Khamis, Ogos 13, 2015

Enam Peringkat Penciptaan Nabi Adam A.S


Muqaddimah

Nabi Adam A.S adalah Bapa Manusia yang merupakan manusia pertama yang diciptakan Allah SWT dan tinggal di syurga dalam beberapa tempoh sebelum diturunkan ke dunia selepas memakan buah dari pokok yang dilarang.

Nama Adam disebut sebanyak 25 kali didalam Al-Quran di pelbagai surah yang menjelaskan kisah-kisah bermula dari penciptaannya dari tanah sebagai penciptaan manusia pertama hinggalah kepada kisah pergaduhan anak-anaknya. Di dalam hadith Rasulullah disebut juga beberapa kisah tentang Nabi Adam A.S antaranya ketika perbualan Adam dan Musa A.S.


Proses Penciptaan Adam A.S

1. Peringkat Pertama: Dicipta dari pelbagai jenis tanah bumi (تراب)

Firman Allah SWT:
 اِنَّ مَثَلَ عِيسَى عِنْدَ اللَّهِ كَمَثَلِ ءادَمَ خَلَقَهُ مِنْ تُرَابٍ ثُمَّ قَالَ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ  [59]

"Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: Jadilah engkau! maka menjadilah ia." (Ali 'Imran : 59)

Maksud tanah didalam ayat tersebut dijelaskan oleh Rasulullah SAW:

(عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى خَلَقَ آدَمَ مِنْ قَبْضَةٍ قَبَضَهَا مِنْ جَمِيعِ الأرْضِ فَجَاءَ بَنُو آدَمَ عَلَى قَدْرِ الْأَرْضِ فَجَاءَ مِنْهُمْ الْأَحْمَرُ وَالْأَبْيَضُ وَالْأَسْوَدُ وَبَيْنَ ذَلِكَ وَالسَّهْلُ وَالْحَزْنُ وَالْخَبِيثُ وَالطَّيِّبُ)

Maksudnya: "Dari Abu Musa al-Asya'ari RA, dari Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah menciptakan Adam dari genggaman yang di ambil dari seluruh bumi, lalu anak keturunan Adam datang sesuai dengan kadar (tanah), di antara mereka ada yang (berkulit) merah, putih dan hitam. Dan diantaranya pula ada yang ramah, sedih, keji dan baik." [HR At-Tirmidhi. No. Hadith 2879]

Terdapat rahsia yang tersirat dari penciptaan manusia yang pelbagai warna dan sifat kerana kepelbagaian penciptaan Adam dari pelbagai jenis tanah dunia. Maka dengan itu, lahirlah manusia yang mempunyai perbezaan rupa kulit, sifat dan tabiat semula jadi, dan pelbagai lagi sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW.

2. Peringkat Kedua: Dicipta dari tanah liat  (طين)

Peringkat seterusnya selepas diciptakan dari pelbagai jenis tanah dunia, maka tanah tersebut di campurkan dengan air hingga menjadi tanah liat (طين) sebagaimana firman Allah:

إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِنْ طِينٍ [71]

"(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah." (Şād : 71)

Proses ini boleh diumpamakan seperti pelbagai jenis tepung yang di adun dalam satu bekas. Kemudian tepung tersebut ditambahkan dengan air hingga menjadikan tepung tersebut menjadi pejal. Dengan sebab penciptaan Adam AS yang melalui proses inilah, maka iblis ingkar untuk bersujud kepadanya kerana merasakan penciptaan iblis dari api yang hitam lebih baik dari penciptaan Adam AS dari tanah yang dicampur dengan air sebagaimana di firmankan oleh Allah SWT:

 [12] قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ

"Allah berfirman: "Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?" Menjawab iblis "Saya lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan saya dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah." (Al-'A`rāf : 12)
 
Maka berlakulah pengingkaran pertama oleh makhluk ciptaan Allah SWT dan iblis dilaknat selamanya.


3. Peringkat Ketiga: Dicipta dari tanah liat yang pekat (طين لازب)

Setelah pelbagai jenis tanah tadi dicampur dengan air, dalam beberapa tempoh selepas itu terhasillah tanah liat yang pekat (طين لازب) yang menjadikan ia sebagai peringkat ketiga penciptaan Adam yang menjadikan ia kukuh.

Firman Allah SWT:
[11] فَاسْتَفْتِهِمْ أَهُمْ أَشَدُّ خَلْقًا أَمْ مَنْ خَلَقْنَا ۚ إِنَّا خَلَقْنَاهُمْ مِنْ طِينٍ لَازِبٍ

"Maka tanyakanlah kepada mereka (musyrik Mekah): "Apakah mereka yang lebih kukuh kejadiannya ataukah apa yang telah Kami ciptakan itu?" Sesungguhnya Kami telah menciptakan mereka dari tanah liat." (Aş-Şāffāt:11)


4. Peringkat Keempat: Dicipta dari tanah liat kering yang hitam (صلصال من حماء)

Seterusnya tanah liat pekat tadi berubah menjadi tanah liat kering yang berwarna hitam (صلصال من حماء) dan diberikan bentul oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya:

[14] وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِنْ صَلْصَالٍ مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ



"Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk," (Al-Ĥijr : 28) 


5. Peringkat Kelima: Diciptakan dari tanah liat yang dibakar (صلصال كالفخار)


Firman Allah SWT:
[14] خَلَقَ الْإِنْسَانَ مِنْ صَلْصَالٍ كَالْفَخَّارِ

"Dia menciptakan manusia dari tanah kering seperti tembikar." (Ar-Raĥmān:14)

Didalam ayat ini, Allah SWT menggunakan perumpamaan tanah liat kering seperti tembikar bukanlah bermaksud Adam AS itu berbentuk seperti tembikar selepas proses pembentukan peringkat keempat. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan (صلصال كالفخار) adalah tanah liat yang dibakar sebagai salah satu proses pembentukan ciptaanNya yang berasal dari tanah. 

Seperti pembuatan tembikar yang bermula dari tanah liat, kemudian dibentuk dan dikeringkan. Maka untuk menguatkan lagi struktur tembikar, kebiasaannya ia akan dibakar untuk menghasilkan tembikar yang berkualiti tinggi dan kukuh. 


Pengkhabaran Allah Kepada Malaikat

Sebelum Adam A.S diciptakan secara sempurna, Allah SWT mengkhabarkan kepada malaikat bahawa Dia akan mencipta Adam AS sebagai khalifah di bumi untuk memerintah dunia. Perbualan ini berlaku ketika peringkat kelima penciptaan Adam selepas dibentuk dari tanah liat yang dibakar melalui firman Allah SWT:
 وَ إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّيْ جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيْفَةً قَالُوْا أَتَجْعَلُ فِيْهَا مَن يُفْسِدُ فِيْهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَ نَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَ نُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّيْ أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُوْن [30]

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya."  (Al-Baqarah : 30)


6. Peringkat Keenam: Ditiupkan Ruh

 Apabila telah selesai penciptaan tersebut, maka Allah meniupkan ruh yang membangkitkan Adam sebagai manusia bernyawa dan Allah SWT memerintahkan makhluk lain untuk sujud kepadanya.

Firman Allah SWT:
[72] فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِنْ رُوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ


"Maka apabila telah Ku sempurnakan kejadiannya dan Ku tiupkan kepadanya roh (ciptaan) Ku; maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya." (Şād : 72) 


Demikianlah proses dan peringkat penciptaan Adam Alaihissalam sebagaimana yang dikhabarkan oleh Allah SWT melalui kalam Al-Quran. Bagaimana pula proses penciptaan isteri Adam Alaihissalam (Hawa)? InshaAllah akan dijelaskan dalam penulisan seterusnya.


0 ulasan: