Selasa, September 04, 2012

Perbezaan Wasiat dan Faraid

WASIAT

Wasiat berasal dari perkataan “wassa” yang bermaksud menghubungkan atau menyampaikan kebaikan yang dilakukan oleh seseorang semasa hidupnya dengan ganjaran pahala selepas dia meninggal dunia.

Dari segi istilahnya, menurut mazhab Syafie wasiat ialah pemberian suatu hak yang boleh dilaksanakan selepas berlakunya kematian pewasiat sama ada dengan menggunakan lafaz ataupun tidak. Manakala beberapa fuqaha’ lain mentakrifkan wasiat sebagai suatu pemberian oleh seseorang kepada pihak yang lain sama ada benda, hutang atau manfaat untuk dimiliki oleh penerima wasiat akan pemberian tersebut selepas kematian pewasiat.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibubapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa” 
(Surah Al-Baqarah Ayat 180)

Rasulullah s.a.w juga menggalakkan umatnya yang mempunyai harta agar dapat melakukan wasiat semasa hidupnya.


“Seseorang muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiatnya di sisinya”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Image



“Allah telah memberikan bahagian setiap orang yang berhak. Maka tiada wasiat untuk waris”

(Riwayat at Tarmizi)


Image


“Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain”
 (Riwayat Abu Daud) 



FARAID

Manakala faraid adalah berbentuk jama' faridhah yang memberi maksud pembahagian serta kalimat al-faridhah adalah berbentuk maf'ul yang bererti sesuatu yang telah ditentukan, disebutkan demikian kerana bahagian-bahagian ahli waris telah ditentukan syarak. Ilmu faraid adalah ilmu pembahagian harta warisan.

Ilmu faraid juga disebut ilmu mawarith. Kalimat al-Irts adalah kalimat yang mempunyai erti hidupnya seseorang ketika selainnya meninggal, dimana yang hidup mengambil hal-hal yang ditinggalkan oleh si mati

Istilah fiqh, ertinya adalah sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati baik berupa harta mahupun hak-hak lain yang kemudiannya akan dimiliki oleh para ahli waris sesuai dengan yang ditetapkan syarak.

Begitulah serba ringkas perbezaan wasiat dan faraid. 


Oleh:
Hafiz Othman
Fiqh dan Usul Fiqh
Universiti Yarmouk, Jordan.

0 ulasan: