Isnin, Mac 26, 2012

Dinar Iraq: Berfikir sebelum melabur

Baru-baru ini saya di sapa oleh seorang teman semasa di kolej. Agak janggal kerana tiba-tiba disapa oleh beliau yang saya anggap sebagai kakak yang kurang mesra dengan saya. Dalam perbincangan secara maya itu, saya disoal berkenaan dengan pelaburan dinar Iraq (IQD) yang pernah mencetuskan banyak peluang pelaburan. 

Jika anda membuat kajian, anda akan dapati setiap kali konflik besar akan dituruti oleh kejatuhan matawang sesebuah negara. Matawang juga akan kembali melonjak apabila negara itu bangun dari kehancuran akibat
peperangan.

Hari ini Iraq sedang aktif membina kembali simpanan rezab asingnya. Ini adalah kunci kepada kekuatan tukaran asing sesuatu matawang. Langkah pertama mereka ialah mendepositkan USD5 bilion dengan Perbendaharaan Amerika, membolehkan Iraq menikmati pulangan melebihi USD150 juta setahun.

Jumlah hutang Iraq kepada dunia semakin mengecil. Amerika Syarikat sendiri telah melupuskan semua hutang Iraq sama ada hutang sebelum perang atau pun hutang selepas perang. Perjanjian Paris juga menyaksikan kebanyakan negara termasuk Rusia telah melupuskan 85% hutang Iraq kepada mereka.

Iraq bukan hanya kaya dengan sumber asli minyak dan gas. Kedudukannya yang strategik, mengalir antaranya dua sungai penting, Tigris dan Euphrates, membentuk tanah luas yang subur. Pelaburan dalam bidang pertanian semakin bercambah menyebabkan Iraq disebut-sebut sekali lagi sebagai “Periuk Nasi” Timur Tengah.


Pandangan Shariah 

Jika pembelian matawang ini melalui internet secara ‘tempahan' dan akan sampai kepada pembeli dalam beberapa hari. Menurut kefahaman saya, pembelian matawang Iraq adalah HARAM. Perlu difahami bahawa Nabi SAW telah meletakkan syarat dalam pembelian jual beli emas, perak termasuk sesama matawang ; pihak penjual mestilah menerima wang belian dan pihak pembeli mestilah menerima matawang yang di ingininya pada masa yang sama atau dalam satu ‘majlis aqad'. (Sila rujuk http://www.zaharuddin.com/ untuk kefahaman lanjut tentang syarat ini).

Bagaimanapun, dalam hal ini, sekiranya anda membeli (menukar) Ringgit Malaysia anda kepada Dinar Iraq itu; apa yang akan berlaku adalah anda akan membayarnya sekarang iaitu melalui kredit kad atau cash dan lain-lain. Kemudian, anda hanya akan menerimanya dalam masa beberapa hari atau jam selepas itu. Tatkala itu, penangguhan yang tidak dibenarkan oleh Islam telah berlaku, ianya termasuk dalam kategori Riba Nasiah.

Walaupun demikian, sekiranya anda boleh membelinya secara tidak bertangguh seperti menukar matawang di Kaunter Pengurup. Ketika itu, pembelian ini adalah sah dan tiada Riba berlaku. Ini agak sukar di gambarkan kerana ibu pejabat syarikat maya yang menjual Dinar Iraq ini berada di USA dan Hong Kong.


Selain isu Riba, satu lagi sudut Shariah yang di pertimbangkan adalah hal spekualsi berlebihan dan judi. Tidak saya nafikan bahawa kebanyakan Majlis Penasihat Bank-Bank Islam di seluruh dunia memfatwakan pembelian matawang oleh pihak Bank-bank islam dan menyimpannya untuk dijual kemudiannya bagi memperolehi untung adalah di haruskan. Mereka menyebut bahawa spekulasi ini tidak samapi ke tahap judi dan masih berada di tahap yang diharuskan. Unsur ‘gharar'nya pula adalah kecil. Unsur perjudian juga tiada, kerana ianya bukannya seratus peratus dibuat atas dasar ‘nasib' tetapi adalah berdasarkan kaji selidik, ilmu yang benar dan analisa terperinci atau secara mudahnya disebut sebagai hasil analisa risiko dan peluang perniagaan.

Walaupun demikian, saya berpandangan :-
Setiap individu yang ingin membeli mestilah juga mengkaji dan mempunyai ilmu tentang peluang, potensi dan risiko pembeliannya bagi memastikan pembeliannya berbeza dengan satu perjudian yang didasari nasib semata-mata. 


Jika dilihat menurut ‘Maqasid Shariah' atau objektif Shariah pula. ADALAH TIDAK HARUS untuk seseorang yang kurang berkemampuan untuk membeli set dinar tadi walaupun harganya RM 720 sahaja. Ini kerana dibimbangi ada umat Islam yang terlampau yakin maka, sanggup bergolok gadai dan membahayakan diri bagi membeli Dinar ini sehingga hilang kemampuannya untuk menyara saraan wajib terhadap anak, isteri dan keluarga. Dalam hal ini, hukum 'gharar' (ketidaktentuan) sudah menjadi amat besar dan hukum judi telah jatuh kepada si pembeli. Ini bermakna , hukum 'judi' dalam 'spekulasi' Forex jenis ini bergantung juga kepada kemampuan individu. Bagi sesetengah individu yang berada, membeli RM 720 adalah tidak memberikan apa-apa mudarat kepada tanggungan wajibnya. Maka tika, itu, elemen ‘gharar' akan berkurangan tidak sampai tahap haram. Berbanding seorang yang kurang berkemampuan yang menggadaikan kewajibannya, dengan harapan dinar itu akan naik pada satu masa yang tidak diketahui. Ia sudah jatuh dalam tahap judi. wallahu a'lam.


Beberapa Pertimbangan lain

1) Anda perlu memastikan bahawa anda membeli duit Iraq yang asli. Di bimbangi andaditipu lalu membeli yang tiruan lalu anda memiliki wang yang tidak laku di mana-mana.

2) Perlulah mendapatkan pandangan undang-undang dari Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti agar anda tidak terjebak dalam sebarang masalah kelak.

3) Dinar Iraq versi lama kerap kali ditukar kepada versi baru. Saya mengingatkan hal ini diambil berat dan di pastikan sendiri oleh pembeli Dinar Iraq ini. Ini kerana, atas kelalaian seseorang sahaja, Dinarnya boleh luput tanpa sebarang ganti. Perlu diingat juga, bagaimana untuk anda yang sibuk bekerja untuk mengetahui bahawa Dinar yang anda miliki sudah di tukar versinya ?.

4) Saya juga difahamkan bahawa ada pihak yang menjualnya menggunakan cara ‘Multi Level Marketing', jika ini benar, maka hukumnya pastinya berlainan dari apa yang disebut di atas. Ini kerana, beberapa pertimbangan lain perlu dinilai semula.

Akhirnya, pastikanlah ianya disahkan oleh undang-undang dan sah juga dari sudut Shariah. Menurut Shariah seseorang harus untuk membeli Dinar ini tetapi dengan syarat mestilah dengan ilmu dan analisa dan terima serahnya dilakukan dalam satu masa. Ini bermakna, anda perlu mendapatkannya di kaunter jualan di Kuala Lumpur atau mana jua untuk membeli set dinar Iraq itu secara ‘by hand'. Tidak dibenarkan membeli menggunakan pos dan apa jua cara yang menjadikan penyerahannya tertangguh.

Perlu dingat juga bahawa lapangan pelaburan FOREX seperti ini adalah luas dan berisiko tinggi, menurut pakar, ‘trend' dan strategi yang berkesan pada satu masa lalu tidak semestinya terpakai dan sesuai dalam keadaan sekarang. Ianya juga amat sukar diramal dengan tepat.

Pandangan Syariah tersebut adalah bersumber dari www.zaharuddin.net/ .

0 ulasan: