Memaparkan catatan dengan label Kewangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kewangan. Papar semua catatan

Khamis, April 09, 2015



Emas, perak dan wang/duit termasuk kategori zakat asman (الأثمان) iaitu zakat bagi komoditi yang bernilai sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Quran dan Sunnah.

وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنْفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

“Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahulah kepada mereka, (bahawa mereka akan mendapat) siksa Allah”1

Hadith dari Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ صَاحِبِ ذَهَبٍ وَلَا فِضَّةٍ لَا يُؤَدِّي مِنْهَا حَقَّهَا إِلَّا إِذَا كَانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ صُفِّحَتْ لَهُ صَفَائِحُ مِنْ نَارٍ فَأُحْمِيَ عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَيُكْوَى بِهَا جَنْبُهُ وَجَبِينُهُ وَظَهْرُهُ كُلَّمَا بَرَدَتْ أُعِيدَتْ لَهُ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ حَتَّى يُقْضَى بَيْنَ الْعِبَادِ فَيَرَى سَبِيلَهُ إِمَّا إِلَى الْجَنَّةِ وَإِمَّا إِلَى النَّارِ

"Siapa yang mempunyai emas dan perak, tetapi dia tidak membayar zakatnya, maka di hari kiamat akan dibuatkan untuknya seterika api yang dinyalakan di dalam neraka, lalu diseterikakan ke perut, dahi dan punggungnya. Setiap seterika itu dingin, maka akan dipanaskan kembali lalu diseterikakan pula padanya setiap hari-sehari selama lima puluh tahun (di dunia) hingga perkaranya diputuskan. Setelah itu, barulah ia melihat jalannya keluar, adakalanya ke syurga dan adakalanya ke neraka." 2
Riwayat Muslim

Daripada Amru Bin Syu'ib bahawa Nabi SAW bersabda:

ليس في أقل من عشرين مثقالا من الذهب، ولا من مائتي درهم صدقة
Tidak kurang daripada dua puluh mithqal (dinar) daripada emas, tidak pula dua ratus dirham sedekah (zakat)3
Riwayat Abu Ubaid dan Al-Daraqutni


ZAKAT EMAS

Diwajibkan zakat bagi emas yang mencapai nisabnya sebanyak 20 dinar emas.  Sedinar emas semasa bersamaan dengan 4.25 gram. Maka dengan itu,  nisab bagi emas dalam gram adalah sebanyak 4.25g x 20 dinar = 85 gram emas. Jika mencapai berat ini,  maka wajib bagi seseorang akan kewajipan zakat emas. Manakala jika kurang dari jumlah berat ini,  tidak diwajibkan baginya mengeluarkan zakat.4

Berikut adalah formula bagi pengiraan zakat:

▶ Nisab = 85 gram atau lebih
▶ Haul (Kadar) = 2.5%

CONTOH :

Muhammad memiliki simpanan emas sebanyak 205 gram. Harga emas segram ketika itu berharga RM140.8. Selepas mendapati simpanan emasnya telah mencapai tempoh yang diwajibkan zakat, kira zakat yang perlu dikeluarkan oleh Muhammad.

*Berat 205 gram
*Nisab 85 gram
*Haul 2.5%
*Harga RM140.8/gram

205g × 2.5% = 5.125g
5.125g × RM140.8 = RM721.60

Kadar yang diwajibkan zakat RM721.60


ZAKAT PERAK

Perak juga termasuk dalam harta yang dikenakan zakat seperti emas. Sedirham perak semasa bersamaan dengan  2.975 gram. Maka dengan itu,  nisab bagi perak dalam gram adalah sebanyak 2.975g x 200 dirham = 595 gram perak.

Berikut adalah formula bagi pengiraan zakat perak.

▶ Nisab = 595 gram
▶ Haul (Kadar) = 2.5%

CONTOH :

Khadijah memiliki simpanan perak sebanyak 530 gram. Harga perak segram ketika itu berharga RM2.09. Selepas mendapati simpanan emasnya telah mencapai tempoh yang diwajibkan zakat, kira zakat yang perlu dikeluarkan oleh Khadijah.

*Berat 530 gram
*Nisab 595 gram
*Haul 2.5%
*Harga RM2.09/gram

Tidak diwajibkan kerana jumlah simpanan perak tidak mencapai nisab.


Bagi perbahasan mengenai zakat wang kertas/duit akan dibahaskan dalam bab seterusnya kerana terdapat perbahasan yang panjang dikalangan ulama terhadap kewajipannya kerana zakat asman pada zaman Nabi SAW yang digunakan sebagai wang hanya emas dan perak.








[1] Al-Quran, At-Taubah : 34
[2] Muslim, Sahih Muslim, No. 1647
[3] Disahihkan oleh Albani dengan merujuk kitabnya Al-Irwa' Al-Ghilal Fi Takhrij Ahadith Manar As-Sabil, No. 813
[4] Saiduddin Muhammad Al-Kabi, Al-Wajiz Al-Muqaran fi Ahkam Az-Zakat wa As-Siyam wa Al-Hajj, Maktab Al-Islami, Beirut-Lubnan, 2010, Hlm. 28

Pengiraan Zakat Emas dan Perak

Read More

Isnin, Ogos 26, 2013






Guru saya di KUIS, ustaz Mohd Khafidz Soroni dari Jabatan Quran Sunnah & Institut Kajian Hadis (INHAD) ada menulis :

Terdapat sebuah hadis yang sering digunakan bagi menggalakkan masyarakat Islam menceburi bidang perniagaan. Hadis tersebut dicatatkan oleh Imam al Ghazali (w.505H) di dalam kitabnya yang terkenal, Ihya' 'Ulumuddin. Beliau hanya menukilkan daripada kitab Qutb Al-Qulub oleh Abu Talib al Makki (w.386H). Hadisnya berbunyi :

عليكم بالتجارة فإن فيها تسعة اعشار الرزق
"Berniagalah kamu kerana sembilan persepuluh punca rezeki adalah dalam perniagaan"

Bila kita pandai memasak, orang kata kenapa tak buka restoran. Bila kita pandai menjahit, orang kata kenapa tak buka kedai. Bila kita petah berkata, orang kata kenapa tak buka konsultan. 9/10 adalah punca rezeki, Nabi s.a.w. kata 9/10 rezeki datang dari perniagaan.

Islam amat amat menggalakkan umatnya untuk berniaga kerana dengan berniaga dapat mengubah hidup seseorang dari kehidupan yang biasa-biasa kepada kehidupan yang "luar biasa". Ramai diantara tokoh-tokoh korporat yang kaya raya semuanya adalah seorang peniaga. Dengan izin Allah. Malah Nabi kita juga merupakan seorang peniaga. Isteri baginda s.a.w., Siti Khadijah juga merupakan seorang peniaga yang kaya raya.

Sebuah kisah yang sangat masyhur ingin saya kongsikan disini. Pada suatu ketika Madinah dilanda musim kemarau. Di tengah-tengah masyarakat tersebar khabar kehadiran kafilah milik Abdul Rahman bin Auf r.a. yang membawa barangan berupa makanan, buah-buahan dan pakaian. Para peniaga kota Madinah berpusu-pusu mendatangi kafilah Abdul Rahman untuk membeli barang-barang tersebut.

Mereka bertanya kepada Abdul Rahman, "Apakah engkau akan menjual semua ini?" Abdul Rahman menjawab, "Ya." Mereka berkata lagi, "Juallah barang-barang kamu kepada kami dan kami akan memberimu keuntungan sebanyak dua kali ganda. Setiap satu dirham akan kami bayar dua dirham."

Abdul Rahman berkata, "Maaf, aku telah menemui pihak yang boleh membayar lebih besar daripada jumlah yang kamu tawarkan."

Mendengar jawapan Abdul Rahman, para peniaga tersebut membuat tawaran lagi kepada Abdul Rahman. "Baiklah, kami akan membayar tiga kali ganda kepadamu." Abdul Rahman menjawab lagi, "Maaf, aku telah menemui pihak yang boleh membayar lebih besar daripada jumlah yang kamu tawarkan itu." Mendengar jawapan tersebut, mereka terus membuat tawaran, "Kami akan membayar kamu empat kali ganda." Namun sekali lagi Abdul Rahman menjawab, "Maaf, aku telah menemui pihak yang boleh membayar lebih besar daripada jumlah yang kamu tawarkan."

Para peniaga Madinah itu akhirnya putus asa dengan jawapan Abdul Rahman tersebut lalu berkata, "Kami ini adalah peniaga Madinah dan tidak ada orang yang mampu membayar lebih besar daripada kami." Abdul Rahman menjawab, "Sesungguhnya Allah telah memberikan bayaran yang lebih besar kepadaku dari atas langit. Sebagaimana firman Allah:

"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (al-Baqarah : 261)

Abdul Rahman lalu berkata, "Allah akan membayar kepadaku lebih dari tujuh ratus kali ganda, bahkan sehingga gandaan yang tidak terkira. Aku bersaksi di hadapan kamu semua, di hadapan Allah, dan para malaikat-Nya bahawa semua barang ini aku sedekahkan di jalan Allah. Aku tidak akan menerima satu dirham atau satu dinar pun daripada barang-barang ini."

Para peniaga itu pun beredar meninggalkan Abdul Rahman yang kemudian menyedekahkan semua barang dagangannya kepada orang-orang miskin. MasyaAllah betapa dermawannya sifat sahabat baginda s.a.w. Keyakinan beliau terhadap Allah s.w.t bahawa rezeki itu datangnya hanya daripada Allah s.w.t. sangat jitu.
Allah s.w.t. telah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Antaranya :

1. Menyempatkan diri beribadah
2. Memperbanyak istighfar
3. Meninggalkan perbuatan dosa
4. Sentiasa mengingati Allah
5. Berbakti dan mendoakan ibubapa
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
7. Menunaikan hajat orang lain
8. Perbanyakkan berselawat
9. Berbuat banyak kebajikan
10. Berpagi-pagi
11. Menjalin silaturrahim
12. Melazimi kekal berwudhuk
13. Bersedekah
14. Melazimi solat malam (tahajjud)
15. Melazimi solat dhuha
16. Bersyukur kepada Allah
17. Mengamalkan zikir dan ayat alQuran
18. Berdoa
19. Berikhtiar sehabis baik
20. Bertawakkal

Kesemua yang disebut diatas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan memberi “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” [atTalaq : 2-3] Amalan-amalan ini menjadi asbab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dan cukup dengan pemberian-Nya.



Strategi Menjemput Rezeki

Read More

Isnin, Mac 26, 2012

Baru-baru ini saya di sapa oleh seorang teman semasa di kolej. Agak janggal kerana tiba-tiba disapa oleh beliau yang saya anggap sebagai kakak yang kurang mesra dengan saya. Dalam perbincangan secara maya itu, saya disoal berkenaan dengan pelaburan dinar Iraq (IQD) yang pernah mencetuskan banyak peluang pelaburan. 

Jika anda membuat kajian, anda akan dapati setiap kali konflik besar akan dituruti oleh kejatuhan matawang sesebuah negara. Matawang juga akan kembali melonjak apabila negara itu bangun dari kehancuran akibat
peperangan.

Hari ini Iraq sedang aktif membina kembali simpanan rezab asingnya. Ini adalah kunci kepada kekuatan tukaran asing sesuatu matawang. Langkah pertama mereka ialah mendepositkan USD5 bilion dengan Perbendaharaan Amerika, membolehkan Iraq menikmati pulangan melebihi USD150 juta setahun.

Jumlah hutang Iraq kepada dunia semakin mengecil. Amerika Syarikat sendiri telah melupuskan semua hutang Iraq sama ada hutang sebelum perang atau pun hutang selepas perang. Perjanjian Paris juga menyaksikan kebanyakan negara termasuk Rusia telah melupuskan 85% hutang Iraq kepada mereka.

Iraq bukan hanya kaya dengan sumber asli minyak dan gas. Kedudukannya yang strategik, mengalir antaranya dua sungai penting, Tigris dan Euphrates, membentuk tanah luas yang subur. Pelaburan dalam bidang pertanian semakin bercambah menyebabkan Iraq disebut-sebut sekali lagi sebagai “Periuk Nasi” Timur Tengah.


Pandangan Shariah 

Jika pembelian matawang ini melalui internet secara ‘tempahan' dan akan sampai kepada pembeli dalam beberapa hari. Menurut kefahaman saya, pembelian matawang Iraq adalah HARAM. Perlu difahami bahawa Nabi SAW telah meletakkan syarat dalam pembelian jual beli emas, perak termasuk sesama matawang ; pihak penjual mestilah menerima wang belian dan pihak pembeli mestilah menerima matawang yang di ingininya pada masa yang sama atau dalam satu ‘majlis aqad'. (Sila rujuk http://www.zaharuddin.com/ untuk kefahaman lanjut tentang syarat ini).

Bagaimanapun, dalam hal ini, sekiranya anda membeli (menukar) Ringgit Malaysia anda kepada Dinar Iraq itu; apa yang akan berlaku adalah anda akan membayarnya sekarang iaitu melalui kredit kad atau cash dan lain-lain. Kemudian, anda hanya akan menerimanya dalam masa beberapa hari atau jam selepas itu. Tatkala itu, penangguhan yang tidak dibenarkan oleh Islam telah berlaku, ianya termasuk dalam kategori Riba Nasiah.

Walaupun demikian, sekiranya anda boleh membelinya secara tidak bertangguh seperti menukar matawang di Kaunter Pengurup. Ketika itu, pembelian ini adalah sah dan tiada Riba berlaku. Ini agak sukar di gambarkan kerana ibu pejabat syarikat maya yang menjual Dinar Iraq ini berada di USA dan Hong Kong.


Selain isu Riba, satu lagi sudut Shariah yang di pertimbangkan adalah hal spekualsi berlebihan dan judi. Tidak saya nafikan bahawa kebanyakan Majlis Penasihat Bank-Bank Islam di seluruh dunia memfatwakan pembelian matawang oleh pihak Bank-bank islam dan menyimpannya untuk dijual kemudiannya bagi memperolehi untung adalah di haruskan. Mereka menyebut bahawa spekulasi ini tidak samapi ke tahap judi dan masih berada di tahap yang diharuskan. Unsur ‘gharar'nya pula adalah kecil. Unsur perjudian juga tiada, kerana ianya bukannya seratus peratus dibuat atas dasar ‘nasib' tetapi adalah berdasarkan kaji selidik, ilmu yang benar dan analisa terperinci atau secara mudahnya disebut sebagai hasil analisa risiko dan peluang perniagaan.

Walaupun demikian, saya berpandangan :-
Setiap individu yang ingin membeli mestilah juga mengkaji dan mempunyai ilmu tentang peluang, potensi dan risiko pembeliannya bagi memastikan pembeliannya berbeza dengan satu perjudian yang didasari nasib semata-mata. 


Jika dilihat menurut ‘Maqasid Shariah' atau objektif Shariah pula. ADALAH TIDAK HARUS untuk seseorang yang kurang berkemampuan untuk membeli set dinar tadi walaupun harganya RM 720 sahaja. Ini kerana dibimbangi ada umat Islam yang terlampau yakin maka, sanggup bergolok gadai dan membahayakan diri bagi membeli Dinar ini sehingga hilang kemampuannya untuk menyara saraan wajib terhadap anak, isteri dan keluarga. Dalam hal ini, hukum 'gharar' (ketidaktentuan) sudah menjadi amat besar dan hukum judi telah jatuh kepada si pembeli. Ini bermakna , hukum 'judi' dalam 'spekulasi' Forex jenis ini bergantung juga kepada kemampuan individu. Bagi sesetengah individu yang berada, membeli RM 720 adalah tidak memberikan apa-apa mudarat kepada tanggungan wajibnya. Maka tika, itu, elemen ‘gharar' akan berkurangan tidak sampai tahap haram. Berbanding seorang yang kurang berkemampuan yang menggadaikan kewajibannya, dengan harapan dinar itu akan naik pada satu masa yang tidak diketahui. Ia sudah jatuh dalam tahap judi. wallahu a'lam.


Beberapa Pertimbangan lain

1) Anda perlu memastikan bahawa anda membeli duit Iraq yang asli. Di bimbangi andaditipu lalu membeli yang tiruan lalu anda memiliki wang yang tidak laku di mana-mana.

2) Perlulah mendapatkan pandangan undang-undang dari Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti agar anda tidak terjebak dalam sebarang masalah kelak.

3) Dinar Iraq versi lama kerap kali ditukar kepada versi baru. Saya mengingatkan hal ini diambil berat dan di pastikan sendiri oleh pembeli Dinar Iraq ini. Ini kerana, atas kelalaian seseorang sahaja, Dinarnya boleh luput tanpa sebarang ganti. Perlu diingat juga, bagaimana untuk anda yang sibuk bekerja untuk mengetahui bahawa Dinar yang anda miliki sudah di tukar versinya ?.

4) Saya juga difahamkan bahawa ada pihak yang menjualnya menggunakan cara ‘Multi Level Marketing', jika ini benar, maka hukumnya pastinya berlainan dari apa yang disebut di atas. Ini kerana, beberapa pertimbangan lain perlu dinilai semula.

Akhirnya, pastikanlah ianya disahkan oleh undang-undang dan sah juga dari sudut Shariah. Menurut Shariah seseorang harus untuk membeli Dinar ini tetapi dengan syarat mestilah dengan ilmu dan analisa dan terima serahnya dilakukan dalam satu masa. Ini bermakna, anda perlu mendapatkannya di kaunter jualan di Kuala Lumpur atau mana jua untuk membeli set dinar Iraq itu secara ‘by hand'. Tidak dibenarkan membeli menggunakan pos dan apa jua cara yang menjadikan penyerahannya tertangguh.

Perlu dingat juga bahawa lapangan pelaburan FOREX seperti ini adalah luas dan berisiko tinggi, menurut pakar, ‘trend' dan strategi yang berkesan pada satu masa lalu tidak semestinya terpakai dan sesuai dalam keadaan sekarang. Ianya juga amat sukar diramal dengan tepat.

Pandangan Syariah tersebut adalah bersumber dari www.zaharuddin.net/ .

Dinar Iraq: Berfikir sebelum melabur

Read More