Isnin, Ogos 20, 2012

Tatatertib di Hari Raya

Hari Raya disambut meriah di seluruh dunia khususnya di Malaysia kerana mempunyai keunikan yang hanya boleh ditemui di rantau Asia Tenggara iaitu kepelbagaian aneka makanan disediakan khas buat yang bertandang menziarahi sanak-saudara jauh mahupun dekat tanda eratnya silaturrahim sesama muslim. Disamping itu juga Hari Raya diserikan dengan keriangan kanak-kanak yang menerima 'duit raya' disamping bermaaf-maafan di Hari Raya.

Jalan-jalan juga penuh sejak seminggu sebelum raya hingga beberapa hari selepasnya kerana anak-anak perantau pulang ke kampung halaman bertemu ayah bonda serta menziarahi pusara yang jarang-jarang berpeluang mencuri masa pulang ke kampung. Justeru, pastilah ramai sanak-saudara serta sahabat handai yang bakal ditemui mahupun kenal ataupun tidak. Maka, sudah tentu perlu kepada adab-adab dalam menziarahi atau menerima kunjungan ketika berhari Raya. Berikut disenaraikan beberapa tatatertib atau adab berhari-raya.



1. Ketika sibuk pulang ke kampung, berhati-hatilah dijalan raya. Ingatlah orang tersayang. Pastikan semua pintu berkunci dan maklumkan pada jiran tetangga yang tidak pulang. Sediakan keperluan mencukupi samaada dari segi keperluan pakaian raya mahupun kesempurnaan kenderaan. Apalah guna jika menyediakan kuih raya penuh kereta tetapi hancur semuanya jika kenderaan terbabas di pinggir jalan.



2. Satu perkara yang perlu dititip beratkan juga adalah tentang batas-batas pergaulan sesama saudara. Tidak semua orang perlu kita bersalaman sekiranya bertemu saudara-mara. Pastikan dahulu sama ada saudara kita itu ajnabi atau sebaliknya. Perkara ini perlu dipandang berat oleh masyarakat terutama batas aurat. Usah jadikan hari raya, hari yang bebas buat kita.



3. Apabila menerima kunjungan, raikan kunjungan tersebut kerana datangnya keberkatan bersamanya. Satu trend pada hari ini yang kurang enak dipandang dari sudut sosial apatah lagi agama adalah terperap didalam bilik tanpa menjenguk sedikitpun tetamu yang hadir. Amatlah tidak sopan jika hanya ibubapa sahaja yang melayan kunjungan dan ahli rumah lain hanya melayan apabila didatangi oleh tetamu yang dikenali sahaja. Maka seharusnyalah setiap ahli rumah mengalu-alukan kunjungan berkat tersebut.



4. Menziarahi jiran-jiran adalah perlu untuk mengukuhkan jalinan yang telah sekian lama terpupuk. Ambillah sedikit ruang waktu untuk saling mengunjungi bagi mengekalkan keharmonian kejiranan bersama. Mulakan dengan diri anda sebelum meminta orang lain berbuat demikian.



Banyak lagi adab-adab yang perlu ditekankan tetapi cukup sekadar empat perkara tersebut. Peliharalah diri dan juga masyarakat sekeliling semoga semuanya beroleh keredhaan Allah.


Salam Aidilfitri 1433/2012


Hafiz Othman
Universiti Yarmouk, Jordan


0 ulasan: