Guru saya di KUIS, ustaz Mohd Khafidz Soroni dari Jabatan Quran Sunnah & Institut
Kajian Hadis (INHAD) ada menulis :
Terdapat sebuah hadis yang sering
digunakan bagi menggalakkan masyarakat Islam menceburi bidang perniagaan. Hadis
tersebut dicatatkan oleh Imam al Ghazali (w.505H) di dalam kitabnya yang
terkenal, Ihya' 'Ulumuddin. Beliau hanya menukilkan daripada kitab Qutb Al-Qulub
oleh Abu Talib al Makki (w.386H). Hadisnya berbunyi :
عليكم بالتجارة فإن فيها تسعة اعشار الرزق
"Berniagalah
kamu kerana sembilan persepuluh punca rezeki adalah dalam perniagaan"
Bila kita pandai memasak, orang kata
kenapa tak buka restoran. Bila kita pandai menjahit, orang kata kenapa tak buka
kedai. Bila kita petah berkata, orang kata kenapa tak buka konsultan. 9/10
adalah punca rezeki, Nabi s.a.w. kata 9/10 rezeki datang dari perniagaan.
Islam amat amat menggalakkan umatnya
untuk berniaga kerana dengan berniaga dapat mengubah hidup seseorang dari
kehidupan yang biasa-biasa kepada kehidupan yang "luar biasa". Ramai
diantara tokoh-tokoh korporat yang kaya raya semuanya adalah seorang peniaga.
Dengan izin Allah. Malah Nabi kita juga merupakan seorang peniaga. Isteri
baginda s.a.w., Siti Khadijah juga merupakan seorang peniaga yang kaya raya.
Sebuah kisah yang sangat masyhur ingin
saya kongsikan disini. Pada suatu ketika Madinah dilanda musim kemarau. Di
tengah-tengah masyarakat tersebar khabar kehadiran kafilah milik Abdul Rahman
bin Auf r.a. yang membawa barangan berupa makanan, buah-buahan dan pakaian.
Para peniaga kota Madinah berpusu-pusu mendatangi kafilah Abdul Rahman untuk
membeli barang-barang tersebut.
Mereka bertanya kepada Abdul Rahman,
"Apakah engkau akan menjual semua ini?" Abdul Rahman menjawab,
"Ya." Mereka berkata lagi, "Juallah barang-barang kamu kepada
kami dan kami akan memberimu keuntungan sebanyak dua kali ganda. Setiap satu
dirham akan kami bayar dua dirham."
Abdul Rahman berkata, "Maaf, aku
telah menemui pihak yang boleh membayar lebih besar daripada jumlah yang kamu
tawarkan."
Mendengar jawapan Abdul Rahman, para
peniaga tersebut membuat tawaran lagi kepada Abdul Rahman. "Baiklah, kami
akan membayar tiga kali ganda kepadamu." Abdul Rahman menjawab lagi,
"Maaf, aku telah menemui pihak yang boleh membayar lebih besar daripada
jumlah yang kamu tawarkan itu." Mendengar jawapan tersebut, mereka terus
membuat tawaran, "Kami akan membayar kamu empat kali ganda." Namun
sekali lagi Abdul Rahman menjawab, "Maaf, aku telah menemui pihak yang
boleh membayar lebih besar daripada jumlah yang kamu tawarkan."
Para peniaga Madinah itu akhirnya
putus asa dengan jawapan Abdul Rahman tersebut lalu berkata, "Kami ini
adalah peniaga Madinah dan tidak ada orang yang mampu membayar lebih besar
daripada kami." Abdul Rahman menjawab, "Sesungguhnya Allah telah
memberikan bayaran yang lebih besar kepadaku dari atas langit. Sebagaimana firman
Allah:
"Bandingan (derma) orang-orang
yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah sama seperti sebiji benih
yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi
seratus biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang
dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu
pengetahuan-Nya." (al-Baqarah : 261)
Abdul Rahman lalu berkata, "Allah
akan membayar kepadaku lebih dari tujuh ratus kali ganda, bahkan sehingga
gandaan yang tidak terkira. Aku bersaksi di hadapan kamu semua, di hadapan
Allah, dan para malaikat-Nya bahawa semua barang ini aku sedekahkan di jalan
Allah. Aku tidak akan menerima satu dirham atau satu dinar pun daripada
barang-barang ini."
Para peniaga itu pun beredar
meninggalkan Abdul Rahman yang kemudian menyedekahkan semua barang dagangannya
kepada orang-orang miskin. MasyaAllah betapa dermawannya sifat sahabat baginda
s.a.w. Keyakinan beliau terhadap Allah s.w.t bahawa rezeki itu datangnya hanya
daripada Allah s.w.t. sangat jitu.
Allah s.w.t. telah memberi jalan buat
setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh
menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Antaranya :
1. Menyempatkan diri beribadah
2. Memperbanyak istighfar
3. Meninggalkan perbuatan dosa
4. Sentiasa mengingati Allah
5. Berbakti dan mendoakan ibubapa
6. Berbuat baik dan menolong orang
yang lemah
7. Menunaikan hajat orang lain
8. Perbanyakkan berselawat
9. Berbuat banyak kebajikan
10. Berpagi-pagi
11. Menjalin silaturrahim
12. Melazimi kekal berwudhuk
13. Bersedekah
14. Melazimi solat malam (tahajjud)
15. Melazimi solat dhuha
16. Bersyukur kepada Allah
17. Mengamalkan zikir dan ayat alQuran
18. Berdoa
19. Berikhtiar sehabis baik
20. Bertawakkal
Kesemua yang disebut diatas adalah
amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan memberi
“jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki
dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” [atTalaq : 2-3] Amalan-amalan ini
menjadi asbab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah melimpahi hamba-Nya
dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dan cukup dengan pemberian-Nya.
0 ulasan:
Catat Ulasan