Selasa, April 07, 2015

Keperluan Mempelajari Perbezaan Agama



Sesungguhnya telah tertulis dalam ayat kitab suci bagi umat Islam kisah-kisah Allah dan Rasul-Nya terhadap anjuran dan seruan supaya umatnya berdialog, berdebat dan bertukar buah fikiran dengan hujah-hujah yang benar.

Allah juga telah menunjukkan contoh yang sangat agung bagi seruan kepada berdialog dan berhujah dalam kisah Allah dengan iblis. Bahkan Allah mengabulkan permintaan iblis untuk terus wujud hingga kiamat.

Didalam sirah juga, kita akan menjumpai kisah yang menunjukkan contoh dialog dan mengutarakan hujah dalam perjalanan menyampaikan seruan dakwah para nabi sebagaimana yang dicatatkan dalam Al-Quran melalui kisah Nabi Nuh A.S (Mereka berkata: "Wahai Nuh! Sesungguhnya engkau telah bertikam lidah membantah kami lalu engkau banyakkan sangat hujah-hujah semasa mengemukakan bantahanmu kepada kami; oleh itu, datangkanlah azab Allah yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar".Hud 11:32) dan Nabi Ibrahim A.S (Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Al-Baqarah 2:258) yang berdialog dan berdebat dengan kaumnya dalam menyampaikan dakwah yang benar.

Nabi Muhammad sebagai pembawa risalah dan qudwah juga menunjukkan kisah realiti baginda berkomunikasi sesama manusia. Pada sirah Nabi, terlihat metod intelek anjuran bagi umatnya berhujah, berdialog dan berdebat secara logik sebagai manusiawi dengan individu lain terutamanya dengan tokoh agama lain sebelum Islam.

Peristiwa hijrah Nabi SAW ke Madinah menjadi titik penting yang jelas dalam membentuk sistem negara yang menerima toleransi masyarakat majmuk pelbagai agama, kaum dan kumpulan. Penerimaan masyarakat Islam terhadap penduduk Yahudi dari kaum Nadhir, Qainuqa' dan Khuraizhah membentuk perlembagaan yang menjamin hak dan kerakyatan pelbagai agama menjadi hujah pengiktirafan Islam terhadap agama lain dalam kewujudan sesebuah masyarakat.

Konteks Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk pelbagai agama, kaum dan etnik adalah menjadi satu keperluan untuk bertoleransi bagi mewujudkan kesepaduan dalam pembinaan negara sebagaimana yang dituntut oleh semua agama terutamanya Islam.

Perbezaan agama mempengaruhi perbezaan cara hidup penganutnya. Justeru, keperluan untuk memahami selain agama yang dianuti juga perlu dalam mengukuhkan hubungan, bertoleransi dan menghormati hak-hak mereka sebagai warganegara Malaysia.

Hari ini, ilmu berkenaan perbezaan agama menjadi satu cabang ilmu yang penting. Hinggakan tiada satu universiti di timur mahupun barat yang tidak mempunyai subjek perbezaan agama. Kesedaran masyarakat dunia terhadap keperluan toleransi agama dalam memelihara keamanan menjadikan ia cabang ilmu penting dalam pendidikan setiap individu terutamanya pelajar pengajian Islam dan teologi.

Maka dengan penulisan ini, diharap mampu membuka pintu fikir dan memahami dengan lebih terperinci berkenaan manhaj dan matlamat setiap agama daripada sumber ilmiah. Sebagai manusiawi, akan lahir dari naluri untuk mencari kebenaran dan hakikat sesuatu.

Penulisan ini akan membicarakan topik mengikut pembahagian utama berikut;

Bahagian 1: Maksud Agama
Bahagian 2: Agama Samawi
Bahagian 3: Agama Wad'ie
Bahagian 4: Hakikat Manusia

Semoga dengan penulisan ini mendapat keberkatan disisi Allah SWT dalam memberi kefahaman pada para pembaca terutamanya umat Islam sebagai wasilah menyampaikan kebenaran yang hakiki kepada agama lain terhadap kebenaran Islam.


0 ulasan: