Memaparkan catatan dengan label Sirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sirah. Papar semua catatan

Isnin, Disember 07, 2015

Sirah Rasulullah SAW mencatatkan bahawa Rasulullah SAW menjalani kehidupan bersama sebelas orang isteri. Dua daripadanya meninggal sebelum Rasulullah SAW, iaitu Khadijah dan Zainab. Manakala sembilan orang lagi menjadi janda setelah Rasulullah SAW wafat. Rasulullah SAW menikahi isteri pertamanya, Khadijah ketika berusia 25 tahun dan hidup bersama hingga kewafatan Khadijah pada tahun ketiga sebelum hijrah. Maka, selepas itu bermulalah perjalanan hidup Rasulullah SAW berpoligami dengan isteri-isterinya.

Ijamak ulama’ menyatakan, Rasulullah SAW diizinkan memiliki lebih dari empat orang isteri. Perkara ini tidak berlaku bagi rasul-rasul yang lain dan akan dijelaskan tentang tujuan dan hikmah berkenaan pernikahan tersebut.

“Dan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.” [An-Nur : 26]


Pernikahan Rasulullah SAW

1. Pernikahan dengan Khadijah Binti Khuwailid RA

Merupakan isteri pertama Rasulullah. Ketika memperisterikannya, Rasulullah SAW berumur 25 tahun dan Khadijah berumur 40 tahun. Pernikahan ini berlangsung sebelum Rasulullah SAW menerima wahyu dan tugasan kerasulan.

Khadijah merupakan wanita pertama yang beriman kepada Rasulullah SAW. Sebagai seorang wanita kaya, Khadijah menjadi tonggak perjuangan Rasulullah SAW. Beliau meninggal pada usia 70 tahun ketika Rasulullah SAW mencecah umur 53 tahun. Beliau juga merupakan satu-satu isteri yang tidak pernah dimadukan selama tempoh umur Rasulullah  SAW menjadi suaminya. Semoga Allah SWT meredhainya.

2. Pernikahan dengan Saudah binti Zama’ah RA

Saudah binti Zama’ah merupakan seorang janda yang disunting Rasulullah SAW dalam usia lebih kurang 50 tahun. Pernikahan dengan Saudah mempunyai motif yang mulia, iaitu melindunginya setelah suaminya meninggal dunia sekaligus memberikan nya perlindungan dari keluarganya yang berkelakuan kasar setelah dia memeluk Islam.

3. Pernikahan dengan A’isyah binti Abu Bakar

Pernikahan Rasulullah SAW dengan as-Siddiqah (perempuan jujur), A’isyah puteri Abu Bakar as-Siddiq berlangsung atas dasar wahyu dari Allah SWT. Hikmah pernikahan ini antara lain untuk memberikan penghargaan kepada Abu Bakar RA dan mengangkat darjatnya dengan menjadi mertua Rasulullah SAW. Di samping itu, pernikahan ini bertujuan bagi membantah kaum jahiliyyah yang menjadikan persaudaraan kekerabatan bagaikan persaudaraan nasab. A’isyah RA merupakan satu-satunya isteri Rasulullah SAW yang masih dara.

4. Pernikahan dengan Hafsah Binti Umar

Rasulullah SAW menyunting Hafsah Binti Umar RA yang menjanda beberapa hari setelah suaminya gugur sebagai syahid di perang Badar. Sebelum menyunting, Umar (ayahnya) pernah menawarkan kepada Abu Bakar RA. Tetapi Abu Bakar RA tidak bersedia. Lalu ditawarkan kepada Uthman RA dan dia juga tidak bersedia. Kemudian Rasulullah SAW meminangnya untuk mengubati kesedihannya sekaligus mengangkat martabat ayahnya, Umar Bin Khattab RA.

5. Pernikahan dengan Zainab Binti Khuzaimah

Setelah tiga kali bersuami, Zainab Binti Khuzaimah al-Hilaliyyah RA disunting oleh Rasulullah SAW. Pernikahan ini adalah sebagai penglipur lara, penawar duka atas penderitaan yang dialaminya sekaligus sebagai penghargaan atas keluhuran peribadinya yang sangat memahami terhadap orang-orang miskin.

6. Pernikahan dengan Ummu Salamah

Ummu Salamah RA adalah seorang janda yang memiliki empat orang anak tanpa seorang pun yang melindungi mereka. Kemudian Rasulullah SAW menyuntingnya demi meringankan beban hidupnya sekaligus menjadi bapa bagi anak-anaknya yang yatim.

7. Perkahwinan dengan Juwairiyyah

Juwairiyyah Binti al-Harith RA adalah hamba perempuan yang mendapat penghormatan menjadi isteri Rasulullah SAW setelah Rasulullah membebaskannya. Pernikahan ini membuatkan keluarganya bersimpati dan tertarik untuk memeluk agama Islam. Tak dinafikan, Juwairiyyah RA merupakan perempuan yang paling berjasa merentas jalan hidayah  bagi kaumnya.

8. Pernikahan dengan Zainab Binti Jahsy

Rasulullah SAW bernikah dengan Zainab Binti Jahsy, anak perempuan dari ibu saudara Rasulullah SAW sendiri. Pernikahan ini bersalngsung setelah Zainab RA diceraikan sendiri oleh Zaid Bin Harithah RA yang merupakan anak angkat Rasulullah SAW. Allah SWT telah mengabdikan kisah pernikahan ini di dalam al-Quran. Diantara hikmah yang terkandung dalam pernikahan ini adalah untuk membatalkan adat masyarakat jahiliyyah yang menganggap isteri kepada anak angkat tidak boleh dinikahi walaupun telah diceraikan.

9. Pernikahan dengan Ummu Habibah

Nama sebenar Ummu Habibah RA adalah Ramlah Binti Abu Sufyan yang disunting oleh Rasullah SAW setelah suaminya murtad dari agama Islam. Mereka tinggal di Habsyah. Kemudian Rasulullah SAW meminta Raja an-Najasyi sebagai penguasa Habsyah untuk melamarnya. Tujuan utama pernikahan ini adalah memberikan perlindungan terhadap wanita mukmin yang suaminya menjadi murtad. Sementara itu, ayahnya sendiri merupakan pemimpin pasukan Quraisy dalam memerangi umat Islam.

10. Pernikahan Shafiyyah

Shafiyyah adalah tawanan perang yang ditawan oleh paskan Islam ketika peperangan melawan Yahudi di Khaibar. Rasulullah SAW menawarkannya dua pilihan kepadanya samaada masuk Islam atau menjadi hamba. Kemudian Shafiyyah memilih untuk masuk Islam. Rasulullah SAW pun menikahinya. Shafiyyah RA adalah anak pemimpin Yahudi yang sangat terhormat. Disebabkan kehormatannya, para sahabat berpendapat bahawa tidak ada yang layak menikahinya kecuali Rasulullah SAW. Disebabkan pernikahan ini umat Islam memiliki hubungan erat dengan bangsa Yahudi ketika itu.

11. Pernikahan dengan Maimunah

Maimunah Binti al-Harith al-Hilaliyyah adalah seorang janda yang sangat terkenal dengan ketaatannya, rajin solat, takwa dan sangat memlihara hubungan silaturrahim. Rasulullah SAW datang menyenangkan hatinya dengan menyuntingnya sekaligus supaya kaumnya tertarik untuk memeluk Islam.


Hikmah Dan Tujuan Pernikahan Rasulullah SAW

Pernikahan yang dilangsungkan oleh Rasulullah SAW ini mempunyai hikmah dan tujuan yang mulia. Ibnu Hajar di dalam kitab Fathul Bari menyimpulkan hikmah dan tujuan tersebut seperti berikut:

1. Memperbanyakkan saksi kehidupan peribadi Rasulullah SAW. Dengan demikian, tuduhan-tuduhan serong yang ditujukan oleh orang-orang musyrik kepada Rasulullah SAW seperti ahli-ahli sihir dan sebagainya dapat dipatahkan.

2. Mengangkat darjat dan martabat suku-suku yang menjadi mertua Rasulullah SAW.

3. Mengeratkan hubungan dengan suku-suku tersebut.

4. Memperluaskan ikatan persaudaraan sehingga para pengikut dan orang-orang yang membantu perjuangan Rasulullah SAW makin bertambah.

5. Menukar hukum-hakam fiqh yang sebelumnya dianggap tabu atau larangan untuk diketahui oleh kaum lelaki kerana selama ini, segala permasalahan yang berhubung dengan isteri selalunya disembunyikan dari umum.

6. Pernikahan ini juga menunjukkan keindahan budi pekerti yang dimiliki oleh Rasulullah SAW, sebagai contoh pernikahan Rasulullah dengan Ummu Habibah RA sedangkan ketika itu orang tua Ummu Habibah merupakan musuh Rasulullah SAW. Begitu juga pernikahan dengan Shafiyyah RA sedangkan ayah, bapa saudara dan suaminya mati dibunuh oleh pasukan Islam. Jika bukan kerana akhlak Rasulullah SAW yang sempurna tentu para wanita ini akan menimpan kebencian kepadanya. Sebaliknya Rasulullah SAW sendiri lebih mereka cintai daripada keluarga mereka sendiri.



Rujukan

1. Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Bari Syarah Sahih al-Bukhari, 1379, Beirut – Lubnan, Darul Ma’rifah, Jil. 9 hlm. 115
2. Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaad al-Ma’ad fi Hadyi Khairil I’bad, Tahqiq; Syu’ibal-Arnouth dan Abdul Qadir al-Arnouth, 2014, Beirut – Lubnan, Muassasah ar-Risalah, Cet. 1, Jil. 1, hlm. 101
3. Hasan Bin Ahmad Hasan Hamam, The Great Husband; Muhammad SAW, 2014, Selangor, Humaira Bookstore, Cet. 2, hlm. 25



Isteri-Isteri Rasulullah SAW dan Tujuan Pernikahannya

Read More

Khamis, Ogos 13, 2015


Muqaddimah

Nabi Adam A.S adalah Bapa Manusia yang merupakan manusia pertama yang diciptakan Allah SWT dan tinggal di syurga dalam beberapa tempoh sebelum diturunkan ke dunia selepas memakan buah dari pokok yang dilarang.

Nama Adam disebut sebanyak 25 kali didalam Al-Quran di pelbagai surah yang menjelaskan kisah-kisah bermula dari penciptaannya dari tanah sebagai penciptaan manusia pertama hinggalah kepada kisah pergaduhan anak-anaknya. Di dalam hadith Rasulullah disebut juga beberapa kisah tentang Nabi Adam A.S antaranya ketika perbualan Adam dan Musa A.S.


Proses Penciptaan Adam A.S

1. Peringkat Pertama: Dicipta dari pelbagai jenis tanah bumi (تراب)

Firman Allah SWT:
 اِنَّ مَثَلَ عِيسَى عِنْدَ اللَّهِ كَمَثَلِ ءادَمَ خَلَقَهُ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ قَالَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ  [59]

"Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: Jadilah engkau! maka menjadilah ia." (Ali 'Imran : 59)

Maksud tanah didalam ayat tersebut dijelaskan oleh Rasulullah SAW:

(عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى خَلَقَ آدَمَ مِنْ قَبْضَةٍ قَبَضَهَا مِنْ جَمِيعِ الأرْضِ فَجَاءَ بَنُو آدَمَ عَلَى قَدْرِ الْأَرْضِ فَجَاءَ مِنْهُمْ الْأَحْمَرُ وَالْأَبْيَضُ وَالْأَسْوَدُ وَبَيْنَ ذَلِكَ وَالسَّهْلُ وَالْحَزْنُ وَالْخَبِيثُ وَالطَّيِّبُ)

Maksudnya: "Dari Abu Musa al-Asya'ari RA, dari Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah menciptakan Adam dari genggaman yang di ambil dari seluruh bumi, lalu anak keturunan Adam datang sesuai dengan kadar (tanah), di antara mereka ada yang (berkulit) merah, putih dan hitam. Dan diantaranya pula ada yang ramah, sedih, keji dan baik." [HR At-Tirmidhi. No. Hadith 2879]

Terdapat rahsia yang tersirat dari penciptaan manusia yang pelbagai warna dan sifat kerana kepelbagaian penciptaan Adam dari pelbagai jenis tanah dunia. Maka dengan itu, lahirlah manusia yang mempunyai perbezaan rupa kulit, sifat dan tabiat semula jadi, dan pelbagai lagi sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW.

2. Peringkat Kedua: Dicipta dari tanah liat  (طين)

Peringkat seterusnya selepas diciptakan dari pelbagai jenis tanah dunia, maka tanah tersebut di campurkan dengan air hingga menjadi tanah liat (طين) sebagaimana firman Allah:

إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِنْ طِينٍ [71]

"(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah." (Şād : 71)

Proses ini boleh diumpamakan seperti pelbagai jenis tepung yang di adun dalam satu bekas. Kemudian tepung tersebut ditambahkan dengan air hingga menjadikan tepung tersebut menjadi pejal. Dengan sebab penciptaan Adam AS yang melalui proses inilah, maka iblis ingkar untuk bersujud kepadanya kerana merasakan penciptaan iblis dari api yang hitam lebih baik dari penciptaan Adam AS dari tanah yang dicampur dengan air sebagaimana di firmankan oleh Allah SWT:

 [12] قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ

"Allah berfirman: "Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?" Menjawab iblis "Saya lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan saya dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah." (Al-'A`rāf : 12)
 
Maka berlakulah pengingkaran pertama oleh makhluk ciptaan Allah SWT dan iblis dilaknat selamanya.


3. Peringkat Ketiga: Dicipta dari tanah liat yang pekat (طين لازب)

Setelah pelbagai jenis tanah tadi dicampur dengan air, dalam beberapa tempoh selepas itu terhasillah tanah liat yang pekat (طين لازب) yang menjadikan ia sebagai peringkat ketiga penciptaan Adam yang menjadikan ia kukuh.

Firman Allah SWT:
[11] فَاسْتَفْتِهِمْ أَهُمْ أَشَدُّ خَلْقًا أَمْ مَنْ خَلَقْنَا ۚ إِنَّا خَلَقْنَاهُمْ مِنْ طِينٍ لَازِبٍ

"Maka tanyakanlah kepada mereka (musyrik Mekah): "Apakah mereka yang lebih kukuh kejadiannya ataukah apa yang telah Kami ciptakan itu?" Sesungguhnya Kami telah menciptakan mereka dari tanah liat." (Aş-Şāffāt:11)


4. Peringkat Keempat: Dicipta dari tanah liat kering yang hitam (صلصال من حماء)

Seterusnya tanah liat pekat tadi berubah menjadi tanah liat kering yang berwarna hitam (صلصال من حماء) dan diberikan bentul oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya:

[14] وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِنْ صَلْصَالٍ مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ



"Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk," (Al-Ĥijr : 28) 


5. Peringkat Kelima: Diciptakan dari tanah liat yang dibakar (صلصال كالفخار)


Firman Allah SWT:
[14] خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ صَلْصَالٍ كَالْفَخَّارِ

"Dia menciptakan manusia dari tanah kering seperti tembikar." (Ar-Raĥmān:14)

Didalam ayat ini, Allah SWT menggunakan perumpamaan tanah liat kering seperti tembikar bukanlah bermaksud Adam AS itu berbentuk seperti tembikar selepas proses pembentukan peringkat keempat. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan (صلصال كالفخار) adalah tanah liat yang dibakar sebagai salah satu proses pembentukan ciptaanNya yang berasal dari tanah. 

Seperti pembuatan tembikar yang bermula dari tanah liat, kemudian dibentuk dan dikeringkan. Maka untuk menguatkan lagi struktur tembikar, kebiasaannya ia akan dibakar untuk menghasilkan tembikar yang berkualiti tinggi dan kukuh. 


Pengkhabaran Allah Kepada Malaikat

Sebelum Adam A.S diciptakan secara sempurna, Allah SWT mengkhabarkan kepada malaikat bahawa Dia akan mencipta Adam AS sebagai khalifah di bumi untuk memerintah dunia. Perbualan ini berlaku ketika peringkat kelima penciptaan Adam selepas dibentuk dari tanah liat yang dibakar melalui firman Allah SWT:
 وَ إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّيْ جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيْفَةً قَالُوْا أَتَجْعَلُ فِيْهَا مَن يُفْسِدُ فِيْهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَ نَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَ نُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّيْ أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُوْن [30]

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya."  (Al-Baqarah : 30)


6. Peringkat Keenam: Ditiupkan Ruh

 Apabila telah selesai penciptaan tersebut, maka Allah meniupkan ruh yang membangkitkan Adam sebagai manusia bernyawa dan Allah SWT memerintahkan makhluk lain untuk sujud kepadanya.

Firman Allah SWT:
[72] فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِنْ رُوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ


"Maka apabila telah Ku sempurnakan kejadiannya dan Ku tiupkan kepadanya roh (ciptaan) Ku; maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya." (Şād : 72) 


Demikianlah proses dan peringkat penciptaan Adam Alaihissalam sebagaimana yang dikhabarkan oleh Allah SWT melalui kalam Al-Quran. Bagaimana pula proses penciptaan isteri Adam Alaihissalam (Hawa)? InshaAllah akan dijelaskan dalam penulisan seterusnya.


Enam Peringkat Penciptaan Nabi Adam A.S

Read More

Selasa, Mei 12, 2015


Mukadimah
Mutakhir ini kita selalu mendengar berkenaan isu berkaitan pameran janggut dan pedang Nabi SAW yang dikatakan pernah diadakan pameran tersebut di beberapa tempat. Ruangan Bayan Linnas Siri ke-18 akan membincangkan secara khusus berkenaan tajuk ini agar masyarakat memahami dengan sebaik mungkin berkenaan dengan pameran ini.
Suka dinyatakan bahawa Rasulullah SAW adalah rasul yang paling mulia sebagai Sayyidu al-Anbiya wa al-Mursalin maka sudah tentu apa-apa yang berkaitan dengannya juga akan turut termulia dengan sebab kemuliaannya. Justeru, tidak hairanlah ramai di kalangan para ulama’ dan cendekiawan mengkaji dan menekuni segala bentuk athar (barang peninggalan) Rasulullah SAW untuk mengetahuinya dengan terperinci.
Justeru, tajuk Bayan Linnas pada kali ini ialah Pameran Athar Al-Rasul SAW: Hukumnya (Pedang Dan Rambut Serta Janggut Rasulullah SAW)
Suka dijelaskan di sini saya sekali-kali tidak akan membincangkan berkaitan tabarruk dengan athar Nabi SAW kerana isu yang diketengahkan di sini adalah berlainan. Bagi memahami isu tabarruk, sila rujuk kepada buku Bertabarruk dengan Athar-Athar Nabi SAW  yang dikaryakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Joned, Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam. Kami telah membacanya dan menyokong sepenuhnya berkenaan isu tabarruk ini.
Persoalan yang ditimbulkan dalam Bayan Linnas kali ini adalah jarak masa kita dengan Rasulullah SAW melebihi 1400 tahun. Selain itu, pelbagai bentuk peperangan dan ketidakstabilan pemerintahan dari semasa ke semasa sehingga kini menjadi persoalan apakah athar yang dinisbahkan kepada Rasulullah SAW itu masih ada atau sebaliknya.
Adakah Pedang Yang Terdapat Sekarang Ini Benar-Benar Daripada Rasulullah SAW?
Dalam hal ini, dikatakan Rasulullah SAW mempunyai banyak pedang. Antaranya
  • Al-Ma’thur (المأثور) – Pedang yang awal dimiliki oleh Baginda SAW sebagai harta pusaka daripada bapanya. Pedang ini telah diberikan kepada Saidina Ali. Panjang hujungnya 99 sentimeter. Sekarang tersimpan di Muzium Topkapi, Turki
  • Al-‘Adhbu  (العضب) -  Makna al-‘Adhb adalah tajam. Sebelum peperangan Uhud, pedang ini dihadiahkan oleh Sa’ad bin Ubadah al-Ansari RA kepada Rasulullah SAW kemudian Baginda SAW menghadiahkan kepada Abu Dujanah al-Ansari RA dan beliau mempamerkan kehebatannya terhadap musuh-musuh Allah. Pedang ini dikatakan tersimpan di Masjid Hussain bin Ali RA di Kaherah.
  • Zulfaqar (ذوالفقار) - Pedang yang Rasulullah SAW memperolehinya dalam ghanimah Perang Badar. Dikatakan bahawa pedang ini diberikan oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Ali dan pedang ini disimpan di Muzium Topkapi, Turki.
  • Al-Qala’i (القلاعي) – Namanya mempunyai hubungan di Syria atau India yang berhampiran dengan China. Pedang ini salah satu pedang yang di dapati oleh Rasulullah SAW dalam harta rampasan perang daripada Bani Qainuqa’ Yahudi Madinah. Panjangnya hampir 100 sentimeter. Sekarang tersimpan di Muzium Topkapi, Istanbul, Turki
  • Al-Battar (البتّار) – iaitu pedang yang Rasulullah SAW dapat harta rampasan perang daripada Yahudi Bani Qainuqa’. Pedang ini juga digelar Saif al-Anbiya’.
  • Al-Hatf (الحتف) – Pedang yang diambil dalam ghanimah Bani Qainuqa’ Yahudi Yathrib. Pedang ini hampir sama dengan al-Battar kecuali lebih besar. Juga disimpan di Muzium Topkapi,Turki
  • Al-Rasub (الرّسوب) – Pedang ini salah satu pedang-pedang Rasulullah dari Sembilan pedang yang kekal pada keluarga Rasulullah SAW. Panjangnya mencecah 140 sentimeter. Juga tersimpan di Muzium Topkapi, Turki.
  • Al-Mikhzam (المخذم) – Pedang ini telah diberikan oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Ali dan diwarisi oleh anak cucunya. Ada pendapat menyatakan pedang ini telah diperoleh oleh Ali ketika serangan di Syam. Panjang hujungnya 97 sentimeter. Ia tersimpan di Muzium Topkapi, Istanbul, Turki
  • Al-Qadhib (القضيب) - Pedang ini nipis sebagaimana dikatakan seumpama jalan. Ia tidak digunakan untuk peperangan. Tertulis padanya yang daripada perak kalimah Lailaha illalllah Muhammadurrasulullah dan tidak didapati mana-mana sejarah yang pedang ini digunakan untuk peperangan. Ia adalah kekal di rumah keluarga Rasulullah SAW sehinggalah digunakan pada pemerintahan Rafidhiyyah al-Ubaidiyyah al-Fatimiyyyah. Panjang hujungnya 100 sentimeter. Ia disimpan di Muzium Topkapi, Turki
Hujahan berkenaan pedang Rasulullah SAW ini ma’ruf berdasarkan beberapa hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh para sahabat berkenaan dengan sifat pedang Rasulullah SAW. Antaranya daripada Anas RA katanya:
كَانَتْ قَبِيعَةُ سَيْفِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مِنْ فِضَّةٍ
Maksudnya: “Adalah hujung pedang Rasulullah SAW diperbuat daripada perak.”
Riwayat al-Turmuzi (1691)
Justeru, asas thabitnya pedang Rasulullah SAW mempunyai kemungkinan yang kuat. Untuk mendapatkan maklumat berkaitan pedang dan athar Rasulullah SAW yang lain, sila rujuk  kitab al-Syamail al-Muhammadiyyah karya Imam al-Turmuzi yang menjelaskannya secara panjang lebar dan disyarahkan oleh ramai para ulama’.
Adakah Rambut dan Janggut Yang Dinisbahkan Kepada Rasulullah SAW Adalah Sahih?
Dalam hal ini, ahli sejarah telah khilaf kepada dua pendapat.
Pertama: Sahih
Banyak dalil menunjukkan ke arah itu. Antaranya:
  • Tatkala Rasulullah SAW melaksanakan ibadat haji, baginda mencukur kepala dan rambutnya itu telah diambil oleh para Sahabat. Dari Anas bin Malik ia berkata;
لَمَّا رَمَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْجَمْرَةَ وَنَحَرَ نُسُكَهُ وَحَلَقَ نَاوَلَ الْحَالِقَ شِقَّهُ الأَيْمَنَ فَحَلَقَهُ ثُمَّ دَعَا أَبَا طَلْحَةَ الأَنْصَارِيَّ فَأَعْطَاهُ إِيَّاهُ ثُمَّ نَاوَلَهُ الشِّقَّ الأَيْسَرَ فَقَالَ ‏"‏ احْلِقْ ‏"‏ ‏.‏ فَحَلَقَهُ فَأَعْطَاهُ أَبَا طَلْحَةَ فَقَالَ ‏"‏ اقْسِمْهُ بَيْنَ النَّاسِ ‏"
Maksudnya: “Setelah Rasulullah SAW melontar Jamrah, menyembelih haiwan korbannya dan mencukur rambutnya, Baginda meminta tukang cukur untuk mencukur kembali rambutnya yang sebelah kanan. Kemudian baginda memanggil Abu Talhah al-Ansari dan memberikan rambut tersebut kepadanya. Sesudah itu, Baginda kembali meminta untuk dicukurkan rambutnya yang sebelah kiri sambil bersabda: "Cukurlah." Maka beliau pun mencukurnya, dan setelah itu, membagikannya kepada Abu Talhah serata berkata: “ Bahagilah kepada orang ramai.”
Riwayat Muslim (1305)
  • Ramai sahabat yang menjadikan rambut Rasulullah SAW sebagai tabarruk sepertimana yang dilakukan oleh Saidina Khalid. Beliau pernah berkata:
لَمْ أَفْعَلْهَا بِسَبَبِ الْقَلَنْسُوَةِ بَلْ لِمَا تَضَمَّنَتْهُ مِنْ شَعْرِهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِئَلَّا أُسْلَبَ بَركَتَهَا وَتَقَعَ فِي أَيْدِي الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya: “Aku tidak bertindak demikian itu semata-mata hanya kerana sebab topi, tetapi adalah kerana di dalamnya terdapat rambut mulia Rasulullah SAW  dan supaya berkatnya tidak hilang daripadaku dan supaya tidak jatuh ke tangan orang-orang musyrik”.[1]
  • Dikatakan pernah pameran athar nabawiyyah diadakan di Algeria dan dua orang penceramah iaitu Dr. Samir Abd al-Rahman al-Khauli, Setiausaha Hubungan Luar dan Muhammad Ali al-Akhras, Setiausaha Sulit, Kesatuan Masyaikh Sufi Lubnan cuba menthabitkan sanad dengan athar kepada Rasulullah SAW dengan benar dan hakikat.
Kedua: Tidak Sahih
Ini kerana jarak masa yang begitu lama walaupun pada asalnya memang thabit. Begitu juga sebahagian yang memilikinya menanam bersama mereka sendiri sepertimana yang dilakukan oleh Muawiyah bin Abi Sufyan dan lain-lain lagi.
Mengikut riwayat Ibn Abi al-Dunya katanya: “Adalah ucapan terakhir Muawiyah bin Abi Sufyan ialah wasiatnya kepada anaknya Yazid ketika ajalnya hampir tiba. Wasiat itu adalah supaya anaknya Yazid meletakkan bersama jenazahnya  salah satu  kain Rasulullah SAW, potongan rambut dan kuku Baginda. Potongan kuku dan rambut hendaklah diletakkan pada hidung, mulut, telinga dan matanya. Sementara kain pula untuk membalut sekujur tubuhnya selain kain lain.”[2]
Tarjih
Selepas meneliti pendapat samada yang mengiyakannya atau menyatakan tidak sahih, kami lebih cenderung kepada pendapat tidak sahih. Ini kerana beberapa alasan.
  • Nasir bin Abd al-Rahman al-Jadi’ dalam bukunya al-Tabarruk Anwa’uhu wa Ahkamuhu menyatakan bahawa ramai yang syak akan thabitnya tentang apa yang dinisbahkan pada hari ini sebagai athar Nabi SAW kerana banyak telah hilang atas sebab masa dan kurun, kehilangan, peperangan dan fitnah.[3]
  • Al-‘Allamah Timur Basha menyatakan: “Tidak dapat dinafikan sebahagian athar boleh jadi sahih kecuali kami tidak mendapati seorang pun daripada pengkaji yang thiqah dalam mengithbatkannya atau menafikannya, maka Allah lebih mengetahui. Sebahagiannya tidak mungkin untuk kita sembunyikan apa yang terdapat pada jiwa dengan syak wasangka.. Oleh kerana itu kita sukar untuk menentukan kesahihannya.”[4]
  • Sebagaimana dalam disiplin ilmu hadith yang memerlukan sanad yang sahih, maka untuk menthabitkannya lebih baik kita tawaqquf sehingga datang dalil dan hujahan yang menyokongnya.
  • Sighah (gaya bahasa) yang digunakan oleh kebanyakan mereka yang menyokong berkenaan dengan janggut Rasulullah atau janggutnya adalah mansub atau dinisbahkan tanpa boleh dita’kidkan (dikuatkan) siapa yang menisbahkannya. Justeru, sighah tersebut bukanlah bersifat yaqini atau jazmi (kukuh).
  • Rasulullah SAW pernah bersabda
دَعْ ما يَريبُكَ إلى ما لا يَريبُكَ
Maksudnya: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan kepada kamu kepada yang tidak menjadi keraguan.”
Riwayat al-Turmuzi (2518), al-Nasaie (5711), Ibn Hibban (722) al-Haithami (10/297) dan lain lain.
  • Satu kaedah yang masyhur menyatakan
إِنْ كُنْتَ نَاقِلاً فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ بِالدَّلِيلِ
Maksudnya: “Jika kamu menaqalkan sesuatu berita maka hendaklah kamu mentashihkan dahulu. Jika kamu membuat sebarang dakwaan, maka pastikanlah dengan mengemukakan dalil.”
Kaedah fiqh yang lain ada menyatakan
اَلْبَيِّنَةُ عَلَى المُدّعِي وَالْيَمِينُ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ
Maksudnya: “Beban bukti itu adalah atas pendakwa dan sumpah itu atas yang mengingkari.”[5]
Menurut Imam Ahmad ibn Hanbal: “Prinsip-prinsip Islam itu ada pada tiga hadith. Maka ketahuilah antaranya adalah hadith ini.”[6]
Tempat Simpanan Athar al-Rasul
Terdapat beberapa tempat dikatakan disimpan athar al-Rasul SAW antaranya:
  • Muzium Topkapi, Istanbul, Turki
  • Masjid Hussain, Kaherah, Mesir
  • Kubah al-Ghauri, Mesir disimpan selama lebih daripada 3 abad iaitu sehingga 1275H
  • Masjid Zainab, Kaherah
  • Bangunan Qal’ah, Kaherah disimpan hingga 1304H
  • Bangunan al-Awqaf, Kaherah Mesir
  • Bangunan ‘Abidin
Pameran Yang Pernah Diadakan
Antara pameran yang pernah dianjurkan:
  • 16 Januari 2015 - Kalimantan Tengah, Indonesia
  • 21 Julai 2014 -  Al-Markaz al-Thaqafi al-Islami, ibu negara Algeria
  • 25 Ogos 2013 – Daghestan, Rusia
  • 5 Disemberi 2011 - Kedah
  • 3 Mac 2010 – Universiti San’a, Yaman
  • 18 Ogos 2001 – Brunei Darussalam
Hukum Menganjurkan Pameran Pedang Rasulullah SAW
Dalam hal ini, seperti yang kita bincangkan di atas, sabitannya adalah mempunyai asas berdasarkan periwayatan ahli sejarah. Ramai tokoh ahli sejarah dan juga para ulama’ berpendapat bahawa yang dinisbahkan kepada Rasulullah berkenaan dengan pedang mempunyai asas dan hujah yang kukuh. Justeru, kami berpendapat pameran seperti ini tidaklah bercanggah dengan Islam dan dibolehkannya.
Hukum Menganjurkan Pameran Rambut atau Janggut Rasulullah SAW
Berdasarkan perbincangan di atas, kami berpendapat tidak dibolehkan untuk diadakan penganjuran pameran rambut atau janggut Rasulullah SAW. Ini kerana menisbahkan rambut dan juga janggut kepada Rasulullah SAW tidak ada seorangpun tokoh sejarah Islam di kalangan yang thiqah (yang dipercayai) boleh mengesahkan dengan yakin. Sebaliknya semua yang mengatakan adalah bersifat andaian atau sangkaan. Justeru, menisbahkan perkara yang tidak yakin kepada Rasulullah SAW adalah tidak bertepatan mengikut manhaj ulama’ Islam yang sebenar.
Begitu juga terkadang-kadang bukan isu pameran semata-mata tetapi membabitkan kepada perkara yang lain seperti ghuluw dan melampau dalam mentaqdiskan sesuatu yang dinisbahkan kepada Rasulullah SAW sedangkan ia masih lagi tidak dapat dipastikannya.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Suka dipertegaskan di sini kita wajib beriman dengan Rasulullah SAW dan mencintainya dengan sepenuh hati melebihi daripada diri kita sendiri. Inilah yang diajar oleh para Sahabat kepada generasi selepasnya. Saidina Ali RA pernah menyatakan
كَانَ وَاللهِ أَحَبَّ إِلَيْنَا مِنْ أَمْوَالِنَا وَأَوْلَادِنَا وَآبَائِنَا وَأُمَّهَاتِنَا ، وَمِنَ الْمَاءِ الْبَارِدِ عَلَى الظَّمَأِ
Maksudnya: Adalah Rasulullah demi Allah lebih kami kasihi daripada harta kami, anak-anak kami, ibu bapa kami dan daripada air sejuk ketika sangat kehausan.[7]
Dalam mana kita mengasihi dan mencintai Rasulullah SAW, perkara yang lebih utama adalah mengikut bagaimana para Sahabat dan salafussoleh menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW. Menzahirkan rasa cinta dengan cara mengikut sunnah Nabi adalah tuntutan utama berbanding dengan hanya menyatakan sahaja kecintaan.
Antara bentuknya seperti:
  • Selawat ke atas Nabi SAW
  • Mempertahankan Baginda SAW
  • Mempelajari sunnah Baginda SAW
  • Mencontohi akhlak dan perilaku Nabi SAW
  • Memuliakan hadith Rasulullah SAW
  • Mencintai keluarga Rasulullah SAW
  • Menyebarkan sunnahnya
  • Berhukum dengan sunnahnya
Menjadikan Rasulullah SAW sebagai panduan dan contoh suri teladan dalam kehidupan. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّـهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّـهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّـهَ كَثِيرًا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
(Surah al-Ahzab: 21)
Imam Ibn Kathir berkata: “Ayat yang mulia ini adalah asas yang agung berkaitan mencontohi Rasulullah SAW dalam pelbagai aspek samada ucapan, perbuatan mahupun perilakunya. Allah memerintahkan ummat manusia menteladani Nabi SAW pada hari Ahzab dalam sifat kesabaran, thabat, keberanian, perjuangan, begitu juga sabar menanti pertolongan dari Rabbnya.
Al-Maghari berkata: “Rasulullah SAW memiliki contoh dan teladan yang tinggi yang berada di hadapan kamu untuk kamu ikuti. Oleh itu, hendaklah kamu mencontohi setiap amal perbuatan Rasulullah SAW, dengan mengikut petunjuk yang diberikannya, jika kamu mahukan pahala daripada Allah SWT serta takutkan azabnya.”
Kami telah berbincang dengan ramai tokoh agama di Malaysia termasuk sebahagian daripada ahli Majlis Fatwa dan perunding hukum syarak bagi mendapatkan satu keputusan yang tuntas dan tepat mengikut neraca syara’ di mana kesemuanya mempunyai pendapat seperti yang telah kami tarjihkannya. Pada asasnya kami menyokong sebarang usaha dalam memartabatkan syiar Islam dan agama-Nya termasuk memberi pencerahan kepada masyarakat berkenaan dengan athar yang thabit daripada Rasulullah SAW seperti pedang Baginda SAW. Tetapi, jika sekiranya perkara tersebut tidak boleh disahkan oleh mana-mana sejarawan dan para ulama yang thiqah maka sepatutnya hendaklah dielakkan daripada menganjurkan acara seperti itu.
Saya mengalu-alukan mana-mana tokoh yang dapat mengkaji dan menekuni isu janggut Rasulullah SAW atau rambutnya yang dimansubkan kepada Rasulullah SAW pada masa kini adakah benar atau sebaliknya, dengan kajian yang sahih dan dipercayai untuk meleraikan sebarang kekusutan dalam penisbahan ini.
Semoga kita semua mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW dengan sebab mencintainya, berselawat ke atasnya dan mengikut sunnahnya, Amin.
Penutup
Alhamdulillah, Bayan Linnas pada kali ini mengemukakan satu tajuk yang memungkinkan rasaan dan andaian dari pelbagai pihak. Tetapi, sebagai seorang Islam yang mengaku bahawa sumber rujukan utama adalah al-Qur’an dan al-Sunnah serta ditambah dengan ijma’ dan qiyas mengikut mazhab Imam Syafie, maka sewajarnya kita memahami sebarang perkara dalam berhukumkannya dengan nas-nas yang sarih lagi sahih. Bukan semata-mata berdasarkan perasaan atau tanpa asas yang kukuh sehingga akhirnya melahirkan perasaan lebih kepada mengikut emosi semata-mata. Kasih kita kepada Rasulullah SAW hendaklah sebagaimana yang telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Antara lain menjadikan seluruh kehidupannya mengikut apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW seperti yang dinaskan dalam hadith.
لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَوَاهُ تَبَعًا لَمَّا جِئْتُ بِهِ
Maksudnya: Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga adalah hawa nafsunya mengikut apa yang aku bawa.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, Abu Nu’aim dalam al-Arbain (hal. 489), al-Baihaqi dalam al-Madkhal (209). Hadith ini sanadnya dhaif ini kerana perawinya thiqah kecuali Nu’aim bin Hammad.
Semoga Allah mengurniakan kita kefahaman agama yang sebenarnya sehingga kita dapat mengikutinya dan menjauhkan kita daripada kebatilan sehingga kita meninggalkannya. Amin.
Akhukum fillah
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
4 Mei 2015 bersamaan 15 Rejab 1436H

[1] Al-Qadhi, Iyyadh, al-Syifa’ bi Ta’rif Huquq al-Mustafa, jil. 2, hal. 56-57.
[2] Dr. Suad Mahir Muhammad, Mukhallafat al-Rasul fi al-Masjid al-Husain, jil. 6, hal. 3.
[3] Al-Jadi’, Nasir Abd al-Rahman, Al-Tabarruk Anwa’uhu wa Ahkamuhu, hal. 260-265.
[4] Timur Basha, Al-Athar al-Nabawiyyah, hal. 78
[5] Al-Baihaqi meriwayatkannya dengan lafaz ini dalam Sunan al-Baihaqi 4/218 (52) daripada hadith Ibn Abbas RA, sebagaimana al-Turmuzi 3/626 (1341), al-Daraqutni 5/276 (4311). Al-Bukhari meriwayatkannya 3/143 (2514), Muslim 3/1336 (1711) daripada hadith Ibn Abbas dengan lafaz لكن اليمين على المدعى عليه.
[6] Al-Suyuti, Jalaluddin, al-Asybah wa al-Nazha’ir, hal. 9
[7] Al-Qadhi, Iyyadh, al-Syifa’ bi Ta’rif Huquq al-Mustafa, jil. 2, hal. 256.



Artikel ini ditulis dan dikongsikan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pada 8 Mei 2015 dan diterbitkan dalam Bayan Linnas.


Pameran Athar Rasulullah SAW: Hukumnya

Read More

Selasa, November 29, 2011



Pertama: Sejarah beliau dikenal, tercatat dan sedikitpun tidak ada yang tersembunyi tentang beliau, ulama Islam tidak membiarkan satu bab pun dari bab-bab mengenai sejarah Rasulullah SAW dalam perjalanan sejarah, kecuali mereka telah menyusunnya dalam suatu susunan tersendiri, dan hal ini meliputi semua yang berkaitan tentang Rasulullah SAW. Sehingga seorang muslim yang membaca sejarah Rasulullah SAW. Seolah-olah sezaman dengan beliau dan menyaksikannya, kerana lengkap dan jelasnya mengenai sejarah beliau.

Kita akan mendapatkan penjelasan mengenai hal ini ketika berbicara mengenai sumber-sumber sejarah Rasulullah SAW. Cukup anda mengetahui, bahwa jumlah kitab mengenai Sejarah Rasulullah SAW. Dalam bahasa Urdu (bahasa baru) melebihi dari seribu kitab, dan jumlah kitab dalam berbahasa inggeris pada masa yang sama melebihi 1300 kitab. Hal ini pada abad ke-13.

Kedua: Istimewa kerana sejarah beliau di nukil atau di catat dengan penuh rasa amanah dan tanggung jawab, telah di adakan penelitian dengan cermat begitu juga perbandingan untuk lebih menguatkan proses pengambilan sejarah sehingga bisa terungkap yang benar dan yang keliru dari sejarah tersebut, di simpulkan bahwa sejarah yang paling benar yang di nukil kepada kita adalah sejarah Rasulullah SAW yang mulia.

Ketiga: Risalah Rasulullah SAW adalah umum, universal bagi seluruh makhluk, dan tetap kekal. Sejarah beliau adalah teladan bagi seluruh manusia, beliau menyamakan hak antara raja dan rakyat biasa, orang dewasa mahupun yang masih kecil bisa mengambil manfaat dari sejarah beliau, mereka semua di dalam agama Allah Swt. Sama…

Keempat: Risalah yang universal dan asas dakwah, beliau bersabda: “Nabi (sebelum Muhammad SAW.) hanya di utus keapada kaumnya saja, sementara aku di utus untuk seluruh manusia”. Setiap manusia mencari contoh ideal yang bisa di jadikan teladan baginya, dan tidak akan di temukan sejarah yang sempurna meliputi segala aspek kecuali sejarah Rasulullah SAW.

Agama manapun yang tidak di dasari dengan dua asas, iaitu: hak-hak Allah  dan hak-hak manusia, tidak akan mungkin mampu menyelamatkan manusia dan membimbingnya kepada kedamaian, ketentraman dan kebahagian yang sempurna.

Agama-agama sekarang terbagi menjadi dua bagian:

1. Agama yang tidak di sebutkan nama Allah sedikitpun di dalamnya seperti Hindu, Buddha dan agama-agama orang China.

2. Orang yang percaya mengenai kewujudan Allah SWT, akan tetapi manusia tidak tahu bagaimana berkeyakinan terhadap Tuhannya? Dan dengan cara apa? Dan dengan bentuk  apa tercapai akidah terhadap Allah SWT?

Adapun mengenai hak-hak manusia cubalah anda mencarinya pada agama-agama yang lain, apakah anda menemui secara terperinci mengenai kehidupan berkeluarga dan hubungan interaksi sosial? Yang ada hanya hubungan politik dan hubungan diplomasi antara negara serta hal-hal yang berkaitan dengan ekonomi. Cubalah cari di dalam sejarah para Nabi, para ulama', apakah anda menemukan jawaban atas kedua asas tersebut? Pasti anda tidak akan menemukan suatu jawapan dan hasil yang memuaskan kecuali hanya di dalam agama Islam dan pada sejarah Rasulullah SAW.

Sejarah dan akhlak Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW tidak menghabiskan waktunya dengan bercerekarama, bersenang-lenang dengan para orang yang di sayanginya dan sahabat-sahabatnya, akan tetapi beliau menghabiskan umurnya dengan melawan para musuhnya iaitu orang-orang musyrik. Di akhir-akhir umurnya, beliau berjiran dengan yahudi dan orang-orang munafik. Orang yahudi dan munafik tersebut  tidak mampu untuk memfitnah Rasulullah SAW yang dapat mengurangi akhlaknya yang mulia dan sifat kejujurannya. Bagaimanapun usaha keras yang mereka lakukan untuk hal tersebut. Penduduk Makkah memberinya gelar yang buruk dan mengganti nama beliau dengan nama-nama yang buruk, akan tetapi mereka tidak mampu melakukan fitnah atau mencela Rasulullah SAW yang boleh mengurangi akhlaknya yang mulia, atau untuk mengotori jiwanya yang bersih walaupun dengan usaha keras dengan mengorbankan harta dan jiwa mereka untuk memusuhinya.

Allah Swt berfirman: “ Sesungguhnya, Kami mengetahui bahawasanya apa yang mereka katakan itu menyedihkan hatimu, (janganlah kamu bersedih hati), kerana mereka sebenarnya bukan mendustakan kamu, akan tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat Allah”.(QS al An’am 33).

Kelima: Sejarahnya mencakupi seluruh aspek kehidupan dengan jelas dan sempurna.

Rasulullah SAW hidup bersama sahabatnya dengan 9 isteri dan memerintahkan yang hadir untuk menyampaikan kepada yang tidak hadir, beliau bersabda: “ sampaikanlah dariku walaupun hanya satu ayat”. (HR. Bukhari 3274), beliau tidak melakukan perjalanan sendirian atau menghindar dari orang banyak, para sahabat saling tolong-menolong untuk mengambil segala sesuatu dari beliau, bahkan beberapa orang dari mereka mengkhususkan diri untuk hal tersebut dengan senantiasa berada di dekat beliau seperti Ahlu Suffah.

Mereka mencontoh cara berdiri Rasulullah SAW, duduknya, bagaimana beliau tidur, gerak-gerinya, senyumnya, tertawanya, bagaiman cara beliau mandi dan wudhunya, bagaimana cara beliau makan dan minum dan makanan apa yang beliau sukai, mereka menggambarkan tubuh Rasulullah SAW yang bersih sehingga seakan-akan anda melihatnya. Sehingga mereka menghitung jumlah uban di kepala Rasulullah SAW dan di janggutnya.

Inilah sekilas mengenai kitab dari kitab-kitab sejarah Rasulullah SAW yang membuat anda kagum mengenai sempurnanya sejarah beliau, dan ketelitian para ahli sejarah di dalam menukilkan hal tersebut.

Keenam: Secara umum, sejarah Rasulullah SAW tidak melampaui kemampuan manusia biasa. Sejarah beliau tidak bersandar kepada hal-hal yang di luar kebiasaan manusia biasa, atau hal-hal yang terdiri dari mukjizat-mukjizat yang berada di luar kemampuan manusia biasa. Bahkan mudah untuk mengenal dan mengaplikasikannya serta meneladaninya.




Oleh: DR. Yahya Ibrahim Yahya

Keistimewaan Sirah Nabi Muhammad S.A.W

Read More