Jumaat, Ogos 21, 2015

Pengalaman Itu Pendidikan

20 Ogos 2015 / Jordan


Pagi ini keluar dari rumah sekitar jam 9.30 pagi dengan niat untuk ke Amman kerana ingin menyelesaikan urusan cop bagi sijil dukturah Dr Ahmad Yusuf (Phd Univ. Yarmouk) yang diwakilkan kepada saya ke Wizarah Khorijiah (Kementerian Luar Jordan) dan Education Malaysia Jordan (EMJ) di Amman yang jaraknya melebihi 2 marhalah dengan menaiki bas. Justeru, oleh kerana ingin bermusafir, saya singgah bersarapan pagi di kedai makan melayu di sini dan sempat menyuap mee goreng bersama telur mata kerbau.

Alhamdulillah, selesai makan terus ke hadapan universiti untuk menaiki servis ke stesen bas dan menaiki bas langsung ke stesen bas di Amman. Kira-kira tiba jam 12 tengahari, saya terus menahan teksi dan memberitahu untuk ke Syari' Wakalat (Wakalat Street) yang dimaklum sebelum datang terdapat Qisim Tasdiq bagi Kementerian Luar jordan.

Tapi malangnya pemandu teksi tersebut tidak tahu terdapat qisim Kementerian Luar di situ kerana bangunan utama Kementerian Luar Jordan terletak dijalan menuju ke lapangan terbang yang agak jauh dan memakan masa dan kos. Justeru saya tetap nak ke Syari' Wakalat tersebut dan ingin bertanya pada orang di kawasan tersebut.

Selepas seorang ditanya terus bertanya kepada orang lain. Tuan kedai, penjaga valet parking, pencuci rambut di salon dan beberapa orang yang lalu lalang. Semuanya tidak tahu kewujudan qisim Tasdiq tersebut disitu. Kemudian terus bertanya kepada dua orang polis trafik yang kebetulan berhenti di situ namun jawapannya sama.

Lantas menahan teksi dan terus ke bangunan utama Kementerian yang sedikit jauh. Tambahan susah untuk dapatkan pengangkutan balik sama ada teksi atau bas. Bahkan ada destinasi lain untuk dituju selepas itu. Maka terus meminta teksi tersebut tunggu dan bersetuju untuk membayar lebih.

Apabila masuk ke kementerian, terus bertanya ke kaunter lantas penjaga itu berkata bukan di sini tempat untuk cop dan dia menulis alamat yang perlu dituju.

Tercatat alamat dalam bahasa arab: Shameisani, Berdekatan Kementerian Air, Qisim Tasdiq. Belakang Hotel Marriot.

Allah.

Perlu berpatah balik bahkan makin jauh. Terus berlari ke teksi yang menunggu seperti baru menerima check point baru untuk dituju seperti babak 'The Amazing Race' yang selalu tersiar di NTV7 satu ketika dulu.

Lepas memaklum pada pemandu, dia bersetuju untuk ke alamat yang diberi. Memandangkan agak jauh, kami makin rancak bersembang. Dia juga punya pendapat bahawa inilah realiti sebenar negara arab. Datang ke kaunter, disepak ke tingkat 2. Tiba ke tingkat 2 dilontar ke tingkat atas. Tiba di tingkat atas, disuruh turun ke tingkat bawah. Akhir sekali 'bukroh' (datang esok)! Kami berdua berfikiran yang sama. Bukan kami sahaja, bahkan sesiapa saja yang punya pengalaman di tanah arab begitu.

Itulah realiti di negara arab.

Setiba di alamat yg diberikan, saya terus berlari masuk ke pejabat dan menuju ke kaunter memandangkan masih berbaki 30 minit sebelum ditutup pada jam 2.30 petang. Bertemu mata dengan penjaga kaunter dan menyerahkan dokumen-dokumen yang ingin di cop. Sekali lagi wayang yang sama berulang. Dikatakan pula bahawa bukan cop Kementerian Luar, tetapi kementerian Pengajian Tinggi.

Hati mula terasa bahang panas sepanas cuaca ketika itu. Sedikit melawan dengan bahasa yang masih beradab. Tapi dinafikan juga oleh pihak kementerian yang bermalasan kerja itu sambil merokok dan bersembang. Lantas saya ke kaunter sebelah dan menegaskan bahawa saya inginkan cop Kementerian Luar dan bukan Kementerian Pengajian Tinggi. Tapi tetap dinafikan seperti sawarikh (roket-roket) buatan pejuang al-Qassam yang dilancarkan ke Israel tetapi dipatahkan oleh 'Iron Dome' Israel. Hinggakan hampir ditenangkan oleh pengawal yang berjaga disitu.

Kemudian saya duduk sebentar untuk tenangkan diri dan keluar kerana tiada apa-apa urusan yang berbaki memandangkan mereka tidak mahu mengecop dokumen yang dibawa.

Setiba diluar bangunan, saya mengeluarkan telefon dan menangkap beberapa keping gambar bangunan tersebut dan terus menahan beberapa teksi untuk terus ke EMJ tetapi kesemuanya dipenuhi orang. Apabila tiada lagi teksi yang melalui kawasan tersebut, saya memutuskan untuk ke Sweileh dan mewakilkan kepada individu lain untuk menguruskan dokumen tersebut memandangkan jam sudah hampir jam 2.30 petang keran EMJ dimaklum tutup jam 3 petang pada hari ini (khamis).

Untuk ke Sweileh, saya berfikir lebih baik untuk menaiki koaster (bas kecil) yang lebih menjimatkan berbanding teksi tetapi perlu berjalan hingga ke jalan besar yang agak jauh.


Intermission (macam cerita Hindustan)


Setiba sahaja di tempat menunggu, tiba-tiba tangan kanan saya dipegang kasar dan dilipat ke belakang oleh seseorang. Manakala leher saya dikunci oleh lengan seseorang sambil memegang tangan kiri. Sambil tenangkan diri, saya tidak melawan. Mengawal nafas dan perasaan supaya tidak berlaku apa-apa.

Kemudian salah seorang dari mereka mengarahkan untuk mengikuti mereka kerana dua individu tersebut adalah Mukhabarat (special branch a.k.a SB Jordan) yang berpakaian biasa. Mereka membawa saya ke sebuah kereta Lancer merah yang agak lama. Saya duduk dikerusi belakang. Tiba-tiba enjin tidak dapat dihidupkan dan kedua-dua SB tersebut menolak kereta tersebut ke stesen minyak yang kira-kira 50 meter dihadapan untuk di jet bateri.

Lantas saya dibawa ke balai Polis Amman Tengah (Shamesani) dan dibawa masuk ke bahagian risikan di tingkat bawah tanah. Beg yang mengandungi buku Fiqh Muqaran, buku nota, buku nota kecil dan al-Quran bersaiz poket beserta pen-pen yang biasa digunakan dihari kuliah. Telefon saya dirampas. Iqamah juga diambil.

Ketika itu terdapat 3 individu yang digari tangannya kebelakang dan mengadap ke dinding sambil berdiri. Barangkali itu adalah salah satu bentuk denda kebiasaan. Saya disoal. Soalan yang kerap ditanya adalah dimana kamera?

Saya kehairanan. Belum pernah saya keluarkan duit membeli kamera seumur hidup kecuali kamera telefon bimbit. Setelah lama disoal, barulah dimaklum bahawa kamera yang dimaksudkan adalah kamera telefon kerana kesalahan saya mengambil beberapa gambar di bangunan Kementerian Luar Jordan! Luar biasa.

Saya tunjukkan gambar tersebut. Apabila disoal, pantas saya menjawab jujur untuk memudahkan urusan. Maka laporan dibuat. Sambil menunggu ketika itulah tiga pesalah yang digari tadi ditampar hampir tiga kali tanpa sebab.

Aduh... Bukan sakit, tapi pedihnya terasa sesiapa yang mendengar.

Kemudian satu tendangan hinggap dipaha seorang lagi pesalah yang digari itu. Masa itu saya membayangkan bagaimana agaknya diakhirat nanti. Setiap tumbukan, sepakan, tamparan dan tendangan si abang polis semuanya akan dihisab!

Justeru saya berpesan.

Wahai abang-abang, acik-acik dan tok-tok polis. Pastikanlah setiap apa tindakan yang dibuat keatas pesalah samaada mendera atau sebagainya adalah berlandaskan ajaran Islam. Islam meletakkan garis panduan yang amat indah hatta dengan penjenayah. Walaupun mereka penjenayah yang disabit kesalahan, kesalahan mereka akan dihukum dengan hukuman tertentu. Bukannya dengan tumbukan dan sepak terajang yang disengajakan!

Berbalik kepada kisah asal, laporan saya siap ditaip. Saya dihantar ke bahagian polis biasa kerana didapati kesalahan yang dilakukan tidak begitu serius barangkali.

Setiba di balai polis, saya ditempatkan di lokap. Dilokap bersaiz 1.5 meter x 2 meter itu dikongsi dengan 9 orang tertuduh lain yang mungkin masih belum disabit kesalahan. Kesemuanya perokok. Anehnya mereka diizinkan merokok dan makan dilokap tersebut. Jika tiada, pekerja kantin akan datang untuk mengambil pesanan. Hebat!

Saya hanya berdiam dan terus menunggu. Mungkin hanya sejam ditahan. Jam menunjukkan pukul 4 petang. Tapi masih belum ada apa-apa tindakan oleh pegawai yang mengurus. Saya mula mengeluarkan buku yang dibawa kerana akan periksa pada 24hb nanti.

Jam berganti jam hinggalah jam 7 malam. Masih belum ada sebarang urusan untuk dikeluarkan.

Justeru saya terus meminta untuk solat jamak asar dan zohor. Selesai solat, saya diberi tempat baru di bilik seorang pegawai yang mempunyai 3 bintang dibahunya. Pastinya berpangkat inspektor. Lama kemudian terdengar azan maghrib. Ramai pegawai yang datang menyoal. Tetapi selepas itu dibiarkan. Al-Quran pula dibuka memandangkan saya perlu tasmek satu juz sehingga selasa depan. Sambil-sambil itu, sesekali berlatih juga lafaz menerima akad nikah memandangkan sebulan sahaja lagi akan bernikah. Mungkin ketika itu lebih berdegup kencang agaknya. Tiba-tiba perut mula bergema.

Lapar...

Jam 8. 11 malam. Inspektor tersebut menerima panggilan yang saya tidak dengar perbualan. Tetapi mungkin berbentuk arahan untuk dilepaskan saya. Alhamdulillah. Benar apa yang difikirkan. Saya dibawa bertemu ketua balai di pejabatnya. Lepas mendapatkan sainnya barang barang saya dipulangkan.

Alhamdulillah.

Kemudian saya terus ke masjid dihadapan balai tersebut dan solat jamak maghrib dan isyak. Selesai solat, saya bergegas ke Sweileh untuk mewakilkan pada sahabat bagi urusan yang tidak selesai itu. Atas kekangan peperiksaan yang bermula pada 22, 23 dan 24 haribulan ditambah dengan tasmek al-Quran yang berbaki maka itu mungkin dapat membantu.

Sempat saya membeli sandwish syawarma dan air untuk mengisi perut sebelum menerus tujuan pulang ke Irbid yang memakan masa 1.30 minit. Dengan menaiki servis (kereta ulang-alik) adalah satu-satunya pengangkutan yang ada. Hampir 30 minit baru dapat dipenuhkan 4 penumpang maka kereta bergerak jam 9.50 dari Sweileh.

Kira-kira 15 minit kemudian, jelas dihadapan saya satu dentuman kuat kereta yang saya naiki melanggar kereta dihadapan yang berhenti tiba-tiba untuk mengelak dari melanggar van yang tiba-tiba muncul dari simpang tanpa signal. Marah pakcik driver servis tersebut. Bertambah marah apabila van yang jelas kesalahannya melarikan diri tanpa dapat dikesan.
Lama kemudian, perjalanan diteruskan hinggalah tiba di Irbid jam 11.25 malam dan sambut tetamu yang datang ke rumah.

Alhamdulillah. Selamat semuanya.

Sebagai pesanan dari apa yang berlaku hari ini, saya gariskan beberapa perkara;

1. Jangan menangkap gambar sebarangan terutama tempat yang diletakkan larangan mengambil gambar seperti kedutaan Amerika, balai polis, mukhabarat dan tempat-tempat yang sensitif dalam sesebuah negara.

2. Tidak agresif dan takut apabila ditahan dan disoal siasat. Yakin bahawa anda tidak bersalah.

3. Buat mahasiswa Jordan, jangan dihanyutkan dengan ujian kejatuhan nilai matawang yang menimpa hinggakan tidak mengambil cakna tentang isu persekitaran. Hanya kita sahaja yang terkesan dengan kejatuhan tersebut, bagi seluruh rakyat Jordan, mereka langsung tidak ambil kisah. Bahkan mereka masih risau dengan ISIS dan ancaman pengeboman ke atas mall-mall dan agensi kerajaan. Kerana itulah agak ketat dan tegas apabila mengambil gambar bangunan kementerian luar tersebut.

4. Berlaku baiklah pada siapa jua dan tawarkan perkhidmatan terbaik dalam kita menjalankan kerja seharian kerana setiap pekerjaan itu adalah amanah yang diletakkan kepada kita. Kita juga akan menuai hasil melalui gaji yang diterima. Justeru pastikan gaji kita halal dengan sikap amanah dan khidmat terbaik kita.

5. Mukhabarat Jordan adalah bahagian risikan yang menerima latihan dan teknologi dari Amerika. Bahkan mukhabarat Jordan adalah bahagian risikan yang terbaik dirantau arab berbanding negara arab lain. Justeru, moga semua hati-hati kerana autoriti mereka juga lebih besar malah boleh mengarahkan kita tamat pengajian tanpa sebab.

Itu sahaja.

Moga Allah Redha segala pengalaman ini.

*Gambar 1 adalah gambar balai polis yang ditahan manakala gambar 2 adalah gambar kereta selepas kemalangan yang kedua-duanya kabur dek masih trauma untuk snap gambar.





 Gambar 1;

Gambar 2; 





0 ulasan: