Ahad, Disember 23, 2012

Ciri-Ciri Manhaj Tarbiyah Islamiyah





Ciri-ciri manhaj tarbiyah Islamiyah di bawah adalah menjadi petanda yang membezakan dan menjarakkannya daripada seluruh falsafah dan ideologi tarbiyah selainnya yang bersifat aqliyah semata-mata;



1- Manhaj yang bersumberkan Islam. Ia mestilah daripada wahyu al-Quran dan al-Hadis. Sekiranya diambil daripada selainnya, maka hendaklah selari dengan kedua-duanya dan diterima akal ke arah maslahat dan kepentingan manusia.


2- Manhaj yang praktikal. Ia bukan sekadar teori dan retorika semata-mata bahkan menjadi satu manhaj yang membina manusia beragama di dalam diri, keluarga, jamaah dan masyarakat secara praktikal dan hidup.

3- Manhaj yang menyeluruh. Ia meliputi segala asas dan tunjang kehidupan, kemudian menjalar kepada segala aktiviti kehidupan. Justeru ia pasti hadir dan menyumbang khidmat kepada setiap aspek kehidupan manusia.

4- Manhaj yang waqi’e dan realiti. Ia mengambil kira dan mengiktiraf keupayaan manusia di dalam perlaksanaan manhajnya. Ia tunduk kepada asas wahyu bahawa tiada taklif yang di luar keupayaan manusia. Justeru ia begitu anjal dan aktif di dalam menerima perubahan semasa selagi ia kekal dalam asas dan nilai agama dan tidak memudaratkan manusia.

5- Manhaj yang saling melengkapi. Ia saling mengikat dan memerlukan. Ia menolak pemisahan di antara juzuk-juzuknya, lalu ia menjadi cacat dan runtuh. Ini kerana binaannya bermula daripada asas-asas yang satu sumbernya. Memisahkannya bererti mencabutnya daripada sumber kekuatannya. Justeru ketika ia membina ruh dan akal, seseorang muslim itu akan cacat tanpa pembinaan jasmani dan akhlak kemasyarakatannya secara serentak.

6- Manhaj yang seimbang. Kekuatan antara juzuknya adalah sama dan selaras dengan tuntutan fitrahnya. Maka ia tidak boleh menjurus kepada pembinaan satu juzuk sehingga meminggirkan juzuk yang lain. Hilang keseimbangan di dalam perlaksanaan manhaj ini akan menyebabkan juzuk yang terbina menyerang dan meruntuhkan juzuk yang terabai. Itulah yang dapat dilihat secara nyata di dalam sistem tarbiyah yang selain daripada Islam.

7- Manhaj yang berperingkat. Ia terlaksana melalui peringkat-peringkat yang mesti diikuti, tidak boleh dialpakan dan tidak boleh diloncati. Ia tunduk kepada binaan fitrah manusia, anjal dan bertindak balas kepada keperluannya dan meraikan keutamaan tertibnya. Justeru sebagai contonya, ia melalui proses tamhid, takrif, takwin, tanfiz dan tamkin sebagaimana diwujudkan dalam manhaj tarbiyah al Ikhwanil Muslimin.

8- Manhaj yang sejagat. Ia adalah manhaj tarbiyah yang sesuai dalam semua keadaan, masa dan tempat. Apa yang dilaksanakan di bumi Arab mungkin saja dilaksanakan dengan jayanya di tempat lain. Ini kerana sumbernya adalah Islam yang di antara ciri agungnya adalah sifat kesejagatannya. Pengambilan sumber selain Islam adalah penyebab kepada kegagalan seluruh sistem tarbiyah yang lain.

9- Manhaj yang ilmiah. Ia tunduk kepada jalan akal di dalam pengajarannya di dalam semua hal.. Ia yang bersumberkan wahyu adalah seiringan dengan ilmu dan akal. Ia tidak mungkin bertentangan kerana wahyu menunjuki akal dan meneranginya. Ia tidak meminggirkan peranan akal bahkan memuliakannya dengancara mengajak manusia menggunakan akal.

10- Manhaj yang positif dan reaktif. Ia menerima taat kepada Allah, cintakan kebaikan dan kesejahteraan serta kesediaan menggempur kejahatan. Ia menolak unsur-unsur negatif daripada merosakkan minda manusia seperti kepercayaan kepada khurafat yang meminggirkan akal. Ia menolak penyembahan sesama manusia dan nafsu syahwat selain menolak taqlid buta di dalam masyarakat yang merencatkan kerancakan akal manusia.




0 ulasan: