Pertama : Pemuda yang siap siaga untuk menyahut seruan
perjuangan tanpa sebarang rasa ragu bagi menegakkan syariat Allah swt di atas
muka bumi ini. Ikrar mereka ialah ikrar seorang pejuang :
"Sama ada menang atau gugur sebagai syuhada’"
Kedua : Pemuda yang menjunjung segala peraturan dan arahan
jamaah serta berdiri teguh bersama kepimpinannya, tidak gentar mendepani
cabaran malah bersedia menghadapi apa jua implikasi perjuangan, biarpun
terpaksa mengorbankan segala kepentingan diri sendiri iaitu masa, tenaga,
harta, darah dan nyawa. Sebagaimana taujihat Khalid Ibnu Walid r.a. ketika
berdepan dengan tentera musuh:
"Kami datang dengan suatu golongan yang kasih kepada
mati sebagaimana kamu kasih kepada hidup"
Ketiga : Pemuda yang memiliki kualiti dan tahap piawaian
melalui pelbagai aktiviti yang disusun dan diatur merangkumi amal tarbawi, amal
siasi serta amal kebajikan dan dakwah.
Keempat : Pemuda yang mewarisi kemuliaan akhlak Rasulullah
saw dalam mengurus perjuangan mendepani tahaddiyat [ tentangan ] yang dihadapkan
oleh musuh kepada kita. Bukan pemuda yang kasar dan ganas, bukan juga pemuda
yang ekstrim dan subversif sebaliknya menjadi:
o Pemuda yang beriman dan bertaqwa
o Pemuda yang berilmu dan berwibawa
o Pemuda yang berorientasikan syariah dan sunnah
o Pemuda yang berhemah dan berhikmah
o Pemuda yang berjiwa besar dan berlapang dada
o Pemuda yang tangkas dan berani
o Pemuda yang cerdas dan cergas
o Pemuda yang sabar dan tabah
o Pemuda yang amanah dan setia
o Pemuda yang rajin dan multazim [ komited ]
Biarpun masyarakat dan dunia modern hari ini memandang sinis
penampilan pemuda yang sedemikian , justeru Nabi saw pernah bersabda:
Islam telah bermula dalam keadaan gharib [asing], kelak ia
akan kembali menjadi asing sebagaimana ia bemula, maka berbahagialah orang-orang yang tetap bersama Islam walaupun dianggap asing.
Kelima : Pemuda yang memiliki aqidah perjuangan yang mantap
sekalipun ia adalah seorang pemain futsal yang tegar , memiliki pemikiran Islam
yang syumul sekalipun ia seorang seniman dan memiliki keperibadian muslim yang
unggul sekalipun ia seorang pelumba motor.
Keenam : Pemuda yang bersedia untuk menjadi Rijaalut
Taghyiir [ agent perubah ] yang menggerakkan perubahan dalam negara, masyarakat
dan sistem pemerintahannya. Membebaskan negara dan masyarakat dari sistem
ciptaan manusia yang korup. Negara dan masyarakat yang hanya mementingkan
pembangunan material tetapi meruntuhkan spiritual. Negara dan masyarakat yang
hanya mengamalkan semangat perkauman yang sempit dan membina tamaddun serta peradaban
terpisah dari wahyu Allah swt.
Ketujuh : Pemuda yang aktif menyertai aktiviti amal Islami,
kebajikan dan sosial. Menghubungkan jamaah dengan ummah, menjadi jambatan
antara jemaah dengan masyarakat sekaligus menjuarai isu serta menanganinya dengan
bijak dan bistari. Memimpin dan membimbing masyarakat secara hikmah berasaskan
hujjah, mengambil tempat seorang pemimpin yang disebut oleh Saidina Ali
karramallahuwajhah :
Tidak akan sunyi bumi ini dari seorang pemimpin yang bangun
berdiri untuk menegakkan agama Allah swt dengan segala hujjahnya.
Kelapan : Pemuda yang tidak membazirkan masa dan tenaganya
untuk bertelagah dan saling tuding menuding mencari salah antara satu sama lain
sedang tanggungjawab perjuangan ini terlalu banyak dan berat untuk diurus.
Rapatkan saff dan eratkan ukhuwwah untuk membina ketumbukan pemuda yang mantap
dan perkasa. Firman Allah swt :
"Dan Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan
janganlah kamu berbantah-bantahan ; kalau tidak nescaya kamu binasa dan hilang
kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi Segala kesukaran Dengan cekal hati);
Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang sabar."
(Surah Al Anfaal : Ayat 46)
Kesembilan : Pemuda yang senantiasa peka dan sensitif
terhadap keperluan jamaah dan tuntutan ummah. Berfikir dan merancang untuk
memperkukuhkan jamaah agar senantiasa berkeupayaan menampung tuntutan ummah
yang semakin mendesak. Janganlah hanya berpeluk tubuh dan berfikiran kosong
sedang amanah pula semakin berat dan mencabar. Sekadar selesa dan teruja
memegang jawatan tetapi mengabaikan tanggungjawab yang digalas merupakan satu
pengkhianatan yang dimurkai Allah swt. Sabda Rasulullah saw:
"Kamu semua adalah pemimpin dan setiap dari kalangan
kamu akan dipertanggungjawabkan oleh Allah swt mengenai kepimpinannya"
Kesepuluh : Pemuda yang berlapang dada, merendah diri dan
berjiwa besar. Sedia memberi arahan dan diarah. Sedia memimpin dan dipimpin.
Sedia menegur dan ditegur. Sedia mengkritik dan dikritik. Sedia menasihati dan
dinasihati. Sedia mentarbiyyah dan ditarbiyyah. Cepat pula belajar dari
kesilapan dan pantas mengambil iktibar dari kesalahan. Sedia mendengar
pandangan dari siapa jua dan menelitinya lalu mengambil yang terbaik. Firman
Allah swt :
"Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan Yang
sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan Yang sebaik-baiknya (pada
segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang Yang diberi hidayah petunjuk oleh
Allah dan mereka itulah orang-orang Yang berakal sempurna."(Surah Az Zumar
: Ayat 18)
0 ulasan:
Catat Ulasan