Jumaat, Disember 09, 2011

Amalan Ketika Berlaku Gerhana




Firman Allah dalam ayat 38 – 40 surah Yaasiin

Maksudnya: Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita; Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui; Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya – (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering. (Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.
Kejadian gerhana bulan mengajak kita untuk menambahkan lagi keimanan tentang kehebatan dan kekuasaan Allah Subhanahu Wata’ala sebagai Pentadbir seluruh alam, segala peredaran cakerawala, bumi, bulan, matahari dan seumpamanya. Peredaran bulan dan matahari yang teratur setiap hari secara berganti-ganti, matahari beredar di waktu siang, manakala bulan beredar di waktu malam adalah atas kudrat dan iradat Allah Subhanahu Wata’ala jua. Ia mempunyai hikmat dan tujuan tersendiri antaranya bagi tujuan membolehkan manusia untuk bekerja pada siang hari dengan mudah dan pada malam hari pula dapat berehat dan bermunajat kepada Allah dengan tenang.

Pergerakan matahari dan bulan yang teratur dan tetap juga dapat digunakan oleh manusia untuk dijadikan kalendar tahunan samada berdasarkan pergerakan matahari bagi kalendar Masihi dan mengikut peredaran bulan bagi taqwim Hijrah. Oleh itu setiap kejadian yang berlaku termasuk gerhana bulan pada malam ini adalah untuk mengetuk hati kita agar bersyukur dan mengingati Allah sepanjang masa dan tempat. Kita sentiasa diminta agar berfikir tentang kejadian alam ciptaan Allah dalam mengenali sifat-sifat Allah dan juga mengakui diri kita sebagai hamba yang serba lemah



AMALAN KETIKA GERHANA

إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّهُمَا آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهَا فَصَلُّوا

Maksudnya:
Sesungguhnya matahari dan bulan tidak mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kehidupannya (kelahirannya). Tetapi, kedua-duanya adalah dua tanda antara tanda-tanda (kebesaran) ALLAH. Apabila kamu semua melihat kedua-duanya (mengalami gerhana) maka dirikanlah solat.
( Riwayat al-Bukhari )


ULASAN HADIS:


Gerhana bulan adalah apabila bumi melindungi bulan dari cahaya matahari sehingga menyebabkan bulan kelihatan gelap. Gerhana matahari pula adalah apabila bulan melindungi bumi dari matahari sehingga bumi menjadi gelap seketika kerana tidak menerima cahaya dari matahari. Namun kejadian gerhana ini hanyalah merupakan di antara tanda-tanda kebesaran ALLAH yang mentadbir seluruh alam. Apabila terjadi gerhana bulan mahupun matahari maka disunnahkan bagi kita untuk mengerjakan solat Solat Sunat Gerhana Bulan (Kusuf) dan Gerhana Matahari (Khusuf).

Menerusi sekian banyak hadis berkaitan gerhana, terdapat beberapa perkara sunat yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian gerhana. Di antaranya ialah:

1. Solat dan berdoa.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi”.

2. Berzikir dan beristighfar. 

Abu Musa berkata: “Telah berlaku gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW berdiri dalam keadaan cemas kerana bimbang akan berlaku Kiamat. Lalu Baginda SAW tergesa-gesa pergi ke masjid dan solat dengan berdiri yang terlalu panjang serta rukuk dan sujud yang panjang, yang tidak pernah aku lihat Baginda SAW melakukan seperti itu. Berlindung daripada azab kubur. Diriwayatkan oleh Aisyah ra: “Setelah Nabi SAW selesai menyampaikan khutbah gerhana matahari, maka Baginda SAW memerintahkan para sahabat supaya memohon perlindungan dari azab kubur.”

3. Bersedekah.

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila kalian melihat gerhana, maka hendaklah kalian berdoa kepada ALLAH, mengerjakan solat dan bersedekah.” Memerdekakan hamba. Asma’ ra berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW menyuruh memerdekakan hamba ketika berlaku gerhana matahari. “Dalam satu riwayat: “Gerhana bulan.”

Inilah sunnah Baginda SAW ketika berlakunya peristiwa gerhana bulan atau matahari.

0 ulasan: