Rabu, April 08, 2015

Antara Agama: Syariat Bagi Persetubuhan Dengan Wanita Haid



Al-Quran dan hadith Nabi SAW jelas menunjukkan pengharaman dan larangan bagi persetubuhan antara suami dan isteri ketika haid. (Mereka bertanya kepadamu tentang haidh. Katakanlah: "Haidh itu adalah suatu kotoran". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haid; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci).1

Diriwayatkan oleh Saidatina A'isyah, Nabi bersabda:

كَانَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَأْمُرُنِي فَأَتَّزِرُ فَيُبَاشِرُنِي وَأَنَا حَائِضٌ
Rasulullah SAW pernah menyuruh kepadaku memakai kain dan aku laksanakan lalu beliau menyentuhkan badannya kepadaku sedangkan aku sedang haid.2

Jelas dari dalil tersebut menunjukkan larangan kepada hubungan persetubuhan sahaja dan tidak pada perkara lain bersama wanita haid. Ini berbeza dengan agama Yahudi yang melarang dari umatnya untuk berdampingan dengan wanita yang haid dalam semua sudut termasuk persetubuhan, tinggal bersama dan mengasingkan mereka ketika makan.
Diriwayatkan dari Anas:

أَنَّ اَلْيَهُودَ كَانُوا إِذَا حَاضَتْ اَلْمَرْأَةُ لَمْ يُؤَاكِلُوهَا
Sesungguhnya orang yahudi jika ada seorang perempuan di antara mereka yang haid mereka tidak mengajaknya makan bersama. Maka Nabi SAW bersabda: Kerjakanlah segala sesuatu kecuali bersetubuh.3


Perbezaan Syariat Agama Terhadap Persetubuhan Dengan Wanita Ketika Haid4

YAHUDI

Sebagaimana hadith riwayat daripada Anas yang menyatakan Yahudi Madinah ketika itu menjauhi wanita yang haid kerana badan dan pakaian wanita mereka adalah najis.  Berus mereka (berus yang digunakan untuk membasuh) juga adalah najis. Larangan untuk bernikmat-nikmat bukan hanya pada persetubuhan sahaja tetapi disemua perkara.5

KRISTIAN

Syariat agama Kristian terhadap persetubuhan dengan wanita ketika haid pula adalah halal bagi mereka samaada bernikmat-nikmat dengan anggota lain mahupun melalui faraj. Amalan persetubuhan ketika haid memberikan kesan  dan kemudaratan yang akan dijelaskan selepas ini.

HINDU


Perempuan yang haid adalah kotor dan tidak boleh memasuki kuil Hindu dan mesti menjauhkan diri dari ritual ibadat keagamaan. Tiada larangan bagi mengadakan hubungan persetubuhan.


BUDDHA


Perempuan yang haid adalah dianggap sebagai proses biasa didalam badan. Tiada halangan didalam agama Buddha bagi perempuan haid termasuklah mengadakan hubungan persetubuhan. Namun, terdapat beberapa tokong Buddha yang tidak membenarkan perempuan yang haid memasuki tokong kerana terdapat pada ajaran Hindu Sidharta Gautama Buddha juga berasal dari agama Hindu. 


ISLAM


Islam adalah adalah agama pertengahan diantara amalan melampau dan bermudah-mudahan.  Agama yang adil dalam semua perkara. Haid adalah darah kotor yang mengalir melalui faraj. Maka ianya adalah najis hanya dibahagian faraj. Justeru, diharuskan bernikmat-nikmat dengan wanita yang haid kecuali di bahagian antara lutut dan pusat.

Sabda Nabi SAW:

اِصْنَعُوا كُلَّ شَيْءٍ إِلَّا اَلنِّكَاحَ
Kerjakanlah segala sesuatu kecuali bersetubuh.6


Kesan Persetubuhan Ketika Haid

Kajian telah mendapati bahawa aliran haid mengandungi bahan-bahan toksik yang boleh memudaratkan jika ia masuk ke dalam tubuh lelaki atau dihalang laluan aliran dari tubuh wanita. Ini boleh terjadi apabila mengadakan persetubuhan manakala wanita sedang mengalami kitaran haid. Oleh itu, hubungan intim semasa haid boleh menyebabkan lelaki dan wanita menghidap pelbagai jenis penyakit dan jangkitan penyakit melalui darah hingga membawa maut.7

Malah, ada juga kemungkinan jangkitan terbabit merebak terus ke dalam salur darah dan mengakibatkan kemasukan kuman dalam darah menerusi keadaan dikenali sebagai bacteriaemia, yang boleh menjejaskan kesihatan wanita dan mengakibatkan maut.8

Sebuah kajian melaporkan, menjauhi hubungan persetubuhan ketika haid ataupun ketika mengalami pendarahan di bahagian faraj adalah penting untuk mengurangkan risiko dijangkiti kuman HIV bagi lelaki dan wanita. Laporan itu juga menjelaskan, wanita yang mengadakan hubungan seks ketika haid meningkatkan risiko dijangkiti AIDS sebanyak enam kali ganda.

Kajian yang dilakukan oleh Dr. Winnifield Cutler dan rakan-rakannya dari Institut Athena Bagi Kesihatan Wanita di Chester Springs menunjukkan, wanita yang hampir putus haid atau perimenopausal, yang kerap mengadakan hubungan seks ketika haid sering kali mengalami masalah pendarahan yang teruk daripada biasa.9










1 Al-Quran, Al-Baqarah, 2: 222
2 Bukhari, Sahih Al-Bukhari,  No. Hadith 300 dan Muslim, Sahih Muslim, No. Hadith 293
3 Muslim, Sahih Muslim, No. Hadith 302
4 Abdullah Bin Abdurrahman Al-Bassam, At-Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, Arab Saudi: al-Musthafa, 1989
Leviticus 12:1-6
6 Muslim, Sahih Muslim, No. Hadith 302
7 African Journal of Reproductive Health, Vol. 8, No. 2, Aug. 2004 pp. 55-58
8 Danial Zainal Abidin, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden (Edisi ke-2), PTS Publications & Distributors, 2006 , Hlm. 143
9 Laporan kajian oleh Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (Centers for Disease Control And Prevention) di Amerika, pada Perhimpunan Ke-11 Pertubuhan Antarabangsa Berhubung Penyakit-Penyakit Jangkitan Seksual di New Orleans yang diadakan pada 27 hingga 30 Ogos pada tahun 1995.


0 ulasan: