Khamis, Februari 13, 2014

Belajar Bagaimana Untuk Mencintai Ilmu

Beberapa tempoh yang lalu, saya menghadiri tazkirah buat para penuntut ilmu yang disampaikan oleh Syeikh Mustafa Syaibani, a’lim yang berasal negara Mauritania. Beliau membangkitkan rasa semangat dan bara untuk mencintai ilmu buat para penuntut dengan mendekatkan diri dengan segala bentuk ilmu dan tidak ketinggalan walau sehari. Sempat beliau menitipkan tips untuk mengekalkan ilmu didada.

1. Usaha

Berusaha untuk berdampingan dengan buku, majlis ilmu dan a’lim ulamak. Berusaha untuk mengisi masa dengan sesuatu yang menghasilkan input baru dalam minda.

2. Berdoa

Berdoa secara jelas memohon dengan penuh rendah diri. Jika inginkan difasihkan berbahasa arab, pinta secara jelas supaya difasihkan berbahasa arab dan sebagainya. Juga berdoa supaya ilmu itu kekal dalam ingatan dan bermanfaat.

3. Mengulangi apa yang dipelajari

Ulangi bacaan walau hanya sepotong hadith. Syeikh juga memberi contoh supaya mengulangi apa-apa yang dibaca dalam setiap perjalanan kita samaada ke masjid mahupun ke kelas. Setiap ulangan itu bisa terpaut dalam ingatan.

4. Berbincang bersama teman

Setelah menuntut ilmu atau membaca, kongsikan bersama teman atau mengulangkaji bersama supaya apa yang dilazimi kekal dalam ingatan kita. Sempat juga Syeikh memesan supaya ilmu-ilmu itu dijadikan bahan bualan.

5. Beramal dengan ilmu yang dimiliki

Abadikan ilmu yang dituntut dengan mengamalkannya serta menyebarkan kepada umat. Inilah praktikal sebenar yang harus dilalui oleh setiap penuntut ilmu. Tidak sempurna teori ilmu yang dipelajari tanpa mengamalkannya.

Itulah wasiat Syeikh Mustafa Syaibani buat para penuntut ilmu. Jadikan ulama lalu yang begitu gigih untuk menuntut ilmu sebagai pengubat luka semangat. Moga-moga cinta ilmu itu mampu menambahkan cinta kita kepada si Pencipta cinta!





0 ulasan: