Sabtu, Ogos 15, 2015

Adab Menghadiri Majlis Perkahwinan


1. Wajib hadir apabila dijemput

Apabila sesuatu jemputan diterima, maka hendaklah hadir melainkan sekiranya ada halangan yang menghalang untuk hadir.

Daripada Abdullah ibn Umar bahawa Rasulullah bersabda: "Datanglah menunaikan jemputan apabila kamu dijemput kepadanya." [HR Bukhari, No. Hadith 5179]

2. Niat

Niatkan kehadiran kita sebagai ibadah dan memenuhi hak sesama Muslim kerana setiap perbuatan yang diniatkan sebagai ibadah kepada Allah, pasti ada ganjaran pahala yang sentiasa mengalir termasuk dalam setiap langkah kita ke majlis tersebut.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Kattab beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu." [HR Bukhari, No. Hadith 1]

Daripada Anas Bin Malik, Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang inginkan rezekinya diluaskan dan dipanjangkan usianya, maka jalinkanlah hubungan silaturrahim (dengan ihsan).” [HR Bukhari, No. Hadith 5527 dan Muslim, No. Hadith 4638]

3. Menutup aurat

Memakai pakaian yang menutup aurat dan sopan samaada lelaki mahupun wanita.

Rasulullah menegur, “Wahai Asma’, sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah didatangi haid (mencapai usia baligh), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu melainkan ini dan ini” – sambil menunjukkan muka dan dua tapak tangannya” [HR Abu Daud, No. Hadith 3580]

4. Menjaga adab-adab makan

Umar Bin Abu Salamah menceritakan bahawa Rasulullah bersabda: “Wahai ghulam (pemuda), sebutlah nama Allah (Bismillah), makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah hidangan yang dekat denganmu.” [HR Bukhari, No. Hadith 4957]

Anas Bin Malik menceritakan, “Nabi melarang orang itu minum sambil berdiri” Kemudian kami bertanyakan Anas berkenaan makan sambil berdiri. Anas menjawab, “Itu lebih buruk lagi!” [HR Bukhari dan Muslim]

Abu Hurairah menyatakan, “Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Sekiranya beliau suka, Baginda memakannya. Sekiranya tidak, Baginda meninggalkannya.” [HR Bukhari, No. Hadith 4989 dan Muslim, No. Hadith 3844]

5. Mendoakan kebahagiaan pengantin 

Rasulullah apabila memberi ucapan selamat kepada orang yang sudah menikah, Baginda berdoa:

“Semoga Allah memberi keberkatan kepadamu, semoga Allah memberi keberkatan ke atasmu dan semoga Allah himpunkan kalian dalam kebaikan.” [HR Abu Daud, No. Hadith 1819]


6. Mendoakan tuan rumah atas sajian

Daripada Abdullah Bin Busr yang bapanya pernah menyediakan makanan untuk Nabi. Kemudian bapanya itu menjemput Rasulullah makan. Rasulullah memenuhi undangan beliau dan selesai makan, Rasulullah berdoa:

“Ya Allah, ampunilah mereka, sayangilah mereka dan berikanlah keberkatan pada makanan yang Engkau anugerahkan untuk mereka.” [HR Ahmad, No. Hadith17013]



0 ulasan: