Isnin, Ogos 26, 2013

Strategi Menjemput Rezeki






Guru saya di KUIS, ustaz Mohd Khafidz Soroni dari Jabatan Quran Sunnah & Institut Kajian Hadis (INHAD) ada menulis :

Terdapat sebuah hadis yang sering digunakan bagi menggalakkan masyarakat Islam menceburi bidang perniagaan. Hadis tersebut dicatatkan oleh Imam al Ghazali (w.505H) di dalam kitabnya yang terkenal, Ihya' 'Ulumuddin. Beliau hanya menukilkan daripada kitab Qutb Al-Qulub oleh Abu Talib al Makki (w.386H). Hadisnya berbunyi :

عليكم بالتجارة فإن فيها تسعة اعشار الرزق
"Berniagalah kamu kerana sembilan persepuluh punca rezeki adalah dalam perniagaan"

Bila kita pandai memasak, orang kata kenapa tak buka restoran. Bila kita pandai menjahit, orang kata kenapa tak buka kedai. Bila kita petah berkata, orang kata kenapa tak buka konsultan. 9/10 adalah punca rezeki, Nabi s.a.w. kata 9/10 rezeki datang dari perniagaan.

Islam amat amat menggalakkan umatnya untuk berniaga kerana dengan berniaga dapat mengubah hidup seseorang dari kehidupan yang biasa-biasa kepada kehidupan yang "luar biasa". Ramai diantara tokoh-tokoh korporat yang kaya raya semuanya adalah seorang peniaga. Dengan izin Allah. Malah Nabi kita juga merupakan seorang peniaga. Isteri baginda s.a.w., Siti Khadijah juga merupakan seorang peniaga yang kaya raya.

Sebuah kisah yang sangat masyhur ingin saya kongsikan disini. Pada suatu ketika Madinah dilanda musim kemarau. Di tengah-tengah masyarakat tersebar khabar kehadiran kafilah milik Abdul Rahman bin Auf r.a. yang membawa barangan berupa makanan, buah-buahan dan pakaian. Para peniaga kota Madinah berpusu-pusu mendatangi kafilah Abdul Rahman untuk membeli barang-barang tersebut.

Mereka bertanya kepada Abdul Rahman, "Apakah engkau akan menjual semua ini?" Abdul Rahman menjawab, "Ya." Mereka berkata lagi, "Juallah barang-barang kamu kepada kami dan kami akan memberimu keuntungan sebanyak dua kali ganda. Setiap satu dirham akan kami bayar dua dirham."

Abdul Rahman berkata, "Maaf, aku telah menemui pihak yang boleh membayar lebih besar daripada jumlah yang kamu tawarkan."

Mendengar jawapan Abdul Rahman, para peniaga tersebut membuat tawaran lagi kepada Abdul Rahman. "Baiklah, kami akan membayar tiga kali ganda kepadamu." Abdul Rahman menjawab lagi, "Maaf, aku telah menemui pihak yang boleh membayar lebih besar daripada jumlah yang kamu tawarkan itu." Mendengar jawapan tersebut, mereka terus membuat tawaran, "Kami akan membayar kamu empat kali ganda." Namun sekali lagi Abdul Rahman menjawab, "Maaf, aku telah menemui pihak yang boleh membayar lebih besar daripada jumlah yang kamu tawarkan."

Para peniaga Madinah itu akhirnya putus asa dengan jawapan Abdul Rahman tersebut lalu berkata, "Kami ini adalah peniaga Madinah dan tidak ada orang yang mampu membayar lebih besar daripada kami." Abdul Rahman menjawab, "Sesungguhnya Allah telah memberikan bayaran yang lebih besar kepadaku dari atas langit. Sebagaimana firman Allah:

"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya." (al-Baqarah : 261)

Abdul Rahman lalu berkata, "Allah akan membayar kepadaku lebih dari tujuh ratus kali ganda, bahkan sehingga gandaan yang tidak terkira. Aku bersaksi di hadapan kamu semua, di hadapan Allah, dan para malaikat-Nya bahawa semua barang ini aku sedekahkan di jalan Allah. Aku tidak akan menerima satu dirham atau satu dinar pun daripada barang-barang ini."

Para peniaga itu pun beredar meninggalkan Abdul Rahman yang kemudian menyedekahkan semua barang dagangannya kepada orang-orang miskin. MasyaAllah betapa dermawannya sifat sahabat baginda s.a.w. Keyakinan beliau terhadap Allah s.w.t bahawa rezeki itu datangnya hanya daripada Allah s.w.t. sangat jitu.
Allah s.w.t. telah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Antaranya :

1. Menyempatkan diri beribadah
2. Memperbanyak istighfar
3. Meninggalkan perbuatan dosa
4. Sentiasa mengingati Allah
5. Berbakti dan mendoakan ibubapa
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
7. Menunaikan hajat orang lain
8. Perbanyakkan berselawat
9. Berbuat banyak kebajikan
10. Berpagi-pagi
11. Menjalin silaturrahim
12. Melazimi kekal berwudhuk
13. Bersedekah
14. Melazimi solat malam (tahajjud)
15. Melazimi solat dhuha
16. Bersyukur kepada Allah
17. Mengamalkan zikir dan ayat alQuran
18. Berdoa
19. Berikhtiar sehabis baik
20. Bertawakkal

Kesemua yang disebut diatas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan memberi “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” [atTalaq : 2-3] Amalan-amalan ini menjadi asbab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dan cukup dengan pemberian-Nya.



0 ulasan: