Memaparkan catatan dengan label Tarbiyah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tarbiyah. Papar semua catatan

Selasa, Ogos 04, 2015

Kedudukan anak-anak dalam Islam

Anak-anak merupakan anugerah serta rezeki kurniaan Allah SWT kepada pasangan suami isteri yang secara fitrahnya berhajat dan sentiasa mengharapkan kurniaan ini. Fitrah ini wujud di kalangan muslim mahupun bukan muslim. Bagaimanapun ibu bapa muslim sangat dituntut untuk mengetahui dan memahami nilai kurniaan Allah SWT ini. Ketidakfahaman dalam perkara ini menyebabkan ibu bapa tidak dapat melaksanakan peranan dan tanggung-jawab mereka, malah mungkin tidak menunaikan hak anak-anak seperti memberi kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya.

Allah SWT berfirman di dalam Surah Asy-Syura, ayat 49-50 yang bermaksud:

“Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada sesiapa  yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul  siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”

Oleh itu kita wajib menyambutnya dengan penuh kesyukuran kerana nikmat Allah SWT ini boleh menghiasi rumah tangga dan menenteramkannya.

“Dan orang-orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami).” (Surah al Furqan: 74)

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud:

“Ya Rabbi, kurniakan aku seorang anak yang baik di sisi Engkau. (Surah Ali Imran: 38)“Anugerahkan aku seorang putera, yang akan mewarisi sebahagian keluarga Ya’kub.” (Surah Maryam : 5-6)

Kedua-dua ayat di atas merakamkan doa Nabi Zakaria yang berhajat kepada anak untuk meneruskan kewajipan dakwah yang dipikulnya.

Menurut Akhlaq Hussain, “Anak-anak yang saleh menjadi sumber sedekah jariah bagi ibu bapa....” Inipun sekiranya anak-anak tersebut dididik dengan sempurna sehingga menjadi mukmin yang sebenar kerana hanya anak-anak  sebegini membolehkan ibu bapa memperolehi sedekah jariah yang dikatakannya.


Apakah hak-hak anak ke atas bapa dan ibunya?

Rasulullah SAW telah bersabda di dalam beebrapa hadith sahih yang maksudnya

“Hak anak ke atas ayahnya ialah memberinya nama yang baik, mengajarnya menulis, mengahwinkannya apabila sudah cukup umur dan mengajarnya al- Quran”
(Riwayat Al-Hakin dan Ad-Dailami)

“Pendidikan yang diberikan seseorang kepadanya lebih baik baginya daripada bersedekah satu sha(nilai mata wang)”

“Tidak ada suatu pemberian yang lebih baik daripada seorang ayah kepada anaknya daripada budi pekerti yang baik.” (H.R. Tirmidzi)

Selain itu anak-anak juga berhak untuk mendapat perhatian dan memperolehi kasih sayang ibu bapanya. Akhlaq Hussain menulis, “Seandainya ibu bapa tidak melayani anak-anak mereka dengan kasih sayang bagaimanakah mereka mengharapkan anak mereka  berkelakuan baik kepada mereka?”

Salah satu peranan terpenting di dalam kehidupan ibu dan  bapa  adalah menjaga amanah Allah SWT dengan sebaiknya. Anak-anak adalah antara amanah yang utama.

Rasulullah SAW telah bersabda, yang maksudnya: (“.......dan setiap suami adalah pemimpin bagi keluarganya. Ia akan diminta pertanggungjawabannya dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah dan anak suaminya, dan ia akan diminta pertanggungjawabannya.”)

Oleh itu mendidik anak-anak  menjadi soleh adalah satu tanggungjawab diniyah. Kegagalan mendididk mereka akan membawa akibat yang berat di akhirat. Allah SWT telah memperingatkan perkara ini di dalam Surah at-Tahrim, ayat 6 yang bermaksudnya :

“Wahai orang-orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka”


Tamaiyuz (perbezaan) di dalam matlamat dan perjalanan hidup pendakwah

Salah satu perkara penting yang perlu difahami dan disedari ialah terdapat  perbezaan yang ketara (tamaiyuz) di antara pendakwah dan anggota harakah Islam dengan anggota masyarakat yang lain. Perbezaan ini adalah dari segi matlamat dan perjalanan hidup kita. Kita menyedari bahawa Allah telah memerintahkan kita supaya menjadikan diri sebagai manusia Rabbani.

Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Ali Imran ayat 79 yang bermaksudnya:

“...Hendaklah kamu menjadi manusia-manusia rabbani”

Rabbani bermaksud kita memiliki ciri-ciri Rabbaniyah yang dikehendaki Allah SWT, sama ada di dalam diri atau dalam perjalanan hidup kita. Oleh itu kita mestilah bersifat Rabbani dari sudut ghoyah(matlamat) dan wijhah(haluan) mahupun masdar(sumber) dan manhaj(sistem). Dengan itu sudah pasti kita berbeza besar daripada masyarakat, dari sudut matlamat pendidikan anak-anak dan juga metode (kaedah) mendidik mereka.

Seorang sarjana pendidikan, Dr. Abdul Rahman Salih telah menulis: “.....setiap masyarakat mempunyai matlamat-matlamat tertinggi (idealisma) di dalam kehidupan mereka, dan masyarakat itu akan berusaha untuk menghantar anak-anak masyarakatnya kepada matlamat-matlamat tersebut. Setiap masyarakat juga mempunyai jalan-jalan atau metod-metod pendidikan untuk menyampaikan masyarakat tersebut kepada matlamat-matlamat mereka. Oleh itu apabila satu-satu masyarakat mengikuti atau meniru jalan-jalan dan metod-metod pendidikan satu masyarakat yang lain, mereka dengan sendiri telah mengambil idealisma atau hajat tertinggi masyarakat yang diikuti atau yang ditiru.” Oleh demikian dalam melaksanakan tuntutan mendidik anak-anak, kita mestilah berwaspada supaya tidak tergelincir daripada landasan pendidikan yang disyariatkan oleh Allah SWT dan yang diterjemahkan di dalam kehidupan  Rasulullah SAW.

Sepertimana yang dijelaskan, kita mempunyai ghoyah (matlamat tertinggi) dan hadaf (matlamat dekat) yang lebih tinggi dan lebih mulia. Ini melahirkan tamaiyuz dengan masyarakat. Kita adalah anggota harakah Islam yang mempunyai matlamat hidup membangunkan sistem   Allah. Kita menjadikan tujuan hidup kita untuk menegakkan syariat Allah. Natijah daripada kesedaran ini adalah menjadikan seluruh kehidupan kita sebagai ibadah. Dengan semua aktiviti hidup kita adalah untuk mencapai matlamat yang suci ini. Oleh itu pembinaan diri kita sebagai mukmin(fardi muslim) yang ikhlas berjihad dan pembangunan baitul muslim (keluarga muslim) adalah untuk matlamat tersebut. Kelahiran serta pendidikan anak-anak kita adalah untuk matlamat ini.


Anak-anak adalah generasi pewaris dakwah

Di samping mendidik anak-anak menjadi anak yang soleh, mereka perlu diproses dengan rapi agar bersedia  memikul dan melaksanakan tanggung-jawab dakwah dan jihad. Anak-anak kita adalah pewaris perjuangan yang sedang kita laksanakan hari ini. Mereka akan dipertanggungjawabkan untuk meneruskan perjuangan suci dengan lebih berkesan kerana kesedaran yang telah ada di dalam hati kita. Di atas hajat ini juga Allah menyebutkan doa nabi Zakaria di dalam Surah Maryam, ayat 5 yang maksudnya:

“Anugerahkanlah aku seorang putera, yang akan mewarisi sebahagian keluarga Ya’kub.”

Oleh itu kita perlu bertanya kepada  diri kita secara serius, adakah kita peka atau prihatin dengan tanggungjawab mendidik anak-anak kita? Kita perlu melihat anak-anak kita sebagai mad’u (orang yang diseru) yang perlu dibentuk melalui satu proses tarbiyah, iaitu proses penyucian diri, pembentukan kefahaman, kesedaran dan  pembinaan syakhsiyah.


Pendidikan bagaimana yang dituntut untuk dilaksanakan?

Di dalam al-Quran Surah al-Ahzab, ayat 36 Allah SWT telah berfirman yang maksudnya:

“Tidaklah patut bagi setiap mukminin dan mukminat apabila Allah dan Rasul-Nya telah memutuskan sesuatu, ada bagi mereka pilihan lain tentang urusan mereka.”

Oleh itu kita dituntut untuk mendidik anak-anak melalui proses tarbiyah Islamiyah sama ada dari segi manhaj, ghoyah, hadaf  serta natijahnya. Tarbiyah Islamiyah mempunyai manhajnya yang tersendiri dan teristimewa  kerana manhaj ini datang daripada Allah SWT, Allah yang berteraskan tauhid. Seluruh kehidupan untuk  berubudiyah kepada Allah SWT semata-mata. 

Satu lagi yang dituntut ke atas diri kita adalah ibu bapa sendiri; perlu melalui pendidikan ini terlebih dahulu dengan keikhlasan, kesungguhan serta penyerahan supaya kita terlebih dahulu menjadi manusia Rabbani. Ini kerana salah satu prasyarat keberkesanan tarbiyah adalah contoh teladan. 

PENDIDIKAN ANAK-ANAK: Tuntutan Dan Tanggungjawab

Read More

Khamis, Februari 13, 2014

Beberapa tempoh yang lalu, saya menghadiri tazkirah buat para penuntut ilmu yang disampaikan oleh Syeikh Mustafa Syaibani, a’lim yang berasal negara Mauritania. Beliau membangkitkan rasa semangat dan bara untuk mencintai ilmu buat para penuntut dengan mendekatkan diri dengan segala bentuk ilmu dan tidak ketinggalan walau sehari. Sempat beliau menitipkan tips untuk mengekalkan ilmu didada.

1. Usaha

Berusaha untuk berdampingan dengan buku, majlis ilmu dan a’lim ulamak. Berusaha untuk mengisi masa dengan sesuatu yang menghasilkan input baru dalam minda.

2. Berdoa

Berdoa secara jelas memohon dengan penuh rendah diri. Jika inginkan difasihkan berbahasa arab, pinta secara jelas supaya difasihkan berbahasa arab dan sebagainya. Juga berdoa supaya ilmu itu kekal dalam ingatan dan bermanfaat.

3. Mengulangi apa yang dipelajari

Ulangi bacaan walau hanya sepotong hadith. Syeikh juga memberi contoh supaya mengulangi apa-apa yang dibaca dalam setiap perjalanan kita samaada ke masjid mahupun ke kelas. Setiap ulangan itu bisa terpaut dalam ingatan.

4. Berbincang bersama teman

Setelah menuntut ilmu atau membaca, kongsikan bersama teman atau mengulangkaji bersama supaya apa yang dilazimi kekal dalam ingatan kita. Sempat juga Syeikh memesan supaya ilmu-ilmu itu dijadikan bahan bualan.

5. Beramal dengan ilmu yang dimiliki

Abadikan ilmu yang dituntut dengan mengamalkannya serta menyebarkan kepada umat. Inilah praktikal sebenar yang harus dilalui oleh setiap penuntut ilmu. Tidak sempurna teori ilmu yang dipelajari tanpa mengamalkannya.

Itulah wasiat Syeikh Mustafa Syaibani buat para penuntut ilmu. Jadikan ulama lalu yang begitu gigih untuk menuntut ilmu sebagai pengubat luka semangat. Moga-moga cinta ilmu itu mampu menambahkan cinta kita kepada si Pencipta cinta!





Belajar Bagaimana Untuk Mencintai Ilmu

Read More

Jumaat, Ogos 30, 2013

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi6BFq45Cs85MUYxxRm9g0367ErmaAL9tMivSaVgKP0BQKXE2R7JNZKUGjTkULFMx_OexD45Pcf-t2VKBFqT5bT7ekHy1hPC3sdrLLEqG-78HtNomNedutquCM3hVfoUm5YZHR68TgvWqo/s400/pemuda+3.jpg

Kekeliruan dan kecelaruan fikrah yang dialami oleh pemimpin dan anggota sebuah gerakan Islam adalah suatu penyakit kronik yang mengakibatkan berlakunya salah faham terhadap perjuangan dan matlamatnya. Seringkali tindakan yang tidak berasaskan kefahaman yang jelas dan tepat, menghasilkan natijah yang salah dan tersasar dari matlamat yang murni.

Lebih malang kiranya salah faham itu membentuk satu manhaj perjuangan yang salah sedang mereka merasakan itu adalah suatu yang benar. Akhirnya mereka berjuang di atas landasan yang salah untuk tujuan yang salah pula. Apa yang ingin saya tegaskan di sini ialah perlunya kita merungkai krisis kefahaman ini agar kekeliruan dan kecelaruan dapat diatasi dan kembali meletakkan mereka di atas landasan perjuangan yang benar bersama misi dan visi yang tepat. Seterusnya mendapat redha daripada Allah s.w.t.


Saidina Umar al-Khattab pernah menegaskan (mafhumnya), “Fahamilah olehmu (akan perkara agama dan urusan kepimpinan atau perjuangan) sebelum kamu dipilih menjadi pemimpin.”



Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda (maksudnya), “Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan nescaya diberi faham tentang agama.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)



Pertama : Memahami Ghayah

Ghayah adalah tujuan yang ingin kita capai dalam perjuangan ini. Justeru itu, ghayah atau matlamat akhir kita ialah Allah s.w.t. Segala yang kita lakukan dalam perjuangan ini tidak boleh bermatlamatkan selain dari Allah s.w.t kerana kelak menjadikan kita menyeleweng daripada petunjuk Ilahi :
وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلاَ تَتَّبِعُواْ السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ

“Dan sesungguhnya inilah jalanku yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya dan jangan kamu mengikut jalan-jalan yang lain kerana kelak akan menyelewengkan kamu dari jalan Allah s.w.t.” (Al-An'am, ayat: 153)


Apabila kita benar-benar memahami bahawa matlamat akhir kita ialah Allah s.w.t, maka kita akan memiliki jiwa yang optimis terhadap kemenangan Islam yang kita perjuangkan dan hati yang tenang sekalipun berhadapan dengan cabaran yang getir, lantaran tawakkal yang kukuh berpaut kepada Allah s.w.t.



Allah s.w.t sebagai matlamat akhir perjuangan ini meletakkan kita ikhlas dan tajarrud dalam perjuangan demi mencapai nilai dan standard tawajjuh (hanya mengharap redha Allah) kepada Allah s.w.t. Saat itu, tidak akan berlaku lagi pergelutan dingin merebut jawatan kerana “hubbur riyaasah” atau gila pangkat/ jawatan atau merasa resah dan penat sehingga mahu menarik diri daripada medan perjuangan yang serba mencabar ini.



Sebaliknya bangga dan puas dengan apa yang dilakukan untuk Islam ini, sekalipun hanya sebagai penampal poster dan pengedar handbill justeru matlamat akhirnya ialah Allah s.w.t, yang pasti memberikan ganjaran bernilai terhadap usaha untuk menegakkan agamanya.



Saya harap semua pemimpin dan anggota jamaah kembali menghayati slogan perjuangan kita yang saya lihat sedikit sebanyak makin diabaikan :

  1. Allah sebagai Matlamat
  2. Ar Rasul sebagai Ikutan
  3. Al Quran sebagai Perlembagaan
  4. Al Jihad sebagai Jalan Perjuangan
  5. Mati Syahid di atas Jalan Allah sebagai cita–cita tertinggi.
 
Kedua: Memahami Hadaf


Hadaf ialah objektif yang ingin dicapai bersama perjuangan ini. Gagal memahami hadaf atau objektif memungkinkan kita berjuang tanpa sebarang pencapaian atau paling tidak menjadikan kita sukar dan semakin jauh dari destinasi. Sebagai contoh, antara hadaf yang ingin kita capai ialah tertegaknya Daulah Islamiyyah di atas tanah air kita. Mereka yang memahami hadaf atau objektif perjuangan ini akan memastikan dirinya berjuang gigih tanpa lengah dan membazirkan waktu dengan perkara yang tidak mendatang faedah buat diri dan perjuangannya.

Apa yang lebih penting untuk tahqiqul hadaf (memastikan matlamat semasa dicapai), kita terlebih dahulu diwajibkan menghayati objektif yang ingin dicapai. Sebagai contoh tadi, Daulah Islamiyyah menjadi salah satu hadaf kita yang ingin dicapai, maka kita dituntut supaya memahami dan menghayati terlebih dahulu nilai dan ruh Daulah Islamiyyah di dalam jiwa dan kehidupan kita.


Al Imam Hasan Hudhaibi pernah menyebut (mafhumdnya), “Tegakkan Negara Islam dalam diri kamu nescaya ia akan tertegak di atas tanahair kamu.”



Malang, andainya kita meletakkan Daulah Islamiyyah sebagai objektif perjuangan ini sedang kita bukan sahaja tidak memahami prinsip dan ciri–ciri daulah Islamiyah bahkan tidak menunjukkan sahsiah sebagai seorang pejuang yang berjuang untuk menegakkan syariat Islamiyyah. Manakan tidak, semangat berkobar-kobar untuk menegakkan Negara Islam tetapi ibadat kita tidak sempurna, tawakkal kita lemah dan fikrah kita hambar. Maka sudah tentu sahaja semangat tidak memadai untuk mencapai objektif yang telah kita gariskan.



Begitulah apabila kita turut meletakkan Dakwah Islamiyyah antara objektif kita. Kita mestilah terlebih dahulu menghayati kriteria da’ie atau pendakwah yang berkesan. Bahkan kita sewajibnya menguasai metodologi dakwah yang efektif berasaskan maudhu’ dakwah yang tepat dan bersesuaian dengan tahap mad’u.



Bertindak melulu dalam usaha dakwah tanpa memahami dan menghayatinya inilah yang melahirkan pelbagai polemik dan kontroversi. Ada yang menggunakan perkataan kesat dan kasar dalam ucapan atau ceramah tanpa mengira tempat dan kesesuaian, akhirnya menjauhkan mad’u melarikan diri perjuangan kita.



Demikian juga sebuah penampilan yang tidak sesuai dengan masyarakat atau audien sehingga menimbulkan rasa jengkel di hati mad’u. Firman Allah s.w.t :

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ

“Maka dengan rahmat Allah, engkau (Muhammad s.a.w) berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu.” (Ali-Imran, Ayat: 159)


Sebagai pemimpin biarpun di mana jua peringkat kepimpinan kita dan sebagai anggota sekalipun kita hanya ahli biasa, berilah perhatian terhadap persoalan ini. Fahami objektif atau hadaf ini sedalam-dalamnya.



Para pendakwah bukan berdakwah dan berceramah untuk mencari publisiti, apalagi laba duniawi. Mereka berdakwah untuk membawa mesej perjuangan mereka kepada masyarakat agar mereka menerima Islam. Bertolak dari keinsafan ini, semua dua’t (pendakwah) hendaklah menghayati prinsip tersebut. Mereka hendaklah menyampaikan Islam dengan penuh penghayatan terhadap kandungan Islam itu sendiri dan jiwailah ia dalam penyampaian kita agar dakwah Islam yang kita sampaikan dapat menembusi jiwa mad’u.

Firman Allah :
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
“Berdakwahlah mengajak manusia kembali kepada tuhanmu dengan hikmah, nasihat yang baik dan debatlah mereka dengan cara yang terbaik.” (An-Nahl, Ayat: 125)


Ketiga : Memahami Manhaj



Landasan dan hala tuju perjuangan Islam sewajarnya difahami secara jelas sebagaimana jelasnya Islam itu sendiri sebagai cara hidup yang diwahyukan Ilahi. Al-Quran dan Sunnah mendasari manhaj perjuangan kita. Kita bergerak dan membentuk polisi perjuangan berasaskan wahyu dan sunnah bukan nafsu dan aqal yang terpisah dari wahyu Allah. Firman Allah :

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِّنَ الأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلا تَتَّبِعْ أَهْوَاء الَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ

“Kemudian kami telah meletakkan engkau di atas syariat (peraturan agama), maka ikutlah peraturannya dan janganlah engkau mengikut nafsu mereka yang tidak mengerti.” (Al-Jaatsiyah, Ayat: 18)


Secara organisasinya, jamaah kita berperlembagaan dan dipimpin melalui konsep syura. Kita telah menggariskan polisi dan manhaj perjuangan ini serta menurunkannya kepada setiap peringkat jamaah. Ianya mesti difahami dan dihayati. Pengamatan saya mendapati masih ramai yang kabur mengenainya biarpun mereka telah lama menyertai jamaah.



Fenomena ini berlaku kerana mereka menyertai jamaah tanpa memahami dan mendalami manhaj perjuangan. Sebagai contoh, Jemaah kita mengambil pendekatan “muwajahah bis-silmi” (berdepan dengan lawan melalui pendekatan aman) sebagai polisi perjuangan kita di Malaysia. Pendekatan ini merumuskan satu jawapan yang akhirnya membawa penyertaan kita dalam persada politik tanahair sekaligus menyertai pilihanraya.



Pihak yang tidak memahami manhaj kita sering menuduh bahawa kita salah dan bercanggah dengan syarak kerana menyertai pilihanraya dan demokrasi. Malangnya ada dikalangan ahli jamaah terpedaya dengan tuduhan tersebut. Ini adalah kerana mereka tidak memahami manhaj perjuangan sendiri.



Ada pemimpin yang turut keliru terhadap manhaj perjuangan mereka sendiri. Ini suatu yang sangat malang, namun ianya satu realiti. Realiti ini berlaku kerana sebahagian mereka tidak menyertai usrah atau liqa’ fikri anjuran jamaah sebagai medan untuk memahami dasar dan manhaj perjuangan. Saya sifatkan mereka yang menyertai jamaah tetapi tidak menyertai usrah sama seperti mereka masuk sekolah tetapi tidak masuk kelasnya. Biarpun sekolah itu adalah sekolah yang ternama dan tersohor dengan kegemilangannya, tetapi keengganan memasuki kelas hanyak mengekalkan kejahilan mereka.



Tiada apa yang dapat mereka pelajari tanpa memasuki kelas. Ketidak fahaman terhadap manhaj perjuangan inilah menyaksikan pelbagai aliran yang bercanggah cuba disogok kepada ahli jamaah.



Ada yang cenderung membawa aliran syiah semata–mata kerana tersilau dengan kehebatan Iran, sedang Iran bukan hebat kerana mereka syiah dan kita lemah bukan kerana kita ahli sunnah wal jamaah. Mereka menjadi kuat kerana kesediaan pemimpin dan rakyat mereka menolak ideologi barat dan menggerakkan kebangkitan rakyat mereka di atas nama jihad untuk menentang kuasa besar dunia.



Sementara masyarakat kita yang mendakwa diri mereka sebagai ahli sunnah wal jamaah tetapi menganut faham dan ideologi barat serta mengikis semangat jihad daripada diri mereka. Ini menjadikan diri mereka lemah dibawah pengaruh barat. Lantaran itu, membawa masuk fahaman atau aliran syiah ke dalam jamaah ini untuk menjadikannya kuat adalah suatu langkah yang salah dan tidak membawa sebarang faedah. Sebaliknya apa yang penting ialah menyalakan semangat jihad di kalangan ummah dan mendidik mereka agar menolak fahaman dan ideologi asing dari terus menguasai minda dan jiwa ummah.



Begitu juga ada pihak yang cuba menyeludup aliran liberal memasuki jemaah untuk mengelirukan ahli dan terdapat juga yang anti ulama dengan tanggapan serong bahawa ulama tidak pandai dan mampu memimpin serta jahil berorganisasi. Apa yang mesti kita fahami dan hayati, ulama adalah benteng ummah dalam mempertahankan mereka dari pengaruh kejahilan.



Kebencian dan merendahkan imej ulama di mata masyrakat adalah terhasil daripada kekeliruan terhadap manhaj perjuangan sendiri. Demikian juga ada yang memandang serong terhadap penyertaan golongan profesional yang memiliki fikrah Islam yang baik lalu menganggap mereka adalah golongan sekular, sedang mereka memberikan komitmen yang tinggi terhadap perjuangan. Ini juga adalah manifestasi dari kegagalan memahami manhaj perjuangan.


Keempat: Memahami Bi’ah (Realiti)



Kebenaran Islam mestilah disampaikan melalui kaedah dan cara yang benar, penampilan dan method (cara) yang tepat dan sesuai. Perkara ini memerlukan kita memahami bi’ah atau realiti yang dihadapi dengan ijtihad yang tepat supaya Islam dapat disampaikan dengan baik ke setiap hati sanubari masyarakat, sementara dalam masa yang sama kita mestilah memelihara prinsip Islam.



Kita mestilah terbuka tetapi jangan hanyut dalam arus massa sebagaimana kita mestilah berprinsip tetapi jangan jumud dalam berfikir dan bertindak. Tidak memahami bi’ah menyebabkan kita bertindak salah dengan meletakkan suatu yang benar pada tempat yang salah dan masa yang salah pula. Kajian terhadap tahap keupayaan minda masyarakat dan tuntutan ummah terhadap kehadiran perjuangan kita serta keperluan jemaah dalam mendepani cabaran masa kini menjadi syarat dan bukti kita memahami bi’ah.



Kita tidak boleh syok sendiri dan mementingkan diri serta mencari kepuasan sendiri tanpa memikirkan apakah pendekatan kita sesuai dengan zaman dan method kita diterima masyarakat umum?


Kelima: Memahami Isti’dad (Persediaan)

Allah berfirman :
وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu akan musuh Allah dan musuh kamu.” (Al Anfaal, Ayat: 60)


Kita tidak boleh berjuang secara sembarangan tanpa ilmu dan persiapan. Sungguhpun perjuangan ini membawa Islam sebagai dasar perjuangannya, kita tidak diajar menyerah kepada taqdir tanpa usaha gigih untuk membawa Islam kembali ke orbitnya yang mengatasi segala ideologi yang dicipta oleh manusia.



Persediaan dan persiapan yang akan dilakukan mestilah pula mengambil kira kekuatan yang ada pada musuh dengan tidak lupa untuk menangani kelemahan yang ada pada kita. Saidina Umar al Khattab menyatakan (mafhumnya), “Akan terungkai tambatan Islam serungkai demi serungkai dari leher ummat Islam apabila berleluasa di dalam Islam mereka yang tidak mengetahui sepak terajang jahiliyyah (musuh).”



Persiapan kita mesti mantap terhadap 2 faktor kemenangan; Faktor pertama ialah faktor penentu iaitu Allah Qadhi Rabbul jalil. Hubungan kita dengan Allah mestilah akrab guna meraih taufiq dan nusrah buat perjuangan yang kita dokong ini justeru Dialah Tuhan yang akan menentukan kemenangan dan kejayaan kita. Jangan putuskan hubungan antara kita dengan Allah s.w.t. malah jangan biarkan hubungan kita dengan Allah berlangsung dalam keadaan hambar.

يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ. قُمِ اللَّيْلَ إِلاَّ قَلِيلا. نِصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلا. أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلا. إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلا ثَقِيلا

“Wahai orang yang sedang berselimut! bangunlah pada malam hari kecuali sedikit iaitu separuh atau kurang sedikit dari itu atau lebih dari seperdua itu dan bacalah al quran dengan tartil, Sesungguhnya kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu.” (Al Muzammil, Ayat: 1 – 5)

Manakala yang kedua ialah faktor membantu. Kita tidak boleh memandang sebelah mata terhadap faktor-faktor ini sekalipun ia hanyalah faktor yang membantu. Faktor ini tergolong dalam ikhtiar yang diwajibkan oleh syara’ kepada kita. Faktor ini boleh jadi dalam bentuk dana ekonomi yang kukuh, organisasi dan jentera penggerak yang mantap, anggota yang ramai, pengaruh yang lebar, dan sebagainya.



 Diterbitkan dilaman tarbawi.my pada 27 Ogos 2013.

Memurnikan Fikrah Perjuangan

Read More

Selasa, Ogos 27, 2013


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEipRrmcGjnfJSpqb9oghhRK-ATkwxERyhY2hVTS6mh_-sRo1pxuqMStdJcB7XRnycVkiFuoy21YVtTAxvzVwpfMk7h2I5B6kG48ZEHS4TRFc9CN4fZszZIXtdSMn1gUbrDCDr-REw6owcKY/s400/teruslah-menuntut-ilmu.jpg
Teruslah menjadi Pelajar dan Pengajar


1. Menjadikan keinginan belajar sebagai tujuan pokok

Orang yang menghargai ilmu adalah mereka yang senantiasa tidak ingin lepas dari buku, punyai rasa ingin tahu yang kuat, mencari ilmu dimanapun ia berada, mendatangi ilmu dan tidak mengharap ilmu yang mendatanginya. Tentunya, ini tidak terwujud kecuali jika rasa ingin tahu telah mendarah daging dalam diri, dan menjadi sebuah keperluan tersendiri.

Jika anda berkata:  “kenapa dalam melihat ilmu pengetahuan harus disejajarkan dengan makanan pokok?”  maka jawabnya seperti ini:

“kelangsungan hidup setiap makhluk bergantung kepada makanan, dan tentunya ketahanan fizikal ada pada makanan pokok yang wajib dihadam setiap hari. Begitu juga dengan rohani, supaya ia dapat melahirkan ide dan inspirasi untuk mendatangkan kemaslahatan jasmani, maka ia harus membaca dan menelaah. Seseorang mampu bertahan hidup tanpa makan dan minum selama 40 hari, tetapi ia tidak mampu menghabiskan satu hari tanpa berfikir. Olehnya itu, jika pada waktu tertentu manusia dikatakan sebagai makhluk sosial, maka pada saat sekarang manusia sepatutnya dikatakan sebagai makhluk penuntut ilmu demi tercapainya keperluan rohani dan jasmani secara seimbang.”

Mereka yang mempunyai sikap seperti ini adalah mereka yang tidak membezakan keperluan ilmu pengetahuan dari yang lain. Mereka yang menghargai semua guru, kerana apa yang mereka sampaikan adalah makanan primer terhadap rohani. Bukankah suatu kebodohan jika menjauhkan diri dari orang yang datang dengan sengaja memberi dan menyuapi makanan kesukaan kita? Kenapa kita ingin menolak pemberian itu, bukankah haiwan sendiri suka disuapi?

Ingatlah! Berkat ilmu tergantung dari sejauh mana kita menghargai ilmu pengetahuan dan orang-orang yang berilmu.

2. Terus menerus belajar.

Makanan pokok tidak dikatakan sebagai keperluan mendasar jika hanya sekali dimakan saja, tetapi makanan pokok itu adalah makanan yang senantiasa dihadam tiap harinya. Seseorang boleh saja tidak makan keropok pada hari ini dan hari-hari mendatang, tetapi amat sulit baginya jika tidak makan nasi pada tiap kali merasa lapar.

Pelajaran menjadi keperluan utama, jika dalam diri senantiasa ada dorongan kuat untuk membaca, mengetahui, dan memahami.

Bukanlah belajar itu dengan membaca sekali kemudian berhenti kerana telah merasa puas, tapi belajar yang benar itu adalah belajar yang tidak pernah mengenal rasa puas, senantiasa haus dengan ilmu, selalu membaca di setiap ada kesempatan. Jika tidak membaca dalam jangka waktu tertentu tercipta dalam diri sebuah keanehan dan rasa gelisah, seperti orang yang merasa lemah akibat tidak makan dan minum.

Para ilmuwan Islam terkemuka telah terbiasa menghabiskan waktu mereka berjam-jam tanpa makan dan minum, hanya kerana terbuai oleh indahnya setiap hakikat ilmu pengetahuan yang mereka fahami. Bahkan, di antara mereka yang ditakdirkan masuk penjara meminta agar tidak dipisahkan dengan bukunya, meski ia hanya membawa sehelai pakaian. Itu bukanlah hal yang aneh, kerana keperibadian manusia terbentuk dari kebiasaan.

Hemat penulis, seruan itu tersirat dari ayat-ayat yang menganjurkan umat untuk senantiasa memikirkan dan mengungkap rahsia-rahsia Allah SWT di sebalik setiap penciptaan kehidupan. Al-Qur'an menyeru kepada hal tersebut kerap kali mempergunakan fi'il mudhari (kata kerja yang menunjukan pekerjaan yang terjadi pada saat sekarang dan masa mendatang). Seperti firman-Nya di bawah ini:
“Maka tidaklah kamu memahaminya?”(QS. al-Baqarah [2]: 44)

Dan firman-Nya juga:
“Maka apakah kamu tidak memikirkannya?” (QS. al-An'am [6]: 50)

serta firman-Nya:
“Maka apakah kamu tidak mengambil pelajaran?”(Qs. Yunus [10]: 3)
                                                                                
Dan pastinya, seruan untuk memahami, berfikir, dan mengambil pelajaran senantiasa ‘valid’ sampai hari kiamat.


3. Merendah diri terhadap sesama hidupan.

Tawadhu' (rendah diri) merupakan tujuan ilmu, dan pada waktu yang sama dia juga jalan meraih berkah pendidikan. Kerana dengan sifat itu, seseorang tidak menganggap remeh ilmu pengetahuan, memandang enteng orang lain, membuang kesombongan dan ego, dan senantiasa melihat dirinya sama dengan yang lain. Orang yang menyombongkan diri dengan pengetahuannya telah berada pada kebodohan dalam keadaan tidak sedar.

Apakah yang dapat kita sombongkan dari ilmu itu? Bukankah pada suatu waktu seorang pelajar kadang lupa apa yang pernah dipelajarinya, sementara ia amat yakin bahwa hafalan tersebut senantiasa melekat di benaknya? Bukankah ini petanda bahawa setiap pelajar hanya dituntut untuk belajar dan berusaha semaksima mungkin mengetahui, tahu atau tidaknya itu tergantung kepada pertolongan Allah SWT? Bukankah itu dari kelemahan dan ketidakmampuan kita sebagai hamba, jadi apa lagi yang mesti disombongkan? Wahai mereka yang bersikap angkuh dengan ilmunya?

Orang tua-tua seringkali melantunkan pepatah ini: “Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk”. Orang yang rendah diri adalah mereka yang tahu jati diri, tidak melihat ada sesuatu kelebihan dalam diri, kerana yang memberi isi ilmu pengetahuan dalam dirinya adalah Sang Pencipta. Ia hanya tempat air yang siap untuk diisi, dan tidak menutup kemungkinan air itu ada yang tumpah sebahagiannya. Jika perihalnya seperti itu, kenapa kita tidak ingin menundukkan muka, merendah diri terhadap sesama?

Di dalam sifat ini tersimpan kebaikan yang tidak terkira. Jika rendah diri telah menjadi pakaian seseorang, maka ia akan memberi rasa damai, tawakkal, dan percaya diri yang luar biasa. Kenapa tidak? Bukankah rendah diri itu sifat para ulama.

Wahai mereka yang berilmu, Berbahagialah! Anda adalah penyambung perjuangan para nabi-nabi dalam mengembangkan dakwah Islam. Diberikan potensi untuk mengetahui manifestasi nama-nama Allah SWT di alam semesta, diangkat darjatnya di antara hamba-hamba-Nya, dan tentunya, mereka itu meniti jalan kebenaran menuju akhirat.

Berbahagialah kalian! Di dunia anda dimuliakan sesama, di akhirat anda mendapatkan tempat kehormatan tersendiri di sisi Allah SWT. Olehnya itu, Buanglah jauh, dan kubur mati kesombongan itu, serta tanamkan dalam diri sikap rendah diri!

Itulah keberuntungan yang sebenarnya.


Teruslah Menjadi Pembelajar!

Read More

Isnin, Ogos 26, 2013


Ciri-ciri Pasangan Untuk Calon Isteri/Suami Menurut Islam

❶ Beragama.
Bermaksud, seorang yang melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.

❷ Seorang yang lembut dan penyayang.
Bermaksud, tidak bersikap marah tidak bertempat, dan mengasihi orang sekelilingnya.

❸ Rasa senang apabila dipandang.
Bermaksud, hati merasa gembira apabila melihatnya.

❹ Seorang yang subur warisnya.
Bermaksud, dia tiada masalah mandul atau sebagainya. Keluarganya pula dari kalangan yang ada anak ramai-ramai.

❺ Sangat baik jika berkumpul antara sifat berikut, (Beragama, cantik, keturunan baik, dan berharta).


Telah bersabda Rasulullah s.a.w:


 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَات الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

“Daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu, daripada Nabi S.A.W telah bersabda: Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya niscaya engkau beruntung.” 

Diriwayatkan oleh al-Bukhari (3/242), Muslim (2/1086), Abu Dawud (2047), an—Nasaa’i (6/68) dan Ibnu Majah (1858)


Ciri-Ciri Pasangan Untuk Calon Isteri/Suami Menurut Islam

Read More

Isnin, April 22, 2013





Cinta adalah indah! Itulah kurniaan tuhan pada hambaNya untuk menikmati spiritual yang menghapuskan segala resah dan kesah. Kita bukan akan membicarakan tentang kisah cinta asmara. Tetapi kita akan membicarakan sesuatu yang jauh lebih mulia dari sekadar cinta. Kita akan menusuri kisah cinta oleh mereka yang pernah menikmatinya. Cinta itu akan membuatkan mereka lupa pada segala jenis cinta yang lain.

Cinta pada ilmu!

Ia tidak pernah menolak cinta seseorang, tidak menjauh ketika didekati. Ia selalu akrab, selalu dekat. Ia adalah sesuatu yang dicari oleh pahlawan, pencinta kejayaan dan pengkagum karya. Bersamanya kita akan diajak ke puncak kejayaan, meniti kemuliaan dan naik menuju tangga kejayaan. Kemuliaan cinta itu tidak hanya pada perasaan mendalaminya, bahkan dijanjikan Allah bagi mereka yang mengejarnya.

Firman Allah, maksudnya:
“… Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman diantara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.”
                                                                                           (Surah al-Mujadalah:11)
Rasulullah bersabda, maksudnya:
“Barang siapa dikehendaki oleh Allah suatu kebaikan, maka ia akan diberi-Nya kefahaman terhadap agama.”

Rasulullah bersabda, maksudnya:
“Barang siapa keluar rumah untuk menuntut ilmu, maka dia berada di jalan Allah sampai ia kembali ke rumahnya.”
Rasulullah bersabda, maksudnya:
“Barang siapa menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memberi kemudahan baginya menuntut syurga.”
Rasulullah bersabda, maksudnya:
“Dunia dan segala isinya dilaknat, kecuali orang yang berzikir kepada Allah, orang yang memiliki ilmu serta orang yang belajar.”

Serta banyak ayat al-Quran, Hadith, kata-kata sahabat Ridwanullah dan kalam ulamak menunjukkan kelebihan ilmu. Inilah cinta yang dapat membuatkan seseorang terbuai dengan cinta ilmu melebihi cinta lainnya.


Bagaimana untuk mencintai ilmu?

Beberapa tempoh yang lalu, saya menghadiri tazkirah buat para penuntut ilmu yang disampaikan oleh Syeikh Mustafa Syaibani, a’lim yang berasal negara Mauritania. Beliau membangkitkan rasa semangat dan bara untuk mencintai ilmu buat para penuntut dengan mendekatkan diri dengan segala bentuk ilmu dan tidak ketinggalan walau sehari. Sempat beliau menitipkan tips untuk mengekalkan ilmu didada.

1. Usaha
Berusaha untuk berdampingan dengan buku, majlis ilmu dan a’lim ulamak. Berusaha untuk mengisi masa dengan sesuatu yang menghasilkan input baru dalam minda.

2. Berdoa
Berdoa secara jelas memohon dengan penuh rendah diri. Jika inginkan difasihkan berbahasa arab, pinta secara jelas supaya difasihkan berbahasa arab dan sebagainya. Juga berdoa supaya ilmu itu kekal dalam ingatan dan bermanfaat.

3. Mengulangi apa yang dipelajari
Ulangi bacaan walau hanya sepotong hadith. Syeikh juga memberi contoh supaya mengulangi apa-apa yang dibaca dalam setiap perjalanan kita samaada ke masjid mahupun ke kelas. Setiap ulangan itu bisa terpaut dalam ingatan.

4. Berbincang bersama teman
Setelah menuntut ilmu atau membaca, kongsikan bersama teman atau mengulangkaji bersama supaya apa yang dilazimi kekal dalam ingatan kita. Sempat juga Syeikh memesan supaya ilmu-ilmu itu dijadikan bahan bualan.

5. Beramal dengan ilmu yang dimiliki
Abadikan ilmu yang dituntut dengan mengamalkannya serta menyebarkan kepada umat. Inilah praktikal sebenar yang harus dilalui oleh setiap penuntut ilmu. Tidak sempurna teori ilmu yang dipelajari tanpa mengamalkannya.

Itulah wasiat Syeikh Mustafa Syaibani buat para penuntut ilmu. Jadikan ulama lalu yang begitu gigih untuk menuntut ilmu sebagai pengobat luka semangat. Moga-moga cinta ilmu itu mampu menambahkan cinta kita kepada si Pencipta cinta!

Oleh:
Hafiz Othman
Fiqh wa Usul
Universiti Yarmouk



Bagaimana Dan Siapa Yang Anda Cintai?

Read More