Memaparkan catatan dengan label Masa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Masa. Papar semua catatan

Khamis, Februari 13, 2014

Beberapa tempoh yang lalu, saya menghadiri tazkirah buat para penuntut ilmu yang disampaikan oleh Syeikh Mustafa Syaibani, a’lim yang berasal negara Mauritania. Beliau membangkitkan rasa semangat dan bara untuk mencintai ilmu buat para penuntut dengan mendekatkan diri dengan segala bentuk ilmu dan tidak ketinggalan walau sehari. Sempat beliau menitipkan tips untuk mengekalkan ilmu didada.

1. Usaha

Berusaha untuk berdampingan dengan buku, majlis ilmu dan a’lim ulamak. Berusaha untuk mengisi masa dengan sesuatu yang menghasilkan input baru dalam minda.

2. Berdoa

Berdoa secara jelas memohon dengan penuh rendah diri. Jika inginkan difasihkan berbahasa arab, pinta secara jelas supaya difasihkan berbahasa arab dan sebagainya. Juga berdoa supaya ilmu itu kekal dalam ingatan dan bermanfaat.

3. Mengulangi apa yang dipelajari

Ulangi bacaan walau hanya sepotong hadith. Syeikh juga memberi contoh supaya mengulangi apa-apa yang dibaca dalam setiap perjalanan kita samaada ke masjid mahupun ke kelas. Setiap ulangan itu bisa terpaut dalam ingatan.

4. Berbincang bersama teman

Setelah menuntut ilmu atau membaca, kongsikan bersama teman atau mengulangkaji bersama supaya apa yang dilazimi kekal dalam ingatan kita. Sempat juga Syeikh memesan supaya ilmu-ilmu itu dijadikan bahan bualan.

5. Beramal dengan ilmu yang dimiliki

Abadikan ilmu yang dituntut dengan mengamalkannya serta menyebarkan kepada umat. Inilah praktikal sebenar yang harus dilalui oleh setiap penuntut ilmu. Tidak sempurna teori ilmu yang dipelajari tanpa mengamalkannya.

Itulah wasiat Syeikh Mustafa Syaibani buat para penuntut ilmu. Jadikan ulama lalu yang begitu gigih untuk menuntut ilmu sebagai pengubat luka semangat. Moga-moga cinta ilmu itu mampu menambahkan cinta kita kepada si Pencipta cinta!





Belajar Bagaimana Untuk Mencintai Ilmu

Read More

Isnin, Februari 04, 2013



Malam ini pendek saja.

Bayangkan kita mempunyai sebuah akaun yang memberikan kita RM86,400 setiap subuh.

Tapi akaun ini tidak membawa baki ke hari esok. Apa yang tidak dapat dihabiskan hari ini, akan dihapuskan pada waktu malam.

Apa yang kita akan buat?

Sudah tentu kita akan mengeluarkan setiap sen daripada akaun tersebut tiap-tiap hari sebelum malam.

Betul tak?

.........
.........
.........

Sebenarnya Allah telah memberikan setiap kita, satu akaun bank yang sebegitu.

Akaun itu bernama 'MASA'.

Setiap subuh, Allah memberikan kita 86,400 saat untuk digunakan.

Pada setiap malam, masa yang tidak dilaburkan untuk perkara berfaedah akan dilupuskan setiap malam.

Ia tidak berbaki. Ia tidak berhutang.

Apa yang hilang, adalah kehilangan pada kita sendiri kerana tidak melaburkan hadiah yang diberikan Allah tiap-tiap hari dengan baik.

Kita tidak boleh mengambil kembali masa yang hilang. Kita juga tidak boleh meminjam masa daripada hari 'esok'.

Duit (Masa) yang ada hari ini perlu dihabiskan dalam hari ini. Oleh itu, laburlah pada perkara-perkara yang memberikan kesihatan, kegembiraan dan kejayaan.

Jam tengah berjalan. Gunalah sebaiknya anugerah Allah itu.

Senyum


Merenungi masa yang meninggalkan kita

Read More

Rabu, Mac 28, 2012

    Selesai membaca artikel yang menceritakan tentang pengasas syarikat Google yang di asaskan oleh dua sahabat Larry Page dan Sergey Brin yang sama-sama belajar di Stanford University, USA pada tahun 1995. Bertitik mula dari impian untuk menghasilkan sesuatu yang boleh memberi maklumat dalam beberapa minit maka terhasillah enjin carian Google.


Dengan perkembangan google hari ini sebagai enjin carian di internet yang terbesar, pantas dan tepat telah mencetus fenomena dunia baru. Hinggakan di kalangan masyarakat Malaysia sendiri terpengaruh dengan arus pemodenan dunia semasa. Professor Google ataupun Syeikh Google menjadi sinonim dengan masyarakat kerana bermula angan-angan dua pemuda tersebut yang mahu menghasilkan sesuatu yang boleh memberi maklumat dalam beberapa saat.

Seiring dengan kemajuan internet, satu langkah bijak harus di ambil bagi setiap pengguna kerana ramai yang mula beralih perhatian sehinggakan masa yang diluangkan di internet lebih lama berbanding untuk perkara-perkara berfaedah. Bagaimanakah cara untuk menangani masalah ini? Hanya dengan memanfaatkan internet, maka perkara ini dapat di tangani.

Namun, ramai yang tidak mampu dan tidak tahu bagaimana untuk memanfaatkan internet. Disini saya sertakan beberapa cara atau tip sebagai langkah kita sama-sama untuk memanfaatkan internet seterusnya memanfaatkan setiap masa seharian kita.

1. Mereka laman sendiri.

Mengikut statistik di Malaysia, media baru internet telah mencatat statistik terbanyak pengguna berbanding televisyen dan akhbar. Ini menyaksikan bahawa kecenderungan masyarakat terhadap mencari maklumat di internet dan sebagainya di laman maya. Justeru, dengan mereka laman sendiri atau lebih popular dengan blog, mampu menyebarkan pelbagai maklumat kepada masyarakat. Bukan sekadar itu sahaja. Malah, dengan menghasilkan laman sendiri, akan membuatkan kita untuk mencari maklumat tambahan sebagai isi dalam penulisan disamping mencungkil bakat penulisan.
Maklumat yang berguna seperti risalah dakwah dan informasi lain dapat disebarkan dengan cara ini disamping mampu untuk menambah sumber kewangan.

2. Mencari peluang perniagaan.

Majoriti masyarakat hari ini cenderung untuk berniaga dan ramai yang kecundang gara-gara tiada publisiti yang meluas. Melalui internet, peluang untuk membina pasaran sangat luas sehingga mampu menyebarluas pasaran ke seluruh dunia. Ini bukan saja memudahkan bahkan memberi peluang yang besar .

Setiap produk yang di pasarkan di internet lebih mudah dan selamat. Selain itu, kita juga mampu menambah skil perniagaan semasa yang seiring dengan kemajuan.

3. Mencari dan menyalur maklumat.

Inilah tujuan asal kepada penciptaan internet. Namun hari ini, fungsi ini tidak begitu meluas kerana ada aplikasi lain yang lebih menarik tetapi melalaikan di internet. Untuk menjayakan cara ini, masyarakat mestilah mempunyai kecenderungan untuk mengkaji sesuatu. Kecenderungan ini akan membentuk semangat ingin tahu yang akan membuatkan anda untuk menggunakan pelbagai alat untuk memenuhi kecenderungan itu.
Dengan hasil kajian yang dilakukan boleh disalurkan kembali untuk memenuhi pengetahuan semasa yang akan memanfaatkan orang lain.

Terdapat banyak cara lain lagi untuk memanfaatkan internet mengikut kepada keperluan diri. Saban hari, semakin banyak ruang maya internet dipenuhi dengan pelbagai laman sosial, pornografi, permainan dan lain-lain yang dilihat makin melalaikan dan meruntuhkan akhlak masyarakat. 


Justeru, kita harus bijak dalam memanfaat setiap genap waktu yang ada sebelum tiba masanya kita pergi meninggalkan segala yang ada didunia.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Oleh:
Hafiz Othman

Universiti Yarmouk, Jordan

Memanfaatkan Internet

Read More