut.
Perincian:
1. Ideal
Umur ideal untuk nikah dan berpotensi melahirkan anak untuk pasangan yang sihat kerana kesuburan yang berpotensi. Wanita pula berkeadaan paling subur pada usia di antara umur 20 - 24 tahun dan berpotensi untuk melahirkan anak yang sihat. Manakala lelaki pula mempunyai kesuburan yang baik pada umur pertengahan 20-an.
Akan tetapi diperingkat ini merupakan peringkat untuk mula masuk ke medan kerjaya serta taraf ekonomi yang masih rendah.
2. Baik
Pada usia ini juga masih mempunyai tahap kesuburan yang baik dan keadaan ekonomi peribadi dan individu yang mula kukuh. Bahkan bagi perempuan berusia awal 30-an yang fokus kerjaya mempunyai karier dan kerjaya tersendiri. Namun peringkat kesuburan mula menurun.
3. Waspada
Merupakan peringkat umur berwaspada bagi lelaki dan perempuan yang masih belum berkahwin terutamanya perempuan walaupun diperingkat ini, ekonomi peribadi semakin kukuh. Kesuburan juga mula turun dengan drastik selepas umur 35 tahun.
4. Berisiko
Bagi individu yang baru mendirikan rumahtangga peringkat ini, akan berisiko untuk menghasilkan zuriat. Potensi untuk hamil berkurangan sekiranya baru memulakan alam rumah tangga diakhir 30-an. Namun, masih punya harapan dan peluang.
5. Berisiko keabnormalan
Sebagai pasangan tua, perlu sedar bahawa risiko keabnomalan genetik terjadi pada usia ini.
Sila rujuk pakar dan sumber yang lebih lanjut untuk lebih banyak perincian dan ketepatan.
P/S: Walau bila anda bernikah, semoga ianya jodoh dan aturan yang terbaik dari Allah S.W.T. Bagi yang masih belum bertemu jodoh, moga terus berusaha dan dipertemukan yang terbaik.
“Dan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.” [An-Nur : 26]

*Jadual tersebut dibuat berdasarkan analisis kesuburan lelaki dan wanita serta taraf ekonomi dan pendidikan. Justeru ia mungkin berbeza bagi setiap orang. 
**Peringkat dan tahapan bagi kelahiran anak disusun secara purata. Justeru ia juga mungkin berubah.

Jadual Pernikahan dan Sudut Pandang Masa Depan

Read More

Selasa, Ogos 04, 2015

Kedudukan anak-anak dalam Islam

Anak-anak merupakan anugerah serta rezeki kurniaan Allah SWT kepada pasangan suami isteri yang secara fitrahnya berhajat dan sentiasa mengharapkan kurniaan ini. Fitrah ini wujud di kalangan muslim mahupun bukan muslim. Bagaimanapun ibu bapa muslim sangat dituntut untuk mengetahui dan memahami nilai kurniaan Allah SWT ini. Ketidakfahaman dalam perkara ini menyebabkan ibu bapa tidak dapat melaksanakan peranan dan tanggung-jawab mereka, malah mungkin tidak menunaikan hak anak-anak seperti memberi kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya.

Allah SWT berfirman di dalam Surah Asy-Syura, ayat 49-50 yang bermaksud:

“Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada sesiapa  yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul  siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”

Oleh itu kita wajib menyambutnya dengan penuh kesyukuran kerana nikmat Allah SWT ini boleh menghiasi rumah tangga dan menenteramkannya.

“Dan orang-orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami).” (Surah al Furqan: 74)

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud:

“Ya Rabbi, kurniakan aku seorang anak yang baik di sisi Engkau. (Surah Ali Imran: 38)“Anugerahkan aku seorang putera, yang akan mewarisi sebahagian keluarga Ya’kub.” (Surah Maryam : 5-6)

Kedua-dua ayat di atas merakamkan doa Nabi Zakaria yang berhajat kepada anak untuk meneruskan kewajipan dakwah yang dipikulnya.

Menurut Akhlaq Hussain, “Anak-anak yang saleh menjadi sumber sedekah jariah bagi ibu bapa....” Inipun sekiranya anak-anak tersebut dididik dengan sempurna sehingga menjadi mukmin yang sebenar kerana hanya anak-anak  sebegini membolehkan ibu bapa memperolehi sedekah jariah yang dikatakannya.


Apakah hak-hak anak ke atas bapa dan ibunya?

Rasulullah SAW telah bersabda di dalam beebrapa hadith sahih yang maksudnya

“Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila sudah cukup umur dan mengajarnya al- Quran”
(Riwayat Al-Hakin dan Ad-Dailami)

“Pendidikan yang diberikan seseorang kepadanya lebih baik baginya daripada bersedekah satu sha(nilai mata wang)”

“Tidak ada suatu pemberian yang lebih baik daripada seorang ayah kepada anaknya daripada budi pekerti yang baik.” (H.R. Tirmidzi)

Selain itu anak-anak juga berhak untuk mendapat perhatian dan memperolehi kasih sayang ibu bapanya. Akhlaq Hussain menulis, “Seandainya ibu bapa tidak melayani anak-anak mereka dengan kasih sayang bagaimanakah mereka mengharapkan anak mereka  berkelakuan baik kepada mereka?”

Salah satu peranan terpenting di dalam kehidupan ibu dan  bapa  adalah menjaga amanah Allah SWT dengan sebaiknya. Anak-anak adalah antara amanah yang utama.

Rasulullah SAW telah bersabda, yang maksudnya: (“.......dan setiap suami adalah pemimpin bagi keluarganya. Ia akan diminta pertanggungjawabannya dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah dan anak suaminya, dan ia akan diminta pertanggungjawabannya.”)

Oleh itu mendidik anak-anak  menjadi soleh adalah satu tanggungjawab diniyah. Kegagalan mendididk mereka akan membawa akibat yang berat di akhirat. Allah SWT telah memperingatkan perkara ini di dalam Surah at-Tahrim, ayat 6 yang bermaksudnya :

“Wahai orang-orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka”


Tamaiyuz (perbezaan) di dalam matlamat dan perjalanan hidup pendakwah

Salah satu perkara penting yang perlu difahami dan disedari ialah terdapat  perbezaan yang ketara (tamaiyuz) di antara pendakwah dan anggota harakah Islam dengan anggota masyarakat yang lain. Perbezaan ini adalah dari segi matlamat dan perjalanan hidup kita. Kita menyedari bahawa Allah telah memerintahkan kita supaya menjadikan diri sebagai manusia Rabbani.

Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Ali Imran ayat 79 yang bermaksudnya:

“...Hendaklah kamu menjadi manusia-manusia rabbani”

Rabbani bermaksud kita memiliki ciri-ciri Rabbaniyah yang dikehendaki Allah SWT, sama ada di dalam diri atau dalam perjalanan hidup kita. Oleh itu kita mestilah bersifat Rabbani dari sudut ghoyah(matlamat) dan wijhah(haluan) mahupun masdar(sumber) dan manhaj(sistem). Dengan itu sudah pasti kita berbeza besar daripada masyarakat, dari sudut matlamat pendidikan anak-anak dan juga metode (kaedah) mendidik mereka.

Seorang sarjana pendidikan, Dr. Abdul Rahman Salih telah menulis: “.....setiap masyarakat mempunyai matlamat-matlamat tertinggi (idealisma) di dalam kehidupan mereka, dan masyarakat itu akan berusaha untuk menghantar anak-anak masyarakatnya kepada matlamat-matlamat tersebut. Setiap masyarakat juga mempunyai jalan-jalan atau metod-metod pendidikan untuk menyampaikan masyarakat tersebut kepada matlamat-matlamat mereka. Oleh itu apabila satu-satu masyarakat mengikuti atau meniru jalan-jalan dan metod-metod pendidikan satu masyarakat yang lain, mereka dengan sendiri telah mengambil idealisma atau hajat tertinggi masyarakat yang diikuti atau yang ditiru.” Oleh demikian dalam melaksanakan tuntutan mendidik anak-anak, kita mestilah berwaspada supaya tidak tergelincir daripada landasan pendidikan yang disyariatkan oleh Allah SWT dan yang diterjemahkan di dalam kehidupan  Rasulullah SAW.

Sepertimana yang dijelaskan, kita mempunyai ghoyah (matlamat tertinggi) dan hadaf (matlamat dekat) yang lebih tinggi dan lebih mulia. Ini melahirkan tamaiyuz dengan masyarakat. Kita adalah anggota harakah Islam yang mempunyai matlamat hidup membangunkan sistem   Allah. Kita menjadikan tujuan hidup kita untuk menegakkan syariat Allah. Natijah daripada kesedaran ini adalah menjadikan seluruh kehidupan kita sebagai ibadah. Dengan semua aktiviti hidup kita adalah untuk mencapai matlamat yang suci ini. Oleh itu pembinaan diri kita sebagai mukmin(fardi muslim) yang ikhlas berjihad dan pembangunan baitul muslim (keluarga muslim) adalah untuk matlamat tersebut. Kelahiran serta pendidikan anak-anak kita adalah untuk matlamat ini.


Anak-anak adalah generasi pewaris dakwah

Di samping mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh, mereka perlu diproses dengan rapi agar bersedia  memikul dan melaksanakan tanggung-jawab dakwah dan jihad. Anak-anak kita adalah pewaris perjuangan yang sedang kita laksanakan hari ini. Mereka akan dipertanggungjawabkan untuk meneruskan perjuangan suci dengan lebih berkesan kerana kesedaran yang telah ada di dalam hati kita. Di atas hajat ini juga Allah menyebutkan doa nabi Zakaria di dalam Surah Maryam, ayat 5 yang maksudnya:

“Anugerahkanlah aku seorang putera, yang akan mewarisi sebahagian keluarga Ya’kub.”

Oleh itu kita perlu bertanya kepada  diri kita secara serius, adakah kita peka atau prihatin dengan tanggungjawab mendidik anak-anak kita? Kita perlu melihat anak-anak kita sebagai mad’u (orang yang diseru) yang perlu dibentuk melalui satu proses tarbiyah, iaitu proses penyucian diri, pembentukan kefahaman, kesedaran dan  pembinaan syakhsiyah.


Pendidikan bagaimana yang dituntut untuk dilaksanakan?

Di dalam al-Quran Surah al-Ahzab, ayat 36 Allah SWT telah berfirman yang maksudnya:

“Tidaklah patut bagi setiap mukminin dan mukminat apabila Allah dan Rasul-Nya telah memutuskan sesuatu, ada bagi mereka pilihan lain tentang urusan mereka.”

Oleh itu kita dituntut untuk mendidik anak-anak melalui proses tarbiyah Islamiyah sama ada dari segi manhaj, ghoyah, hadaf  serta natijahnya. Tarbiyah Islamiyah mempunyai manhajnya yang tersendiri dan teristimewa  kerana manhaj ini datang daripada Allah SWT, Allah yang berteraskan tauhid. Seluruh kehidupan untuk  berubudiyah kepada Allah SWT semata-mata. 

Satu lagi yang dituntut ke atas diri kita adalah ibu bapa sendiri; perlu melalui pendidikan ini terlebih dahulu dengan keikhlasan, kesungguhan serta penyerahan supaya kita terlebih dahulu menjadi manusia Rabbani. Ini kerana salah satu prasyarat keberkesanan tarbiyah adalah contoh teladan. 

PENDIDIKAN ANAK-ANAK: Tuntutan Dan Tanggungjawab

Read More

Isnin, Ogos 26, 2013


Ciri-ciri Pasangan Untuk Calon Isteri/Suami Menurut Islam

❶ Beragama.
Bermaksud, seorang yang melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.

❷ Seorang yang lembut dan penyayang.
Bermaksud, tidak bersikap marah tidak bertempat, dan mengasihi orang sekelilingnya.

❸ Rasa senang apabila dipandang.
Bermaksud, hati merasa gembira apabila melihatnya.

❹ Seorang yang subur warisnya.
Bermaksud, dia tiada masalah mandul atau sebagainya. Keluarganya pula dari kalangan yang ada anak ramai-ramai.

❺ Sangat baik jika berkumpul antara sifat berikut, (Beragama, cantik, keturunan baik, dan berharta).


Telah bersabda Rasulullah s.a.w:


 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَات الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

“Daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu, daripada Nabi S.A.W telah bersabda: Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya niscaya engkau beruntung.” 

Diriwayatkan oleh al-Bukhari (3/242), Muslim (2/1086), Abu Dawud (2047), an—Nasaa’i (6/68) dan Ibnu Majah (1858)


Ciri-Ciri Pasangan Untuk Calon Isteri/Suami Menurut Islam

Read More

Ahad, Mei 12, 2013



Ketika kita mandi, tangan ibu yang meratakan air ke seluruh badan, membersihkan segala kotoran. Ketika kita dilanda masalah, tangan ibu yang membelai duka sambil berkata, "Sabar nak, sabar ya sayang."

NAMUN,

Ketika ibu sudah tua dan kelaparan, tiada tangan dari anak yang menyuapi. Dengan tangan yang gemetar, ibu menyuapkan sendiri makanan ke mulutnya dengan linangan air mata. Ketika ibu sakit, dimana tangan anak yang ibu harapkan dapat merawat ibu yang sedang sakit?

Ketika nyawa ibu terpisah dari jasad. Ketika jenazah ibu hendak dimandikan, dimana tangan anak yang ibu harapkan untuk menyirami jenazah ibu untuk terakhir kali.
Tangan ibu, tangan ajaib. Sentuhan ibu, sentuhan kasih yang dapat membawa ke Surga Firdaus.


Anak yang soleh bukan hanya mengucapkan Hari Ibu setiap tahun. Tetapi menitip dalam doanya setiap hari.


Kita dan Ibu,

Tanpa Ibu tiadalah kita. Tanpa kita ibu tetap ada.



Khas buatmu Ibu. 

Kita dan Ibu : Siapa kita jika tanpa Ibu?

Read More

Jumaat, Disember 28, 2012



1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa.

2. Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

3. Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.

4. Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.

5. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan unutk berbual dengan isteri setiap hari ?

6. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.

7. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.

8. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

9. Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.

10. Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

11. Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan menbahagiakan pasangan anda.

12. Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin. Amalan bermesyuarat menarik hidayat Tuhan,mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.

13. Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan Penampilan diri sendiri. Mana adil ?

14. Didik isteri dengan memberi nasihat dan perigatan secara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakan cakap tak serupa bikin.

15. Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumah tangga terancam.

16. Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan dan kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera

17. Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.

18. Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan.

19. Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang menbeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami yang memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana ?

20. Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.

21. Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.

22. Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur, tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.

23. Gunakan Nabi Muhammad sebagai model. Hidupkan amalan sunah dalam rumah tangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.

24. Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.

25. Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang.
Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.

26. Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga,tidak pernah sensara serta berteraskan iman dan takwa.

27. Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.

28. Pamer keprihatian yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut berikan kepada keluarga.

29. Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar, waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.

30. Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja.Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.

31. Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad amat pemalu, pemaaf, peka,endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita.

32. Mahir dalam menguruskan keluarga. Peka dengan masalah dan karenah ahli keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan memilih penyelesaian yang optimum.

33. Membaiki diri secara berterusan. Tingkatkan iman dan takwa, cuci hati dengan sembahyang taubat, istighfar,memaafkan dan minta maaf, berkawan dengan orang yang baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan dan tindakan.

34. Jadi contoh atau model terbaik untuk keluarga. Doa dan usaha supaya setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga. Apakah sifat dan amal anda yang dapat dicontohi oleh ahli keluarga ?

35. Jadikan diri anda pendorong dan motivator berkesan unutk keluarga. Sentiasa beri galakan dan belaian. Elak marah, kritik ataupun hina keluarga. Fikir positif dan bersangka baik terhadap keluarga.

36 Tingkatkan ilmu berkenaan agama. Lazimnya, suami yang mendidik keluarga berkenaan agama. Belajarlahilmu agama dengan niat mendidik diri dan keluarga.

37. Sentiasa menegakkan kebenaran. Tegas menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah.

38. Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi. Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak.

39. Latih diri memuji dan menghargai isteri. Ramai suami yang pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji.

40. Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Ini termasuk senyum, lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah.

41. Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami. Suami pula berjauhan dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel unutk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu.

42. Bentuk kerjasama yang mantap dengan isteri. Pamer kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melalui mesyuarat, berbual, tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyak berdoa.

43. Nilai diri daripada kaca mata isteri. Buang sifat dan amalan yang isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia.

44. Apabila suami melayan isteri seperti mana dia melayan kawan, pasti isteri bahagia. Bayangkan cara anda melayan isteri sebelum kahwin. Ulangi layanan itu sekarang. Pasti hebat kesannya.

45. Suami wajar belajar jadi mengikut setia. Patuhi cadangan, Pandangan dan pandapat isteri yang betul. Jangan bangkang perkara yang baik. Kawal macho dengan saksama.

46. Buat undang-undang dalam rumah tangga. Apabila suami marah, isteri mesti senyap. Apabila isteri marah,suami mesti senyap. Ini mengelakkan daripada bergaduh. Orang tidak boleh bergaduh sendirian.

47. Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri. Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati.

48. Pimpin isteri dengan nasihat dan kasih sayang. Pesan selalu dan nasihat sekali-sekala. Waktu terbaik nasihat adalah semasa rehat, minum petang, waktu bersiar-siar dan semasa hendak tidur.

49. Seimbangkan hidup dengan sempurna. Rajin di tempat kerja, Rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan, peramah juga dengan isteri. Disiplin di pejabat, disiplin juga di rumah. Sabar dengan orang, sabar juga dengan isteri. Di luar dan di dalam rumah serupa.

50. Urus stress dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas, lakukan riaadah, berdiet, hentikan merokok,bercampur dengan orang positif, bermain dengan bayi, tengok ikan di akuarium, menyanyi, sembahyang taubat dan maafkan semua orang.

50 Tips Terbaik Membina Keluarga Bahagia

Read More

Isnin, Mac 26, 2012

Pengalaman saya berpraktikal di pejabat agama dan mehkamah Syariah banyak membuka mata saya terhadap rumah tangga. Lebih-lebih lagi antara kes yang hadir ke mahkamah adalah untuk menuntut tuntutan cerai dan nafkah. Dan lebih menyedihkan lagi, majoriti yang membuat tuntutan adalah mereka yang baru mendirikan rumah tangga.  “read more” 

Mungkin saya bukan lah orang yang sesuai untuk membicarakan tentang rumah tangga kerana status saya yang masih bujang, namun suka saya untuk memberi pandangan dari sisi yang punya ayah dan ibu, kakak dan abang yang sudah berumah tangga. Pernah saya menyertai sesi kaunseling terhadap pasangan yang kerap kali bergaduh dan ingin bercerai. hanya gara-gara tugasan rumah dan tekanan perasaan.

Berikut bukanlah dialog kami semasa sesi kaunseling tersebut, tapi amat wajar untuk direnungi buat semua pasangan dalam bertoleransi dan bertolak ansur.

Semoga bermanfaat.


DIA TIDAK BEKERJA?

 Buat suami-suami yang bekerja di luar sana dan isteri berada di rumah:

Ustaz Hafiz : Apakah pekerjaan Encik Rosli?

 Encik Rosli : Saya bekerja sebagai Akauntan di sebuah Bank.

Ustaz Hafiz : Halimah pula?

Encik
Rosli : Dia tidak bekerja. Hanya suri rumah sahaja.

Ustaz Hafiz : Tiap-tiap pagi siapa yang sediakan sarapan pagi?

Encik Zainal : Halimah yang sediakan sebab dia tak kerja.

Ustaz Hafiz : Pukul berapa Halimah bangun untuk sediakan sarapan?

Encik
Rosli : Pukul 5 pagi dia bangun kerana saya akan keluar bekerja pada pukul 6.30 pagi.

Ustaz Hafiz : Anak-anak encik Rosli ke sekolah bagaimana?

Encik
Rosli : Halimah yang hantar sebab dia tidak bekerja.

Ustaz Hafiz : Selepas hantar anak-anak, Halimah buat apa?

Encik Zainal : Pergi ke pasar, kemudian balik rumah untuk memasak dan kemas rumah. Halimah kan tak bekerja.

Ustaz Hafiz : Petang hari selepas Encik Rosli balik rumah, apa yang Encik Rosli lakukan?

Encik
Rosli : Balik berehat, kerana seharian saya penat bekerja.

Ustaz Hafiz : Apa Halimah buat?

Encik
Rosli
: Sediakan makanan, melayan anak, mengemas dan dia juga mengambil upah menjahit.

Dia menjahit sehingga lewat malam kerana dia tidak bekerja.

Toleransi Dalam Rumahtangga

Read More